Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Apa beza soal siasat, uji kaji, temu duga dan soal jawab? | Soal siasat ialah kaedah formal menyoal pesalah, saksi, pengintip, dll untuk mendapatkan maklumat; menyoal siasat menyoal dalam usaha menyiasat sesuatu; penyoal siasat orang yang menyoal siasat. Uji kaji ialah ujian atau penyelidikan untuk mengetahui atau memastikan sesuatu percubaan, eksperimen: ~ sains. Temu duga ialah soal jawab antara majikan dengan orang yang memohon kerja dll. 2 soal jawab antara pemberita surat khabar dengan orang kenamaan, seperti tokoh politik; temu bual; wawancara. Soal jawab pula ialah pertanyaan dan jawaban mengenai sesuatu atau berbagai-bagai perkara (biasanya disiarkan dalam akhbar, majalah, dsb); | Makna | 22.09.2013 |
Salam sejahtera. Berdasarkan soal jawab Pelita Bahasa Aprl 2013, perkataan 'meng-e-melkan' betul dalam peraturan bahasa. Adakah 'di-e-melkan' & 'ter-e-mel' juga betul ? Terima kasih. | Perkataan meng-e-melkan, di-e-melkan, peng-e-melan dan ter-e-mel betul mengikut peraturan tatabahasa tetap lebih gramatis apabila menggunakan frasa, 'mengirimkan e-mel...', | Tatabahasa | 08.05.2013 |
Apakah yang dimaksudkan dengan wawancara? Apakah perbezaan antara wawancara dengan forum dan dialog? | Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat wawancara bermaksud soal jawab antara wartawan dsb.dengan orang yang terkemuka dll. untuk mendapatkan keterangan atau pandangan untuk disiarkan. Forum bermaksud perjumpaan untuk perbincangan terbuka tentang perkara yang menjadi kepentingan awam. Dialog bermaksud perbincangan atau perundingan antara dua pihak yang bertelingkah kepentingannya. Daripada keterangan di atas diharap saudara dapat melihat perbezaan antara ketiga-tiga perkataan tersebut. Wawancara melibatkan dua orang, iaitu wartawan dan orang yang diwawancara. Forum dan dialog melibatkan sekumpulan orang atau panel. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat . | Makna | 30.01.2008 |
Saya sedang mencari idea tentang kolum bahasa yang ingin saya wujudkan dalam portal bahagian kami. Apakah perkataan atau frasa yang sesuai digunakan selain soal jawab bahasa? | Antara sesi seumpama itu yang pernah dilaksanakan ialah bicara bahasa. | Tatabahasa | 07.04.2010 |
Merujuk kepada emel yang diterima pada Julai 13, Khidmat nasihat DBP menyatakan bahawa penggunaan "di kalangan" tidak baku. Namun, saya mendapati bahawa dalam majalah "Pelita Bahasa" terbitan DBP pada Disember 2008 dalam ruangan Soal Jawab Bahasa, jawapan Pelita Bahasa menyatakan bahawa penggunaan "di kalangan" betul dan boleh digunakan. Turut dinyatakan dalam Pelita Bahasa, penggunaan "di kalangan" jauh lebih banyak berbanding dengan penggunaan "dalam kalangan" mengikut data korpus. Tambahan pula, saya mendapati dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, tidak terdapat penggunaan "dalam kalangan" tetapi penggunaan "di kalangan" pula agak banyak. Justeru, bolehkah saya mendapat kepastian sama ada ungkapan " di kalangan" boleh digunakan atau tidak dan adakah ungkapan tersebut mematuhi peraturan tatabahasa | Saudara, Dalam korpus yang merakamkan penggunaan bahasa oleh masyarakat awam terdapat lebih banyak penggunaan 'di kalangan' berbanding dengan 'dalam kalangan' kerana masih ramai pengguna bahasa yang belum terdedah atau biasa dengan penggunaan 'dalam kalangan'. Kata sendi nama 'di' digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Berdasarkan panduan ini maka frasa yang betul ialah 'dalam kalangan'. Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 23.07.2009 |
Saya sedang menulis artikal untuk satu jurnal. Saya ingin mengetahui asal perkataan "nasihat". Perkataan ini dalam kamus dewan bahasa dan pustaka bermakna ajaran , petunjuk yang baik and peringatan. Adakah ini bermakna "nasihat" ini adalah sehala? ia itu "nasihat" DIBERIKAN kepada yang meminta "nasihat", tanpa ada perbincangan atau soal jawab? Saya ingin membandingkan "nasihat" dengan sesi kaunseling.. ada persamaan atau bagaimana? Terima kasih Siti Rokiah Calon Phd Bimbingan dan Kaunseling UTM Skudai | Seperti yang saudara maklumi nasihat ialah ajaran atau petunjuk yang baik, contohnya "... tidak mahu mendengar nasihat orang tuanya". Apa yang difahami daripada ayat tersebut nasihat berlaku dalam keadaan memberi nasihat, mendengar nasihat, semuanya berlaku satu hala. Nasihat berbeza dengan sesi kaunseling; sesi suatu jangka masa berlangsungnya atau berlakunya sesuatu aktiviti seperti sesi kaunseling. Umum mengetahui bahawa sesi kaunseling berlangsung antara dua pihak. Untuk maklumat lanjut termasuklah asal kata dan makna secara terperinci sesuatu perkataan sila rujuk buku atau kajian ilmiah yang telah dibuat oleh para sarjana. | Makna | 25.06.2009 |
Salam 1Malaysia. Persoalan yang sering mengelirukan pengguna bahasa adalah tentang penggunaan kata penguat. (i) Bolehkah kata penguat bebas dan kata penguat bebas , misalnya amat sangat, boleh hadir secara berderetan? Hal ini saya katakan demikian kerana munsyi dewan memberikan pandangan yang berbeza-beza. Pandangan sedemikian memang memeningkan kepala pengguna bahasa seperti saya. (ii) Adakah binaan teramat sangat betul? Dalam Kamus Dewan Edisi Ke-4 dan Kamus Pelajar Edisi Ke-2 frasa teramat sangat memang wujud, sementelahan kemusyikilan ini tidak wujud dalam rekod soal jawab. Besarlah harapan saya bahawa kemusyikilan ini dapat dileraikan. Sekian, terima kasih. KAY SEVEN | Kata penguat boleh hadir berderetan, seperti contoh ayat; sungguh amat merdu. Begitu juga dengan kata penguat amat sangat yang bermaksud terlampau, boleh hadir secara berturutan. Binaan ayat daripada pola ter + amat + sangat adalah tidak gramatis, yang betul ialah daripada binaan ter + amat + kata adjektif seperti teramat baik dan teramat cantik. | Tatabahasa | 28.07.2011 |