Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Jika 'tuanku' digunakan sebagai kata ganti nama diri kedua untuk RAJA dan SULTAN, apakah kata ganti nama diri kedua yang sesuai digunakan oleh rakyat jelata atau bangsawan ketika berbicara dengan RANI/MAHARANI/RATU/SULTANAH/TENGKU AMPUAN/PERMAISURI atau siapa-siapa sahaja yang bertakhta dan berjantina perempuan? | Berdasarkan rujukan kami, kata nama ganti diri yang kedua boleh digunakan ialah tuanku yang merujuk kepada raja atau sultan dan isteri baginda. | Lain-lain | 30.01.2019 |
Diantara dua ayat dibawah,manakah ayat yang betul? apakah alasannya? Apa nama anda? @ Siapa nama anda? | Siapa bermaksud 1. kata utk menanyakan orang, orang mana: ~ yg mengusik awak? 2. kata utk menanyakan nama orang: ~ nama kamu? 3. kata utk menyatakan orang secara umum, orang yg tidak tentu; ~ yg makan cabai, dialah berasa pedas prb yg berbuat salah akan berasa; tiada ~ tiada seorang pun; ~ lagi a) = ~ pula adakah orang lain lagi; b) siapa selanjutnya (suka, mahu membeli, dll); ~ lu ~ gua Id, bp masing-masing membuat hal sendiri (tidak bertolong bantu); ~ pun = ~ sahaja a) barang siapa; b) sebarang orang, siapa juga. Manakala apa pula bermaksud 1. kata utk menanyakan nama (jenis, sifat, dll) sesuatu: ~ yg kaubeli tadi? 2. pengganti sesuatu yg kurang tentu (kurang terang): tidak terdengar ~ yg kaucakapkan; 3. = ~lah kata utk menghaluskan suruhan: belikan ~ saya sebungkus rokok; 4. = ~kah kata utk menanyakan sesuatu (bukan manusia): ~ kereta itu rosak? 5. atau: ya ~ tidak; ~ akal bagaimana akal, apa yg harus dibuat; ~ boleh buat apa yg hendak dilakukan lagi, tak ada jalan lain lagi; ~ daya tidak ada kuasa lagi; ~ khabar a) bagaimana keadaanmu; b) ada khabar barukah; ~ lacur Id ya bagaimana lagi (apa boleh buat); ~ macam apa khabar; ~ pasal apa sebab; ~ sahaja = ~ saja = barang ~ = segala ~ tidak kira apa, sebarang, segala sesuatu; ~ tidaknya memang ya; ~ ubahnya serupa; kena ~ a) apa yg dialami atau dideritai; b) mengapa, kenapa; Oleh itu, penggunaan yang tepat ialah siapa nama anda? | Lain-lain | 09.07.2010 |
Ayat : Siapa nama kamu? Ayat ini betul? Kata tanya siapa tidak ditambah partikel -kah masih gramatis atau hanya pertuturan sahaja? | Frasa yang betul ialah siapakah nama kamu? Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 11.12.2012 |
1)mencolok mata atau menjolok mata? 2)serbaneka atau serba aneka? 3)sebaik sahaja atau sebaik-baik sahaja? | Merujuk Kamus Dewan, mencolok mata dalam bentuk kata kiasan bermaksud menimbulkan rasa meluat dan sebagainya kepada sesiapa yang melihat kerana berlebih-lebihan (tentang pakaian, kelakuan dan lain-lain). Manakala menjolok mata antaranya bermaksud memberi malu atau menyakiti hati (kerana perbuatan yang tidak sopan, cara berpakaian dan sebagainya). Lazimnya, perbuatan ini merujuk makna kiasan, oleh itu frasa mencolok mata yang sering digunakan. Serbaneka atau serba aneka kedua-duanya boleh digunakan. Sebaik sahaja atau sebaik-baik sahaja kedua-duanya juga, boleh digunakan bergantung pada konteks ayat. | Tatabahasa | 29.09.2012 |
