Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Saya agak keliru berkenaan penggunaan perkataan staf atau kakitangan. Adakah lebih elok menggunakan perkataan kakitangan berbanding staf? Contohnya staf sokongan vs kakitangan sokongan. Kerana dari laman web dbp sendiri masih menggunakan istilah staf atau staf sokongan berbanding istilah kakitangan dan kakitangan sokongan. Mohon diberi penjelasan. | Kamus Dewan menakrifkan staf ialah kumpulan orang yang bekerja di tempat yang sama (di bawah ketua yang sama) atau kakitangan; manakala kakitangan pula ialah pekerja atau pembantu di sesebuah pejabat dan sebagainya. Berdasarkan makna yang tersebut perkataan staf melibatkan pelbagai jawatan dalam kumpulan kerja yang sama. Kakitangan pula dikaitkan dengan jawatan yang lebih rendah atau pembantu di sesebuah pejabat. Walau bagaimanapun takrif ini tidak selamanya tepat kerana sering kita mendengar ungkapan kakitangan kerajaan (pelbagai jenis jawatan wujud di dalamnya). Oleh itu, penggunaan kata staf dan kakitangan ini boleh digunakan mengikut konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 28.03.2011 |
Pegawai dan staf saya sering keliru tentang penggunaan "dari" dan "daripada" serta "ialah" dan "adalah". Bagaimanakah saya, yang tidak terlatih dalam bidang bahasa boleh menjelaskan dan memberi panduan kepada mereka tentang penggunaan istilah-istilah yang dinyatakan di atas? Terima kasih. | Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Kata sendi nama "daripada" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca atau asal kejadian sesuatu benda dan juga perbezaan atau perbandingan. Contoh: 1. Saya datang dari kampung. 2. Lori itu datang dari arah kiri. 3. Perkara itu telah diketahui dari waktu subuh lagi. Kata ialah dan adalah merupakan kata pemeri. Kata pemeri ialah menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri adalah menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Contoh: 1. Bapa saya ialah seorang guru. 2. Kursus ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan pelajar. 3. Makanan itu adalah baik untuk kesihatan. | Tatabahasa | 07.06.2012 |
Minta kepastian sama ada Semua data yang dikutip akan diproses / Data yang dikutip akan diproses. Staf sekolah itu diwajibkan hadir ketika perhimpunan/semua staf sekolah itu diwajibkan hadir ketika perhimpunan Yang mana betul ? Terima kasih. Ng Chee Huay | Kata bilangan "semua" perlu hadir dalam ayat tersebut. 1. Semua data yang dikutip akan diproses. 2. Semua staf sekolah itu diwajibkan hadir ketika perhimpunan. | Tatabahasa | 11.07.2013 |
Mana yang lebih tepat" Buat masa kini Jabatan kami hanya mempunyai 3 orang staf tetap sahaja...... atau Pada masa ini, jabatan kami hanya mempunyai 3 orang staf tetap sahaja. (Penggunaan Buat atau Pada). | Frasa "buat masa ini" atau "pada masa ini", kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 21.06.2012 |
Penggunaan perkataan untuk menggambarkan 'kakitangan', 'staf' atau 'personel' kerajaan pada tahun 1970. Perkataan manakah yang lebih sesuai atau ada perkataan lain yang bersesuaian? Bagaimanakah cara ejaannya pada waktu itu? Terima kasih. | Perkataan yang sesuai digunakan pada masa tersebut ialah kakitangan. | Ejaan | 07.08.2013 |
Saya perkenalkan diri saya sebagai staf ITU-UUM. Di sini saya ingin bertanya mengenai proses penterjemahan buku. Kini, kami di ITU-UUM sedang menjalankan projek komuniti dan semestinya untuk pembangunan masyarakat adalah berpandukan kepada kajian ilmiah. Untuk itu, beberapa buah buku yang diperolehi kami telah ditulis dalam Bahasa Indonesia. Jadi, pihak kami berhasrat untuk menterjemahkannya ke dalam Bahasa Malaysia supaya ia mudah dibaca, difahami dan dianalisa untuk kebaikan masyarakat. Untuk proses penterjemahan inilah, kami memerlukan bantuan daripada pihak tuan agar ia dapat direalisasikan dengan jayanya. Kami berhasrat menjemput pihak tuan menyertai dalam proses penterjemahan ini dan sebelum segalanya bermula, kami ingin dapatkan keperluan awal yang terlibat seperti kos untuk penterjmahan sebuah buku dan terma lain yang berkaitan. Kerjasama daripada pihak tuan sangat diharga | Harap maaf, Dewan Bahasa dan Pustaka tidak menawarkan perkhidmatan perterjemahan secara percuma ataupun berbayar. Untuk khidmat penterjemahan sila hubungi Institut Terjemahan Negara, no. tel. 03-41497210 atau Persatuan Penterjemah Malaysia, no. tel. 03-21424381. | Lain-lain | 10.05.2009 |
Bolehkah saya gunakan Majlis "Penandatanganan" MOU sebab staf dan ketua jabatan saya berkeras ingin menggunakan Majlis "Menandatangani" MOU. | Yang betulnya ialah Majlis Penandatangan MOU. Bagaimanapun, yang biasa digunakan oleh masyarakat ialah 'Majlis Menandatangani MOU'. | Tatabahasa | 07.09.2008 |
Saya keliru dengan ayat ini : "Bagaimanakah anda menjana gelagat staf anda untuk mencapai kemerlangan organisasi?" Adakah "menjana gelagat" dalam ayat / soalan ini maksudnya sama dengan "to empower" dalam B. Inggeris ? Harap pihak tuan dapat membantu menjelaskan. | 1. "empower” membawa maksud : =vt memberikan kuasa kpd, memberi [sso] kuasa: he ~ed his lawyer to sell his house, dia memberikan kuasa kpd peguamnya utk menjual rumahnya; he is ~ed to act on behalf of the organization, dia diberi kuasa utk bertindak bagi pihak organisasi itu. 2. "menjanakan" pula memberi makna = menghasilkan, mengadakan, melahirkan, mengeluarkan: ~ kuasa elektrik; peranan yg dimainkan oleh sektor pertanian dlm ~ pendapatan dan guna tenaga; 3. Kamus Dewan pula mendefinikan perkataan “gelagat” sebagai :a) tanda (akan terjadinya sesuatu): melihat ~nya, perang dunia mungkin akan meletus juga; b) tingkah laku, gerak-geri: ~nya membayangkan bahawa ia tetap akan mempertahankan maruah keluarganya. Jadi di sini dapatlah disimpulkan bahawa menjana gelagat tidak membawa makna "to empower" dalam bahasa Inggeris. Sekian, terima kasih. | Makna | 25.06.2008 |
kakitangan atau kaki tangan | Ejaan yang betul ialah kakitangan bagi maksud staf dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 12.09.2011 |
Definisi modal insan dan definisi pembangunan modal insan | Modal insan dalam konteks organisasi merujuk kepada staf atau pekerja didalam organisasi.Pembangunan modal insan pula merujuk kepada usaha-usaha dan tindakan/aktiviti yang dilaksanakan oleh organisasi untuk membangunkan pekerja supaya terampil dari aspek pengetahuan,kemahiran dan pembentukan sikap dalam melaksanakan tugas. | Lain-lain | 13.02.2008 |