Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1. "dengar siaran kami" atau "dengarkan siaran kami" 2. "intisari" atau "inti sari" 3. Tolong huraikan perbedaannya. Terima kasih. | 1. "dengar siaran kami" atau "dengarkan siaran kami" - kedua-duanya betul, lazimnya frasa yang kedua digunakan dalam ayat perintah. 2. Ejaan yang betul ialah inti sari, kedua-dua perkataan dalam kata majmuk tersebut boleh memberi makna dan tidak digolongkan dalam kumpulan kata majmuk yang telah mantap. | Tatabahasa | 10.05.2011 |
Saya cadangkan DBP menggantikan Koleksi Lembar Bahasa Bil. 1/2007 kepada yang baru dalam siaran laman web DBP memandangkan ia mengandungi beberapa perkataan yang mengelirukan seperti "Fefinisi", "Cedekiawan". Ya, saya faham ia telah dimuatkan dalam Aktiviti Terkini, Tajuk Bulan Bahasa Terkini di facebook. Namun demikian, siaran dalam "Pedoman/Lembar Bahasa" masih dibiarkan berterusan tanpa apa-apa pembetulan. Ia pasti akan "mislead"(salah bimbing) pembaca dan juga menjejaskan kredibiliti DBP dan kualiti perkhidmatannya. Dicadangkan juga "Penyemak Kualiti" untuk setiap siaran di laman web DBP. | Terima kasih atas makluman dan cadangan tuan. Hal ini akan kami perbaiki segera agar tidak timbul sebarang kekeliruan kepada para pengguna. | Lain-lain | 10.05.2013 |
Maksud yang tepat bagi perkataan-perkataan dibawah:- a.brochure b.pamplet c.banner d.catalog e.flyers f.bunting | a. Brochure (Brosur) : Buku kecil atau risalah yang diterbitkan bagi meningkatkan imej sesuatu organisasi atau kumpulan. Biasanya, buku ini mempunyai halaman hadapan yang menarik. b. pamphlet : risalah c. banner - kain rentang iaitu jaluran kain yang panjang, yang direntang melintang atau sepanjang jalan. d. catalog - katalog iaitu senarai atau daftar nama buku, barang dll dlm susunan tertentu (kadang-kadang terdapat harganya sekali). e. flyer - risalah iaitu surat edaran (siaran): siaran itu dikeluarkan dgn rasmi melalui akhbar-akhbar f. bunting - gegantung iaitu (rangkaian) jalur kain dsb yg digunakan utk menghebahkan sesuatu kegiatan, produk dll. Untuk makluman, saudara boleh terus membuat carian kata pada ruangan carian spesifik pada paparan utama semasa saudara melayari laman web DBP. Ini merupakan satu kemudahan yang disediakan oleh DBP bagi membantu pengguna membuat carian kata dengan cepat dan mudah. Terima kasih. | Istilah | 17.02.2009 |
Adakah betul penggunaan kosa kata dibawah DJ Radio : Terima kasih kerana anda masih lagi memantau siaran kami di... - perkataan memantau adakah sesuai untuk pendengar radio? tq | Memantau bermaksud memerhatikan dan memeriksa perkembangan (kemajuan, perjalanan dan sebagainya) sesuatu perkara, fenomena dan sebagainya secara kerap dan teliti, biasanya bertujuan utk mengawal, mencegah, memperbaik, mengawasi dan sebagainya. Dalam ayat "Terima kasih kerana anda masih lagi memantau siaran kami di... -" kata yang paling sesuai ialah mengikuti, memantau boleh juga diterima jika pendengar yang mengikuti siaran tersebut bertujuan untuk memerhatikan dan memeriksa perkembangan, contohny seperti pelajar yang membuat kajian tentang bahasa yang digunakan oleh juruhebah tersebut. | Tatabahasa | 18.05.2008 |
Press release | Siaran akhbar | Istilah | 21.05.2007 |
on the air | ke udara dalam siaran | Istilah | 12.07.2011 |
yang mana betul penggunaannya ( Jam atau Pukul ) nantikan siaran 'Bajet 2013' Pukul 9.00 pagi, 1 Oktober, di TV 2 atau Jam 9.00 pagi, 1 Oktober, di TV 2 sekian terima kasih | Penggunaan yang betul ialah pukul 9.00 pagi. | Tatabahasa | 03.10.2012 |
1: kenapa "tempat" tidak lagi dipakai dalam akbar atau siaran radio/tv, tapi diganti dgn lokasi? | Lokasi sebagai pilihan kepada perkataan tempat. Penggunaannya menjadi hak penerbit tetapi mestilah disebut dan dieja dengan betul. | Tatabahasa | 23.11.2012 |
soalan: bagaimana untuk kita menentukan tarikh sebenar mengikut masa contoh 1: siaran langsung 'Cinta bersemi' 1 Oktober 2012 , 9.00 malam dan ulang siar 2.00 pagi soalannya: untuk ulangsiar 2.00 pagi adakah telah masuk 2 oktober? contoh 2: ( Drama 'kekasih akan disiarkan bermula Isnin 1 Oktober ): saksikan drama bersiri 'Kekasih' Mulai 1 Oktober , setiap Isnin 12.30 tgh mlm soalannya: adakah 12.30 tgh mlm di anggap sebagai 1 Oktober? Soalan 3: bagaimana untuk kita mengenalpasti penggunaan masa yang betul mengikut tarikh contoh : 1 oktober ( bermula pukul berapa hingga berapa?) dan 2 oktober ( bermula pukul berapa hingga berapa?) adakah ( tarikh adlh sbg contoh) 1 oktober= 12.00 tgh mlm - 11.59 malam (24 jam ) 2 oktober = 12.00 tgh mlm - 11.59 malam ( 24 jam ) sekian terima kasih | 1. Ulang siar "Cinta Bersemi" pada pukul 2.00 pagi adalah pada 2 Oktober 2012. 2. Drama bersiri "Kekasih' pada pukul 12.30 tengah malam adalah pada 2 Oktober 2012. 3. 1 Oktober 2012 (Isnin) bermula pada 12.00 tengah malam (hari Ahad - 30 September 2012) dan berakhir pada 11.59 malam (1 Oktober 2012), 2 Oktober bermula pada 12.00 tengah malam (hari Isnin - 1 Oktober 2012) dan berakhir pada 11.59 malam (2 Oktober 2012). | Lain-lain | 03.10.2012 |
Wujudkah perkataan siaraya? Atau apakah ejaan betul bagi perkataan tersebut? Siaraya, Siar raya, Siaran raya atau bagaimana? Terima kasih. | siar raya | Tatabahasa | 08.11.2007 |