Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
SAYA KELIRU PENGGUNAAN AKAN 1. LAMPU ITU SAYA AKAN TUTUP SEBENTAR LAGI ATAU 2. LAMPU ITU AKAN SAYA TUTUP SEBENTAR LAGI. DAN BOLEH PIHAK TUAN JELASKAN. | Kata 'akan' sebagai kata bantu (aspek) hadir sebelum frasa ialah jenis perkataan yang bertugas membantu frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama, iaitu dengan menimbulkan makna tambahan dari segi aspek waktu atau ragam. Oleh itu, ayat yang betul ialah Lampu itu akan saya tutup sebentar lagi. | Tatabahasa | 31.03.2013 |
Saya ingin tahu, dalam permulaan ayat, bilakah perkataan "Kami" dan "Kita" boleh digunakan. Adakah perkataan "kami" itu dirujuk kepada ramai dan "kita" untuk individu sahaja. Sebagai contoh iklan di television "Kita jumpa anda sebentar lagi" atau "Kami jumpa anda sebentar lagi". Yang mana satukah yang betul untuk dituturkan. Sekian, terima kasih. | Kami dan kita ialah kata ganti nama jamak dan boleh digunakan pada pangkal ayat. Kami ialah orang yang bercakap (ramai) dan kita termasuklah orang yang bercakap dan orang yang mendengarnya. Ayat yang betul ialah "Kami jumpa anda sebentar lagi". | Tatabahasa | 05.07.2012 |
Selamat pagi. Sekolah saya baru menjalankan peperiksaan percubaan kali ke-4. Kami mengalami kekeliruan terhadap sesetengah jawapan bagi soalan berikut: 1. Penganut agama Hindu itu ____________ tangga untuk sampai ke Batu Caves. A berjalan B menaiki C menuruni D mendaki * Mengikut jawapan yang diberi, jawapannya ialah B. Tetapi merujuk kepada DBP edisi ke-4, definisi 'menaiki' juga bermaksud 'mendaki'. 2. "Awak pergilah dulu ke kantin. Sebentar lagi, saya akan _________," kata Emily kepada En. Woon. A mengejar B menyusul C mengikuti D mengekori ** Mengikut jawapan yang diberi, jawapannya ialah B. Tetapi merujuk kepada DBP edisi ke-4, definisi 'menyusul' juga bermaksud 'mengikuti' dan 'mengekori'. Sekian, terima kasih. | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata 'menaiki' juga sama dengan 'mendaki'. Begitu juga kata ' menyusul' juga bermakna 'mengikuti' dan 'mengekori'. Sila berbincang dengan pihak sekolah tentang perkara ini. | Makna | 08.08.2008 |
(i ) perbezaan maksud sebentar & sekejap. Apabila merujuk kamus, maksudnya sama ttpi dalam soalan pmr, jawapan yg diterima sekejap dan bukannya sebentar (ii) Ayat: Asap-asap dari kilang-kilang mencemari alam sekitar. Mengapakah kata yg salah asap-asap dan bukannya mencemari | (i) Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, sebentar sama maksud dengan sekejap, seketika. Saudara digalakkan merujuk perkara ini kepada pihak yang menggubal soalan tersebut untuk mendapatkan penjelasan lanjut. (ii) Merujuk ayat tersebut, kilang-kilang sudah menunjukkan jamak, oleh itu perkataan asap tidak perlu digandakan lagi. | Tatabahasa | 26.07.2010 |
1. Bolehkah tolong saya menyemak ayat ini betul atau tidak? Setiausaha Datuk Salleh bukan sombong sebaliknya paling berwaspada selalu menerima tetamu. Tolong berikan alasan. 2. Saya masih keliru dengan letaknya kata penegas -kah dalam ayat berikut. Berapakah kilo durian itu ? atau Berapa kilokah durian itu ? dan Berapakah lama kamu tinggal di sini ? atau Berapa lamahkah kamu tinggal di sini? 3. Yang manakah betul ? Minta/Tolong berikan perhatian dan "Minta / Tolong bersabar tuan-tuan. Acara akan dimulakan sebentar sahaja lagi," kata juruacara itu. 4. Sultan dan permaisuri telah melawat ke kampung kami. Ketibaan baginda/ mereka berdua disambut oleh penduduk kampung dengan meriah sekali. 3. | Sdr. Ming, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Saya benar-benar berharap supaya Sdr. dapat memberikan maklumat yang lengkap pada borang pertanyaan yang disediakan. Ayat ini, Setiausaha Datuk Salleh bukan sombong sebaliknya paling berwaspada selalu menerima tetamu, boleh dibaiki seperti ini- Setiausaha Datuk Salleh bukan sombong sebaliknya sentiasa berwaspada apabila menerima tetamu- penulis atau pengucap tidak dapat memilih perkataan yang sesuai untuk digunakan. bagi soalan kedua dan seterusnya jawapannya ialah, Berapa kilokah durian itu ?, Berapa lamahkah kamu tinggal di sini?, Tolong berikan perhatian dan "Tolong bersabar tuan-tuan. Acara akan dimulakan sebentar sahaja lagi," kata juruacara itu. Sultan dan permaisuri telah melawat ke kampung kami. Ketibaan baginda berdua disambut oleh penduduk kampung dengan meriah sekali. Terima kasih. | Makna | 23.04.2009 |
