Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Yang manakah perkataan yang mengalami glotalisasi ketika membunyikannya? soalan, lautan, muatan , keadaan? yang saya pasti 'keadaan' tapi satu lagi jawapan ialah? dan kenapa? | Merujuk bidang linguistik, hentian glotis bermaksud bunyi hentian yang dihasilkan dengan menutup glotis rapat-rapat dan diikuti dgn pelepasan secara tiba-tiba. Konsonan yang menerima hentian glotis ialah konsonan k yang penggalannya di hujung perkataan dan tidak dapat dibunyikan, lazimnya dijumpai dalam kata pinjaman daripada bahasa Arab. Tidak terdapat unsur glotalisasi dalam contoh kata yang saudara berikan. Untuk keterangan lanjut sila rujuk Buku Fonetik dan Fonologi, Arbak Othman. | Tatabahasa | 29.10.2010 |
Saya sudah menyemak Kamus Dewan mengenai perkataan 'pun'. Namun ada beberapa perkataan yang menggunakan perkataan 'pun' tidak ada dan saya keliru untuk menggunakannya, kerana ada yang dieja rapat dan ada yang dieja jauh daripada kata dasarnya. Misalnya, walaupun, sekalipun, walau bagaimanapun, meskipun (dieja rapat) dan belum pun, sudah pun (dieja jauh) Oleh itu, apakah formula yang perlu digunakan bagi memastikan sama ada perkataan itu dieja rapat atau jauh. Misalnya - walau apa pun / walau apapun walau bagaimana pun / walau bagaimanapun mahupun/ mahu pun dan lain-lain perkataan berbangkit. Diharap saudara atau saudari dapat memberikan formula untuk menentukan ejaan 'pun' | Ada 13 perkataan yang ditulis serangkai dengan kata partikel pun: adapun, ataupun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun,sungguhpun dan walaupun. Walau bagaimanpun . Pun yang bermaksud juga ditulis terpisah dengan kata yang mengikutinya : apa pun, telah pun. | Ejaan | 11.03.2008 |
Saya perlu maklumat tentang teori medan makna | Teori medan makna- Sesuatu perkataan berkait rapat dengan sesuatu perkataan lain. Untuk membantu, saudara boleh mendapatkan buku hasil tulisan Palmer-(Tajuk:Semantik)-diterjemahkan oleh Abdullah Hassan dan Pengantar Falsafah bahasa tulisan Hashim Musa -2006.Terima kasih. | Lain-lain | 15.09.2006 |
Salam. Senarai hitam merupakan kata majmuk yg tidak mantap. Adakah perkataan ini akan dieja rapat sekiranya imbuhan apitan digunakan seperti menyenaraihitamkan. | Saudara, Ejaan yang betul ialah menyenaraihitamkan. Kata majumuk dieja sebagai dua perkataan. Walau bagaimanapun, apabila menerima imbuhan awalan dan akhiran, perkataan tersebut dieja sebagai satu perkataan. | Ejaan | 22.08.2010 |
sinonim yang bukan sinonim dalam bahasa melayu: pengaruh situasi penggunaan dan amalan kebudayaan masyarakat penuturnya? polisemi dan homonimi dalam bahasa melayu: perkaitan makna yang sering mengelirukan pengguna bahasa? | Pertanyaan saudara ini memerlukan kajian dan penyelidikan yang mendalam. Saudara digalakkan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mana-mana pusat sumber untuk membuat rujukan. Untuk makluman saudara, sinonim ialah kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain. Penggunaan perkataan yang sinonim adalah mengikut kesesuaian dan saling berganti. Polisemi sesuatu bentuk kata, ungkapan, dsb yg mempunyai lebih drpd satu makna yg bertalian rapat antara satu sama lain. Contoh: kepala (orang) : kepala (kumpulan samseng) : kepala (kain sarung) Homonim ialah kata yang sama ejaan dan/atau sebutannya tetapi mempunyai makna yang ebrbeza. Contoh: semak (kaji) : semak (kusut) | Tatabahasa | 09.04.2009 |
Apakah asas bahasa, pertuturan atau tulisa? Soalan ini berkait rapat dengan Bahasa Melayu yang dahulunya teras agama iaitu Islam begitu kukuh hinggakan pertuturan dan penulisan menggunakan fonetik 'arab sama ada dalam penulisan jawai mahupun rumi. Sekarang yang mana satu menjadi teras, teras Islam atau sebaliknya kerana penulisan atapun pertuturan menjadi masalah jika menulisa atau membaca jawi ataupun rumi. | Untuk makluman tuan maklumat yang diperlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun kami akan menjawab soalan tersebut dengan sumber yang ada. (Harap maaf jika jawapan ini tidak menjawab secara persis soalan saudara). Dalam perancangan bahasa, aspek Bahasa Melayu Baku memberikan tumpuan kepada pembinaan bahasa yang lengkap dari segi penggunaan aspek-aspek bahasanya, iaitu betul ejaannya, betul tatabahasanya, betul