Salam sejahtera, pihak DBP. Saya baru sahaja mempelajari tentang Sintaksis dan masih keliru untuk memisahkan subjek dan predikat dalam satu ayat panjang atau ayat majmuk. Diharapkan pihak DBP boleh memberi tunjuk ajar memisahkan subjek dan predikat dalam 4 ayat berikut: 1. Kajian perbualan (conversational analysis) menumpukan perhatian kepada faktor-faktor perhubungan di antara manusia dalam masyarakat. 2. Kajian yang seperti ini juga dikenali sebagai ethnografi percakapan (ethnografi of speaking), yang pertama kali diutarakan sebagai cabang linguistik yang tersendiri oleh Dell Hymes. 3. Kajian ini berpokok pangkal pada pendapat bahawa penwujudan sesuatu percakapan itu ditentukan oleh siapa yang bercakap dengan siapa dan apa yang dipercakapkan. 4. Jika kajian yang seperti ini dilakukan dalam masyarakat, maka bolehlah diwujudkan peraturan percakapan (rules of speaking) dalam masyarakat berkenaan. | 1. Kajian perbualan (subjek) menumpukan perhatian kepada faktor-faktor perhubungan antara manusia dalam kalangan masyarakat (predikat) 2. Kajian yang seperti ini juga (subjek) dikenali sebagai etnografi percakapan yang pertama kali diutarakan sebagai cabang linguistik yang tersendiri oleh Dell Hymes (predikat) 3. Kajian ini (subjek) berpokok pangkal pada pendapat bahawa pewujudan sesuatu percakapan itu ditentukan oleh siapa yang bercakap dengan siapa dan apa yang dipercakapkan (predikat). 4. Jika kajian yang seperti ini dilakukan dalam masyarakat (subjek) maka bolehlah diwujudkan peraturan percakapan dalam masyarakat berkenaan (predikat) | Tatabahasa | 06.10.2017 |
Tuan, adakah "menemui" dan "menemukan" mengikut rumus siapa dan apa? Rumus tersebut ialah: - menemui siapa? - menemukan apa? Contoh: menemui kakak dan menemukan kesalahan tatabahasa dalam buku latihan Adakah "menemukan" dapat membawa makna yang sama dengan "menemui", iaitu "menemukan" juga merujuk orang seperti frasa "menemukan ibu di pasar"? Cikgu saya mengatakan bahawa "menemui" hanya untuk orang dan "menemukan" untuk objek tidak bernyawa. Tetapi ada pengguna bahasa yang mengatakan bahawa pihak DBP berkata "menemukan" dan "menemui" sama makna melalui Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). Minta penjelasan. | Menemukan bermaksud mendapat, iaitu menjumpai sesuatu yang dicari manakala menemui bermaksud bertemu dengan, berjumpa dengan seseorang atau pergi bertemu dengan, mengunjungi, menziarahi, melawat seseorang. Contoh:1. polis kemudiannya telah menemukan kereta yang digunakan. Untuk ayat "menemukan ibu di pasar", sesuai apabila ayat itu bermaksud ibu sedang dicari dan akhirnya menjumpainya di pasar. Jika sekadar untuk berjumpa ibu di pasar, boleh digunakan ayat, "Saya ingin menemui ibu di pasar". Sila lihat Kamus Dewan Edisi 4 untuk melihat perbezaan antara menemui dengan menemukan. Untuk makluman tuan/puan, tidak semua kata kerja apitan men...-kan diikuti dengan objek tidak bernyawa dan apitan men...-i diikut objek bernyawa seperti yang dikatakan oleh guru tersebut. Sila lihat buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga halaman 207. Dalam halaman ini ada menyebut "Bagi kata kerja tertentu sahaja....."