Tuan, Saya ingin menanyakan soalan iaitu apakah perbezaan antara perkataan 'baru', 'baharu',dan 'bahru' | Menurut Kamus Dewan baru dan baharu sebagai kata adjektif kerap kita temui dalam ayat seperti rumah baru/baharu, kawan baru/baharu dan kereta baru/baharu. Walau bagaimanapun sebagai kata bantu perkataan baru sahaj digunakan seperti baru sampai dan baru sebentar tadi. Manakala perkataan bahru hanya ditemukan dalam penamaan tempat, iaitu Johor Bahru. Dan satu lagi bentuk ejaan yang ada bagi nama tempat ialah Kota Bahru. Hal ini tidak dapat diselaraskan kerana nama-nama tempat tersebut telah diwartakan. | Ejaan | 11.07.2012 |
Dalam ayat yang berikut, "Bapa menghadiahi Ali sebuah basikal baru.", guru anak saya mengatakan bahawa penggunaan perkataan "baru" dalam ayat di atas adalah salah dan harus digantikan dengan perkataan "baharu" kerana "baru" hanya bermaksud "just" dan "baharu" bermakna "new". Guru tersebut turut mengatakan bahawa maksud-maksud "baru" I dari no.1 hingga no.4 pada halaman 131 dalam Kamus Dewan Edisi Keempat adalah salah dan tidak boleh diterima lagi dalam mata pelajaran BM dan ini adalah merupakan perkembangan terkini dalam mata pelajaran BM. Adakah ini benar? | Perkataan baru sama dengan baharu dan boleh digunakan pada bila-bila masa. Namun demikian, perkataan baru lebih sesuai digunakan bagi terjemahan just seperti baru sebentar tadi, tetapi tidak salah jika kita menggunakan frasa kereta baharu atau kererta baru kerana terjemahan new menerima kedua-dua bentuk baharu dan baru. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=baharu. | Tatabahasa | 08.03.2012 |
1. Berdasarkan penerangan tuan pada 1.5.2011, tiada istilah 'menjolok mata'; merujuk Kamus Dewan Edisi ke-4, m.s. 636, 'menjolok mata' bermaksud , (a) sangat jelas kelihatan, sangat nyata; (b) memberi malu, menyakitkan hati. Merujuk Kamus SDA, m.s. 285, 'mencolok mata' bermaksud (a) mencucuk mata; (b) tampak jelas, kelihatab jelas benar; (c) membangkitkan marah orang yang melihat, menyakitkan hati, memberi malu. Soalan saya: adakah penerangan ini bererti bahawa 'menjolok mata' dab 'mencolok mata' membawa maksud yang sama apabila digunakan dalam ayat berikut; 'Pakaian gadis itu sangat menjolok mata/mencolok mata ', bolehkah kedua-dua frasa ini diterima dan betul? Saya menemui dua contoh latihan membetulkan kesalahan bahasa dalam Akhbar Dalam Pembelajaran Utusan Malaysia yang bertarikh 24 Mac 2011 dan 19 Mei 2011 yang menyatakan frasa 'mencolok mata' harus dibetulkan dengan frasa 'menjolok mata' . Oleh itu, saya amat keliru. Sila jelaskan. Terima kasih. 2. Adakah benar istilah 'baru' yang diguna pakai sekarang ialah 'baharu' untuk frasa 'Tahun Baharu Cina, baju baharu, kereta baharu' manakala istilah 'baru' bermaksud 'belum berapa lama lagi' seperti dalam frasa 'baru dia sedar, baru balik dari sekolah'? Sila jelaskan. | 1. Frasa 'mencolok mata' dan 'menjolok mata' kedua-duanya adalah betul. Antara maksud 'mencolok mata' termasuklah dikiaskan kepada menimbulkan rasa meluat dan sebagainya kepada sesiapa yang melihat kerana berlebih-lebihan tentang pakaian, kelakuan dan sebagainya. Dan lazimnya kita menggunakan maksud kiasan 'mencolok mata' apabila merujuk keadaan yang berkenaan. 2. Perkataan baru dan baharu kedua-duanya adalah betul. Walau bagaimanapun dalam penggunaan harian apabila kita menterjemahkan kata 'new' ke dalam bahasa Melayu perkataan yang digunakan ialah baru dan baharu seperti rumah baru, buku edisi baharu, kata 'just' pula diterjemahkan kepada baru sahaja seperti baru sebentar tadi. | Tatabahasa | 20.05.2011 |
|
|