Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bagaimanakah ejaan sebetulnya bgi perkataan "khulafa". Sama ada khulafa atau khulafa' | Khulafa' ialah penggunaan dalam bahasa Arab. Penggunaan dalam bahasa Melayu dan dalam bentuk tunggal dieja sebagai khalifah dan apabila jamak digandakan seperti khalifah-khalifah Ar-Rasyidin. | Ejaan | 27.06.2011 |
Assalammualaikum, saya ingin bertanya tentang penggunaan koma sebelum perkataan dan. Adakah dibolehkan menggunakan koma sebelum perkataan 'dan'? Saya ada terbaca beberapa buku yang menggunakan penggunaan sedemikian. Bagaimanakah penggunaan yang sebetulnya? Contoh : telur, roti dan susu atau telur, roti, dan susu ? Seperkara lagi, bagaimanakah penggunaan 'al-Quran' yang sebetulnya? Adakah 'al' itu sepatutnya 'Al-Quran' atau 'al Quran dalam sesuatu ayat? Soalan terakhir, bagaimanakah penggunaan ayat dalam konteks huruf besar?misalnya tajuk Kesan-Kesan Buruk atau Kesan-kesan Buruk.Jika ia berupa tajuk,bagaimanakah penggunaan huruf besar untuk kata berganda seperti ini dan bagaimana pula penggunaan kata ganda dalam konteks ayat(bukan tajuk). Contoh: Negeri-Negeri Melayu atau Negeri-negeri Melayu. Sekian sahaja soalan saya. Sekian,terima kasih. | 1. Penggunaan tanda koma sebelum ‘dan’ lebih kepada gaya penulisan, boleh ada atau tiada. Penggunaan koma sebelum ‘dan’ biasanya untuk kategori yang berbeza, contohnya: Emak ke kedai membeli ikan, sayur, dan surat khabar. 2. Ejaan yang didaftarkan dalam Kamus ialah al-Quran. 3. Kata ganda yang berfungsi sebagai tajuk dieja dengan huruf kecil seperti Hari Kanak-kanak Sedunia kecuali kata ganda tersebut telah didaftarkan dengan huruf besar. | Tatabahasa | 18.11.2011 |
Bagaimana ejaan yang sebetulnya untuk menulis nama-nama Arab dalam teks rencana seperti Al-Barra' bin An-Najjar bin Al-Saif. Apakah nama di pangkal seperti Al dan An perlu huruf besar atau huruf kecil al-Barra dan an-Najjar. Bagaimana pula dengan ejaan khalifah Sayidina Abu Bakar As-Sidique. As itu perlu menggunakan huruf kecil atau besar memandangkan kedudukannya di tengah-tengah dan bukan pangkal perkataan. | Selamat petang. Perkataan an, al dan as ditulis dengan huruf kecil sama ada di pangkal dan di dalam ayat (seperti al-Barra dan an-Najjar dan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq). Sekian. Terima kasih. | Ejaan | 23.06.2016 |
Apakah ejaan yang sebetulnya bagi bulan puasa? 1 Ramdhan 2 Ramadhan 3 Ramdan 4 Ramadan | Ejaan yang betul ialah Ramadan | Ejaan | 18.05.2016 |
surat rasmi, adakah sebetulnya perlu mempunyai garisan lurus di bawah PERKARA | Dalam surat rasmi, di bawah tajuk perkara tidak perlu digarisi kerana teks perkara ditulis semua berhuruf besar dan huruf tebal (bold). | Lain-lain | 16.06.2009 |
Salam, apakah arahan yang sebetulnya diterima untuk arahan bagi bentuk soalan menggariskan jawapan yang betul?Adakah Garisi kata kerja (jawapan) yang betul atau Gariskan kata kerja (jawapan) yang betul?. Terima kasih. Saya ingin selaraskan untuk gaya editing bahan penerbitan kami. Terima kasih. | Akhiran -kan membentuk kata kerja transitif. Kata kerja yang menerima akhiran -kan tanpa awalan wujud dalam dua jenis ayat tertentu sahaja, iaitu: ayat pasif bagi kata ganti nama orang pertama dan kedua, contohnya Rencana itu saya bukukan; dan ayat suruhan, contohnya Belikan saya sebuah buku. Ayat yang dinyatakan merupakan ayat berbentuk ayat suruhan. Maka, frasa yang tepat ialah Gariskan kata kerja yang betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 185 untuk keterangan lebih lanjut. | Tatabahasa | 25.02.2013 |
