| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Salam. syampu mandi/syampu badan yang kita sebut untuk mencuci badan? Terima kasih. | Penggunaan perkataan yang betul ialah syampu badan. | Tatabahasa | 29.10.2021 |
| Mana satu yang betul? 1. Jangan biarkan syampu memasuki mana-mana rongga terbuka pada tubuh kucing / Jangan biarkan syampu memasuki mana-mana rongga terbuka di tubuh kucing. 2.Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh di tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit / Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh pada tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit. Mohon jelaskan perbezaan penggunaan di/pada kerana pada juga boleh digunakan untuk tempat. Terima kasih. | Jawapan yang betul ialah “Jangan biarkan syampu memasuki rongga terbuka pada tubuh kucing.” Jawapan yang betul ialah “Walaupun kucing mempunyai kelenjar peluh pada tapak kaki, jumlah peluh yang dihasilkan sangat sedikit.” Perbezaan “di” atau “pada” bergantung pada konteks penggunaan ayat. Kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contohnya, Ibunya bekerja di sekolah itu. Kata sendi nama "di" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa, atau zaman. Contohnya, Raja Iskandar memerintah pada zaman itu. Kata sendi nama "pada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu seperti yang berikut, (i) menunjukkan keterangan waktu apabila mendahului kata nama yang menyatakan waktu atau masa, (ii) kata sendi nama "pada' apabila didahului ada mesti diikuti oleh kata nama yang merujuk manusia dan haiwan, dan (iii) sebagai perkataan yang terletak di hadapan kata nama yang menunjukkan tempat bagi perbuatan sesuatu kata kerja. Kata sendi nama "pada" tidak boleh digunakan di hadapan kata nama yang membawa maksud sasaran, Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), hlm. 265-274. | Tatabahasa | 25.03.2026 |
| Salam sejahtera! Dalam soalan lazim dbp, pihak tuan mengklasifikan 'syampu' sebagai kosonan bergabung dan 'syiling' sebagai digraf, dimana kedua-duanya mempunyai 'sy'.Apakah perbezaan antara kedua-dua perkataan ini? Terima kasih. | Huruf "sy" dalam ejaan syampu dan syiling termasuk dalam kumpulan digraf sama seperti huruf "ng" dan "ny". Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 20.06.2013 |
| Apakaha pemenggalan suku kata perkataan: 1) syak 2) syampu 3) syabas 4) syarahan 5) syiling 6) syarikat 7) syer 8) khabar 9) khazanah 10) ghairah 11) klinik | Apakaha pemenggalan suku kata perkataan: 1) syak - 1 suku kata (tiada pemenggalan) 2) syampu - 2 suku kata [syam + pu] 3) syabas - 2 suku kata [sya + bas] 4) syarahan - 3 suku kata [sya + rah +an] 5) syiling - 2 suku kata [syi + ling] 6) syarikat - 3 suku kata [sya + ri +kat] 7) syer - 1 suku kata (tiada pemenggalan) 8) khabar - 2 suku kata [kha + bar] 9) khazanah - 3 suku kata [kha + za + nah] 10) ghairah - 2 suka kata [ghai + rah] 11) klinik - 2 suku kata [kli + nik] | Tatabahasa | 07.06.2017 |
| Apakah perkataan / rangkai kata Bahasa Malaysia yang tepat sekali untuk "Syampu" ? Terima kasih. | Puan Emily, Diharap puan dapat menjelaskan soalan puan dengan memberikan konteks penggunaan bagi perkataan ini. | Lain-lain | 29.04.2010 |
| Cecair yang digunakan untuk mencuci rambut dipanggil apa? Terima kasih. | Syampu. | Istilah | 30.04.2010 |
| Saya bekerja dalam bidang periklanan tv/radio/media cetak. Saya hendak pastikan: (1) Adakah penggunaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam satu ayat dibenarkan? Cth: "Jadikan cuti sekolah ini lebih 'awesome' bersama rancangan XXX" (2) Bagaimana jika diselitkan frasa Bahasa Inggeris dalam skrip iklan Bahasa Melayu, tetapi berlainan ayat? Cth: "Inginkan rambut lebih sihat? NO PROBLEM! Gunakan syampu terbaru XXX" Penjelasan daripada pihak DBP amat dihargai. Terima kasih. | Komunikasi dan penggunaan bahasa dalam konteks rasmi hendaklah menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul. Iklan ialah konteks rasmi, maka penggunaan bahasa Melayu hendaklah betul dan sempurna, iaitu tidak ada gabungan perkataan atau ayat antara bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa lain. | Tatabahasa | 06.11.2014 |
| ASSALAMUALAIKUM.. saya keliru tentang diftong dengan vokal berganding, digraf dengan konsonan bergabung. bolehkah pihak DBP memberi penerangan yang jelas agar saya dapat membezakan kedua-dua aspek tersebut. ini kerana berdasarkan apa yang saya pelajari semasa STPM dulu, terdapat beberapa kekeliruan dalam beberapa buah buku seperti bacalah sayangku tentang pengkategorian aspek-aspek yang saya nyatakan tadi. kalau boleh disertakan dengan contoh berkaitan lebih baik. terima kasih. | Waalaikumsalam. 1. Diftong ialah gabungan dua bunyi vokal yang disebut dalam satu suku kata akibat perubahan kedudukan lidah seperti ai, au, dan oi. 2. Vokal berganding berbeza daripada diftong yang dilafazkan sebagai satu bunyi. Perkataan yang dieja dengan vokal berganding ialah kuih, buih, air dan laut. 3. Digraf - ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi seperti ng, ny, sy. Kadangkala diagraf dikenal sebagai dwihuruf, dwilambang atau huruf rangkap. Contoh perkataan yang mempunyai diagraf ialah nganga, nyamuk, lubang, khabar, pisang dan syampu. 4. Konsonan Bergabung atau konsonan rangkap pula ialah huruf konsonan yang hadir secara berurutan dalam satu perkataan dan kedua-dua konsonan itu terpisah dalam suku kata yang berlainan. Contoh konsonan bergabung ialah kompleks, terminal dan konkrit. | Istilah | 12.11.2014 |