Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Adakah kata sendi nama "pada" boleh digunakan di hadapan setiap hari atau setiap petang? | Saudara Choi, Kata sendi nama 'pada' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. Oleh itu, frasa pada setiap hari dan pada setiap petang betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 10.06.2009 |
mohon senggang waktu bagi setiap ucapan di bawah. selamat tengah hari selamat petang selamat malam *adakah tempoh tengah hari dari jam 12 hingga 12.59?? | Encik Ahmad Sabri, Ucapan selamat tengah hari diucapkan pada masa 12.00 hingga 1.59 tengah hari Ucapan selamat petang bermula daripada pukul 2.00 petang hingg 6.59 petang dan selamat malam bermula daripada pukul 7.00 hingga 1.59 malam | Lain-lain | 04.10.2010 |
Perkataan 'di' dan 'setiap' perlu dirapatkan atau tidak? Apa alasannya? | Yang betul ialah pada setiap ..., bukan di setiap ... kerana situasi ini menunjukkan keterangan waktu dan tempat bukan tempat (di sudut) atau perbuatan (dibuat). | Tatabahasa | 07.05.2009 |
1) Setiap hari 2) Pada setiap hari Yang manakah satu betul ? | Kata sendi nama 'pada' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. Oleh itu, frasa pada setiap hari betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 12.04.2013 |
'Saya bersenam pada setiap hari.' 'Saya bersenam setiap hari.' ayat di atas, yang manakah betul? Terima kasih. | Kedua-dua ayat ini betul. Penggunaan kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. | Tatabahasa | 16.01.2008 |
"Tenaga elektrik yang kita gunakan PADA setiap hari disebut arus elektrik." Adakah kata sendi nama "pada" mesti wujud dalam ayat di atas? Terima kasih. | "Tenaga elektrik yang kita gunakan PADA setiap hari disebut arus elektrik." - pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu dan tempat. "Pada" perlu hadir dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 06.06.2011 |
mohon semak ayat berikut - 2.1 Melalui Warta Persekutuan (P.U 486/1965) Perintah Kanun Tanah Negara (Bayaran Ukur) 1965, Menteri Tanah dan Galian (pada waktu itu) telah memberikan kuasa kepada Pengarah Negeri (pada waktu itu) untuk meremit atau mengecualikan bayaran ukur tanah-tanah yang terlibat di dalam skim atau projek oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang dibangunkan untuk kegunaan awam. 2.2 Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri, melalui pandangan perundangan bertarikh 18 Ogos 2010, berpendapat bahawa penurunan kuasa boleh diberikan oleh Pengarah Tanah dan Galian kepada Pentadbir Tanah melalui peruntukan di dalam Seksyen 15(1) perenggan (g) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56). | 1. Melalui Warta Persekutuan (P.U 486/1965) Perintah Kanun Tanah Negara (Bayaran Ukur) 1965, Menteri Tanah dan Galian (pada waktu itu) telah memberikan kuasa kepada Pengarah Negeri (pada waktu itu) untuk meremit atau mengecualikan bayaran ukur tanah-tanah yang terlibat di dalam skim atau projek oleh Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri yang dibangunkan untuk kegunaan awam. 2. Y.B. Penasihat Undang-Undang Negeri, melalui pandangan perundangan bertarikh 18 Ogos 2010, berpendapat bahawa penurunan kuasa boleh diberikan oleh Pengarah Tanah dan Galian kepada Pentadbir Tanah melalui peruntukan di dalam Seksyen 15(1) perenggan (g) Kanun Tanah Negara 1965 (Akta 56). Kedua-dua contoh yang diberikan berkaitan dengan soalan sebelum ini. Berdasarkan maklumat yang diberikan sebelum ini penggunaan frasa 'di dalam' dalam kedua-dua ayat tersebut adalah kurang tepat. Walau bagaimanapun seperti yang dimaklumkan sebelum ini, pemakaian bahasa dalam bidang undang-undang kadangkala tidak persis dalam penulisan umum. Bahasa dalam undang-undang mempunyai larasnya tersendiri dan penggunaannya terhad dalam bidang tersebut. Oleh itu, sila rujuk pakar yang arif tentang laras bahasa undang-undang dan tafsiran setiap kata yang termaktub dalamnya. | Tatabahasa | 17.02.2011 |
(i) Setiap anggota masyarakat hendaklah prihatin dan meminimumkan penggunaan air pada musim kemarau agar bekalannya tidak kritikal dan terpaksa dicatu. boleh tak kata 'pada' dalam ayat di atas dgantikan dengan 'semasa'? mana yang lebih sesuai? apakah perbezaan fungsi kedua-dua kata tersebut? | Setiap anggota masyarakat hendaklah prihatin dan meminimumkan penggunaan air pada/semasa musim kemarau agar bekalannya tidak kritikal dan terpaksa dicatu. - semasa juga boleh digunakan dalam ayat tersebut kerana semasa bermaksud pada ketika/pada waktu. | Tatabahasa | 05.05.2010 |
Adakah ayat-ayat tersebut betul? a) Doktor gigi menasihati Natasya supaya menggosok gigi setiap kali selepas makan b) Puan Hasnah membekali suaminya nasi lemak untuk dimakan pada waktu rehat. C) Peserta-peserta yang akan menjalani kursus itu perlu sentiasa berpakaian kemas. d) Kami menghiasi gambar-gambar pemandangan pada dinding kelas. | Ayat a, b dan c adalah betul. Ayat "d" adalah salah. Ayat yang betul ialah Kami menghiasi dinding kelas dengan gambar-gambar pemandangan. | Tatabahasa | 04.10.2013 |
1. Sekalipun dia kenal sangat suara itu, dia tetap berasa "berwas-was" untuk membuka pintu pada waktu larut malam. Bolehkah saya menggunakan "berwas-was" dalam ayat ini ? Adakah perkataan ini betul ? 2. Apakah maksud " berpancing" ? Boleh berikan ayat contoh. Terima kasih. | 1. Waswas bermaksud (perasaan) sangsi, (perasaan) curiga, dan khuatir; oleh itu, ayat yang betul ialah "Sekalipun dia kenal sangat suara itu, dia tetap was-was untuk membuka pintu pada waktu larut malam." 2. Tidak ada kata terbitan berpancing, yang ada memancing, pemancing, terpancing dan sebagainya. Sila rujuk Kamus Dewan untuk mendapatkan makna setiap perkataan tersebut dan contoh penggunaannya. | Tatabahasa | 01.04.2010 |