Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Kata Kerja Transitif mesti disambut oleh objek / frasa nama. Contohnya Pihak kerajaan akan menyiarkan kepada umum surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel sepatutnya ditulis begini Pihak kerajaan akan menyiarkan surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel kepada umum. Akan tetapi, terlalu banyak ayat Kata Kerja Transitif yang salah, misalnya; mengumumkan dalam masa terdekat keputusannya. Sepatutnya mengumumkan keputusannya dalam masa terdekat dan banyak lagi kesalahan seumpamanya. bagaimana pula dengan menembak mati penjenayah (menembak penjenayah hingga mati), menghumum mati, menembak jatuh burung, dll? | Pendapat tuan betul, kata kerja transitif memerlukan objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. Ayat contoh dan frasa yang diberikan juga betul, iaitu Pihak kerajaan akan menyiarkan surat-surat yang pernah ditulis oleh Tun Dr Mahathir kepada pemimpin Israel kepada umum, menembak penjenayah hingga mati, menghukum orang yang bersalah dan menembak burung hingga jatuh. | Tatabahasa | 06.04.2012 |
DBP, Terima kasih atas makluman tersebut. Menerusi pemerhatian, terdapat surat-surat, terutamanya surat rasmi khusus yang mempunyai kepala surat ketua agensi/menteri, rujukan fail dan tarikh ditulis di ruang atas sebelah kiri. Apakah pandangan DBP terhadap amalan yang tidak mematuhi PP Bil. 5/2007? Adakah surat sebegini dikecualikan daripada PP tersebut? Sekian, terima kasih. Ngoo | Garis panduan penulisan surat rasmi kerajaan adalah seperti yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 tahun 2007. Pihak DBP menggalakkan jabatan dan agensi awam mematuhi garis panduan ini. Pihak DBP bersedia untuk memberikan kursus penyediaan surat rasmi supaya penulisan surat rasmi lebih berkualiti dari segi penggunaan bahasa dan format. | Lain-lain | 13.10.2010 |
Adakah penggunaan "dan" dalam ayat berikut adalah betul : Tindakan Ahmad menerima surat-surat bagi Tahun-Tahun Taksiran 1998 "dan" 1999 "dan" mengambil tindakan yang sesuai adalah betul di sisi undang-undang. | Tindakan Ahmad menerima surat-surat bagi Tahun-Tahun Taksiran 1998 "dan" 1999 "dan" mengambil tindakan yang sesuai adalah betul di sisi undang-undang. Berdasarkan teks tersebut, jelas menunjukkan laras yang digunakan ialah laras undang-undang. Kita menerima gaya bahasa yang berkenaan tetapi penggunaannya terhad dalam laras undang-undang sahaja. | Tatabahasa | 02.01.2013 |
kebanyakan iklan di televisyen menggunakan perkataan 'baharu' berbanding 'baru'. Namun bagi surat-surat kerajaan masih lagi menggunakan hanya perkataan 'baru' dan tidak 'baharu'. Adakah ada pekeliling yang boleh dirujuk untuk menerangkan kepada semua supaya tidak timbul penyalahgunaan maksud untuk perkataan 'baru' dan 'baharu' dalam surat-surat rasmi kerajaan? | Baharu dan baru, kedua-duanya boleh digunakan, contohnya, saya ada kereta baharu/baru,merujuk makna new, manakala Dia baru sampai dari Kuala Lumpur, untuk makna just. | Tatabahasa | 09.11.2007 |
Jamak bagi muka surat ialah muka-muka surat atau muka surat-muka surat? Kedua-duanya berbunyi janggal. | Bagi kata majmuk yang dieja sebagai dua perkataan, bahagian awal kata sahaja yang digandakan, seperti muka-muka surat. | Lain-lain | 31.12.2010 |
Assalamualaikum, saya ingin tahu adakah terdapat istilah "Primari" ( Primary - sekolah rendah ) dalam Bahasa Melayu? Bolehkah perkataan itu digunakan dalam surat-surat rasmi. | Untuk makluman, istilah bahasa Melayu untuk primary school ialah sekolah rendah (Istilah Pendidikan). Perkataan 'primari' tidak terdapat dalam istilah Pendidikan | Istilah | 20.09.2011 |