Apakah gelaran jawatan yang sebetulnya digunakan samada Timbalan Ketua Pustakawan atau Penolong Ketua Pustakawan, Timbalan Pendaftar atau Penolong Pendaftar? Kenapa wujudnya perbezaan penggunaan nama jawatan tersebut bagi sesetengah universiti? | Dalam Kamus Dewan penolong ditakrifkan sebagai orang yang menolong, atau dalam bahasa Inggeris assistant, manakala timbalan ditakrifkan sebagai penolong kepada dalam bahasa Inggeris deputy. Berdasarkan takrifan tersebut hampir sama sahaja makna kedua-dua perkataan itu tetapi lazimnya timbalan digunakan untuk jawatan/portfolio yang besar seperti Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Pesuruhjaya dan Timbalan Pengarah. | Makna | 20.01.2011 |
Apakah terjemahan bahasa Melayu yang sebetulnya untuk perkataan Inggeris "Cover" dalam konteks video/audio muzik yang dinyanyikan oleh orang selain penyanyi asal satu-satu lagu. Contohnya: "Skyfall - Adele Cover by Mat". | Terjemahan yang sesuai bagi perkataan 'cover' mengikut konteks ayat 'Skyfall Adele Cover by Mat' ialah Nyanyian semula lagu Adele oleh Mat - Skyfall | Makna | 02.06.2020 |
Saya ingin tahu penggunaan yang sebetulnya kata panghadapan seperti Yang Berusaha,Yang dihormati,Yang Mulia dan sebagainya kepada orang-orang tertentu? | Sapaan untuk 'Yang Berusaha' biasanya kepada pihak yang menganjurkan majlis; 'Yang Amat Berusaha' untuk pegawai tinggi kerajaan tingkatan kanan, misalnya dari Jusa C ke atas; 'Yang Berbahagia' kepada seseorang yang menerima gelaran kehormat seperti Tan Sri / Puan Sri dan Datuk / Dato' / Datin; 'Yang Amat Berbahagia' kepada Tun / Toh Puan. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku protokol. | Lain-lain | 28.04.2010 |
bagaimanakah penggunaan tanda koma yang sebetulnya dalam ayat: Kami membeli pelbagai jenis sayur-sayuran seperti bayam kangkung sawi dan kobis. Adakah 'simpati' satu perkataan ataupun berasal dari 'simpat' dengan imbuhan akhiran 'i'? Sekian terima kasih. | Tanda koma berfungsi sebagai i. unsur pemisah kata dan frasa yang berurutan. Contoh, kami membeli sayur-sayuran seperti bayam, kangkung, sawi dan kubis; Bendera itu berjalur merah, putih dan biru. ii. Mengapit aposisi"dan sebaginya","dan yang lain", dan seumpamanya. Contoh, Sayur kubis, bayam,salad,kangkung,sawi, dan sebagainya, banyak dijual di pasar tani. Perkataan 'simpati' ialah satu perkataan dan bukan daripada perkataan 'simpat' dengan imbuhan akhiran'i'. Makna perkataan 'simpati' ialah 1. perasaan belas kasihan, timbang rasa, dsb terhadap seseorang atau sesuatu, terutamanya apabila ditimpa kesusahan: bencana spt itu seharusnya mendapat ~ dan bantuan dr dlm dan luar negeri; 2. perasaan bersetuju dgn menyokong sesuatu idea, pendapat, dsb bagi tujuan tertentu; Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Tatabahasa | 11.08.2009 |