| Tatabahasa | 27.11.2014 |
Apakah maksud kata semu? Adakah betul 1. Apa nama anda? (Salah) 2. Siapa nama anda? (betul) | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, semu bermaksud bukan yg sebenarnya, tidak sesungguh-nya, pura-pura: keadilan yg hanya ~ sahaja. Frasa yang betul ialah siapakah nama anda ataupun nama anda siapa? Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk maklumat lanjut. | Istilah | 20.07.2010 |
salam sejahtera, baru baru ini saya ada menghantar beberapa sajak kepada editor DBP. saya hanya ingin mengetahui adakah sajak saya diterima oleh pihak DBP. Alamat yang saya tulis ada sedikit kesilapan iaitu (No 70, Jalan Bunga Pekan 4, 42700 Banting, Selangor) | Mohon maaf, saudara tidak memberitahu sajak itu dihantar kepada siapa, cuma editor DBP, kerana di DBP ada ramai editor, adakah editor majalah atau editor buku sastera, atau umum sahaja, maksudnya editor DBP sahaja. Jika sajak tersebut dihantar melalui pos dengan alamat editor DBP sahaja, agak sukarlah untuk kami mengesan sajak tersebut. Cara terbaik, saudara boleh menghantar semula sajak tersebut kepada Editor Majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur sekira sajak itu mahu dimuatkan dalam majalah, tetapi jika mahu diterbitkan dalam bentuk buku, saudara boleh menghantarnya semula kepada Ketua Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 01.02.2009 |
Saya ingin beli sebuah kamus yang lengkap untunk Bahasa Malaysia ke Bahasa Cina (Mandrin) and Bahasa Cina(Mandrin) ke Bahasa Malaysia tetapi tidak tahu di mana dapat saya belinya. Saya hanya jumpa kamus untuk pelajar sahaja and saya berasa itu tidak mencukupi oleh itu saya berharap pihak tuan dapat memberi bantuan kepada dengan beritahu kepada saya dimana saya dapat membeli kamus demikian and siapa pencetaknya. Bolehkah saya beli melalui online? Saya sanggup beli software sekiranya tiada kamus demikian. Sekian terima kasih. daripada Belle | Pihak DBP belum menerbitkan Kamus Bahasa Melayu-Mandarin seperti yang dikehendaki. Saudara boleh mendapatkan kamus yang dikehendaki di kedai-kedai buku yang lain. | Lain-lain | 09.05.2010 |
Salam sejahtera, sebagai Mahasiswa dan pencinta bahasa Melayu, saya sekali lagi saya ingin meluahkan pendapat saya berkenaan dengan bahasa Melayu. Seperti apa yang kita sedia maklum, bahasa Melayu hari ini nampaknya seperti tidak memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu dan maklumat serta tiada peranan penting di peringkat pengajian tinggi atau universiti. Dahulunya bahasa Melayu dikagumi dan megah di Asia tenggara dan eropah kerana peranannya sebagai bahasa pengantar bukan sahaja dalam hal agama tetapi juga dalam perdagangan sehingga orang yang tidak pandai berbahasa Melayu menjadi sangat malu dan merasa tercicir. Siapa kata sejarah tidak boleh diulang? sebenarnya boleh jikalau kita bersatu padu mempertahankan keaslian bahasa kita. Selain itu, saya juga menyokong seratus peratus hasrat murni kerajaan Malaysia untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 iaitu matlamat untuk mencapai taraf negara maju tetapi saya sangat sedih dan kecewa mengenang nasib bahasa kita yang semakin hari semakin pupus keasliannya. Apalah nasib bahasa di masa hadapan? siapa yang mempertahankanya? tidak ada yang mahu mempertahankan melainkan masyarakat kita sendiri. Apalah gunanya negara mencapai kemajuan tetapi bahasa kita tidak mencapai kemajuan, mundur, tidak berguna dan tiada peranan. Bagi saya, bahasa Melayu juga penting dalam mencapai kemajuan dan perkembangan kerana bahasa mencerminkan dan melambangkan jati diri dan pengenalan sesuatu bangsa, masyarakat dan negara. | Kami juga amat bersetuju dengan pandangan tuan. Alangkah baiknya jika bahasa Melayu kembali dimartabatkan sebagai bahasa ilmu kerana bahasa Melayu tinggi mempunyai nilainya tersendiri dalam mengungkapkan wacana. DBP sentiasa berusaha dalam skop fungsi kuasa dan peranan DBP dalam memartabatkan bahasa Melayu. DBP dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi telah melaksanakan Audit Bahasa Melayu IPTA untuk melihat pelaksanaan pelan tindakan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di IPTA 2011 - 2015.
| Lain-lain | 15.11.2015 |