PANDUAN MENULIS SURAT RASMI Panduan yang diberikan untuk kegunaan jabatan kerajaan dan bukan untuk tujuan peperiksaan awam. Cara menulis surat rasmi: 8. Perkara atau Tajuk Surat: 8.1 Ditulis dengan langkau dua di bawah perkataan menghadap surat iaitu selajur dengan nama dan alamat pengirim serta penerima. 8.2 Tajuk surat hendaklah tepat,ringkas dan padat serta dapat membayangkan kandungan surat. 8.3 Huruf pertama pada setiap perkataan hendaklah ditulis dengan huruf besar dan digariskan. 8.4 Jika tajuk surat lebih daripada satu baris, hanya baris terakhir digariskan. 8.5 Tajuk surat tidak perlu diletakkan noktah. Contoh: Maklumat Guru Sandaran Tidak Terlatih,Guru Kursus Dalam Cuti dan Guru Kontrak Bagi Daerah Kuala Kangsar Tahun 2003 * Tajuk surat mesti digaris Tetapi kenapa masih ada lagi surat-surat rasmi daripada mana-mana pihak yang menggunakan HURUF BESAR untuk tajuk surat rasmi atau pekeliling2????? Sedangkan apa yang dipelajari di sekolah-sekolah...tajuk surat rasmi hendaklah ditulis menggunakan huruf kecil dan kata sendi nama kecuali bagi huruf pertama setiap perkataan | Garis panduan penulisan surat rasmi kerajaan adalah seperti yang terkandung dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 tahun 2007. DBP sebagai salah sebuah agensi kerajaan mematuhi garis panduan tersebut dan menggalakkan agensi awam yang lain mematuhi garis panduan ini. Walau bagaimanapun bagi tujuan peperiksaan, pelajar hendaklah mematuhi tatacara penulisan surat rasmi yang diajar oleh guru. | Lain-lain | 05.06.2013 |
mengapa kesalahan bahasa terlalu banyak kini ? pengunaan frasa yang tidak tepat ? pengunaan bahasa di papan tanda sangat menyedihkan. | Usaha pemantauan memang dilakukan termasuklah surat-surat teguran yang dihantar kepada syarikat atau agensi kerajaan yang melakukan kesalahan dalam apa juga jenis paparan yang ditujukan untuk umum. Selain iklan, pihak DBP juga turut membuat pemantauan tulisan yang diterbitkan melalui majalah, surat khabar dan sebagainya. Untuk pengetahuan puan, DBP sering membantu pihak berkuasa tempatan untuk meluluskan sesuatu iklan yang ingin disiarkan atau yang hendak dinaikkan. Pendeknya setiap iklan yang menggunakan bahasa Melayu sebelum disiarkan hendaklah penggunaan bahasanya diluluskan oleh DBP sebelum lesen kebenaran iklan itu dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. | Lain-lain | 11.01.2013 |
Apakah terjemahan yang sesuai untuk maksud "Service of Notice". Notis ini merujuk kepada surat berperingkat yang dikeluarkan oleh jabatan. Ia terdiri daripada Surat Amaran, Surat Peringatan, Surat Panggil, "Sub-poena" dans ebagainya. Terma "Service of of Notice" diperlukan dalam Bahasa Melayu kerana pihak kami sedang membuat dokumentasi carta proses kerja dalam Bahasa Melayu. | Untuk makluman, tidak ada istilah khusus untuk Service of Notice. Walau bagaimanapun, dalam pangkalan dat kami terdapat istilah service of default notice (bidang Undang-Undang) yang padanan bahasa Melayunya ialah penyampaian notis kemungkiran. Oleh itu, cadangan padanan bahasa Melayu untuk service of notice ialah penyampaian notis. | Istilah | 27.06.2011 |
BOLEH TAK BERIKAN SAYA CONTOH SURAT TUNJUK SEBAB | Surat tunjuk sebab merupakan salah satu surat rasmi dalam jabatan. Format surat rasmi adalah sama, iaitu mesti ada kepala surat merujuk kepada penerima, bahagian badan (isi) bermula dengan perkara dan penutup, iaitu tindakan yang perlu diambil. Sila rujuk buku panduan penulisan surat rasmi. | Lain-lain | 02.05.2008 |