istilahnya, betul penggunaan katanya, betul laras bahasanya, dan betul sebutan dan intonasinya. Merujuk kepada huraian tersebut, tulisan dan lisan kedua-duanya seiring dalam pembinaan bahasa Melayu baku. Baku tidak terbatas pada aspek sebutan semata-mata, malah tatabahasa, ejaan dan laras yang digunakan haruslah baku, yakni standard. Dalam rancangan pembakuan sistem ejaan Rumi terdapat beberapa sistem ejaan yang pernah wujud. Berkemungkinan dalam proses tersebut terdapat sistem ejaan yang mempunyai pengaruh Islam/bahasa Arab. Kini, sistem ejaan Rumi bahasa Melayu telah disempurnakan pada tahun 1972 dan dikenali dengan nama Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu. | Lain-lain | 21.03.2013 |
APA ITU JENIS KATA ADJEKTIF DAN CONTOH-CONTOHNYA? | Saudara Mohd. Iqbal, Kata adjektif dibahagikan kepada sembilan jenis, iaitu i. kata adjektif sifatan atau keadaan : baik, curiga, cerdik, lemah ii. kata adjektif warna : merah, putih, ungu, kelabu iii. kata adjektif ukuran : panjang, kecil, besar, tebal iv. kata adjektif bentuk : bulat, leper, lurus, kempis v. kata adjektif waktu : awal, cepat, segera, lampau vi. kata adjektif jarak : jauh, dekat, hampir,rapat vii. kata adjektif cara : laju, gopoh, jelas, perlahan viii. kata adjektif perasaan : rindu,benci, suka, marah ix. kata adjektif pancaindera : sedap, manis, payau, masin,kelat Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. | Tatabahasa | 10.01.2010 |
Maaf, saya masih belum berpuas hati sebab saya temui penggunaan perkataan gambarajah satu perkataan dalam portal DPB (seperti dilampirkan). Adakah boleh digunakan pada hal-hal @ situasi tertentu. Jika boleh, bila? | Ejaan yang betul ialah gambar rajah. Untuk pengetahuan saudara, ejaan gambar rajah dalam portal DBP seperti yang dilampirkan ialah istilah lama dan pada ketika itu ejaan gambar rajah dieja rapat. Setelah sistem ejaan baru diperkenalkan, ejaan yang betulnya ialah dua patah perkataan. | Istilah | 12.12.2008 |
Boleh tak tuan memberikan daftar kata terkini perkataan-perkataan yang betul penggunaannya atau maksud saya perkataan lama yang boleh diguna pakai.atau perkataan yang telah megalai perubahan dari segi makna dan ejaan.contohnya saya baru mengetahui kata pendalaman dan pedalaman boleh digunakan untuk membawa maksud yang sama. satu lagi ialah bagaimana penggunaan perkataan bandar raya Kuala Lumpur .bagaimana ejaan yang betul. Bandaraya Kuala Lumpur atau bandar raya Kuala Lumpur | Untuk makluman saudara belum ada lagi terbitan khusus tentang senarai kata baharu dan kata yang mengalai proses peluasan makna. Apa yang boleh dilakukan ialah saudara perlu lebih kerap merujuk Kamus Dewan untuk mengenal pasti status kata tersebut (sama masih dikekalkan ejaannya ataupun telah berubah); ataupun telah diperluas makna kata tersebut. Ejaan yang betul ialah bandar raya, walau bagaimanapun nama khas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah digazetkan sebelum tahun 1972 dan bandar raya dieja rapat (bandaraya). | Ejaan | 28.07.2009 |
saya memerlukan senarai unsur-unsur bahasa basahan dan kajian yang telah dilakukan. harap pihak dbp dapat memberi cadangan dan membantu masalah saya. terima kasih | Bahasa basahan tergolong ke dalam jenis neka bahasa rendah. Ciri-ciri bahasa rendah tidak mematuhi semua peraturan tatabahasa, sebutan, dan penggunaan kata. Ia menggunakan sistem sapaan dan ganti nama yang menunjukkan kemesraan, pertalian keluarga dan kebiasaan dalam kelompok masyarakat tertentu. Ia banyak menggunakan sebutan tidak baku seperti sebutan dialek dan basahan, kosa kata dialek, kata-kata ringkas dan lambang-lambang tulisan yang tidak ada dalam sistem ejaan rasmi, dll. Lazimnya kebiasaan ini adalah peribadi sifatnya, dan tidak dimengerti oleh semua orang. Ada kalanya, kita tidak dapat memahami maksud yang ada pada penutur atau penulisnya. Neka bahasa rendah ini adalah untuk ahli kelompok masyarakat yang dikenali dengan mesra, rapat dan biasa saja. Neka ini tidak boleh digunakan dalam konteks rasmi. Saudara digalakkan mengunjungi perpustakaan atau mana-mana pusat sumber untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut. Terima kasih. | Lain-lain | 05.02.2009 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata saudara rapat; |
|
|