Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Contoh ayat: Setiap bungkus nasi lemak sengaja dibungkus banyak-banyak. Dan hanya berharga dua puluh sen sebungkus. Dalam ayat ini, adakah 'dan' dalam ayat ini berfungsi sebagai penanda wacana atau kata hubung? Bolehkah 'dan' digunakan pada pangkal ayat? Sekian, terima kasih. | Dalam ayat ini, dan berfungsi sebagai kata hubung gabungan yang menyambungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Oleh itu, dan perlu diletakkan di tengah, bukan permulaan ayat. (Setiap bungkus nasi lemak sengaja dibungkus banyak-banyak dan hanya berharga dua puluh sen sebungkus). Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 251. | Tatabahasa | 03.07.2010 |
Selamat sejahtera Saya ingin mengetahui sama ada susunan "mempunyai banyak" ataupun "banyak mempunyai" merupakan susunan yang betul. Sekian, terima kasih. | Kedua-dua "mempunyai banyak" dan "banyak mempunyai" adalah betul. | Tatabahasa | 11.01.2012 |
apakah kebaikan gotong-royong | Gotong-royong bermaksud sama-sama mengerjakan sesuatu atau saling membantu ketika membuat sesuatu. Sudah tentu banyak kebaikan yang kita dapat apabila sesuatu kerja dilakukan bersama-sama. Kita dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih erat lagi, meringankan beban kerja yang berat/banyak, menjana ekonomi lebih luas lagi dll. | Lain-lain | 19.02.2009 |
Hi, saya baru saja baca tentang ramai dan banyak dalam satu buku rujukan tatabahasa. Ramai ibu bapa yang hadir dalam mesyuarat PIBG itu. Buku tersebut memberi penerangan bahawa penggunaan 'ramai' di sini tidak tepat ,sepatutnya guna' banyak ibu bapa....' tetapi kamus dewan memberi salah satu makna 'ramai' ialah banyak. 'Banyak' tidak boleh digantikan dengan 'ramai'? | Perkataan banyak dan ramai boleh digunakan dalam kedua-dua ayat tersebut kerana selain merujuk suasana yang ramai, perkataan ramai juga merujuk bilangan sama seperti banyak. | Lain-lain | 14.06.2012 |
Banyak orang/Ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. ramai orang betul atau banyak orang betul? atau kedua-duanya betul? apa rasionalnya? | Banyak/ramai orang suka akan waklil rakyat yang prihatin dan peramah itu. Banyak dan ramai kedua-duanya boleh digunakan dalam ayat tersebut. Dalam Kamus Dewan, banyak sama makna dengan bukan sedikit, tidak sedikit seperti orang dan sebagainya. | Tatabahasa | 04.09.2008 |
Salam sejahtera... Saya berasa hairan dan musykil tentang beberapa perkara. Lain yang tertera dalam Kamus Dewan, lain pula yang tertera dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Yang berikut ialah senarai jawapan yang saya terima daripada pihak DBP 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. Namun sekiranya merujuk kepada Tatabahasa Dewan 1) perkataan memperakui dianggap sebagai salah 2) memperakukan ialah certify = mengesahkan mana satu yang betul? Adakah maksud memperkawani ialah berkawan dengan? Adakah istilah memperkawankan wujud? manakah yang harus saya ikuti? Kamus Dewan ataupun Tatabahasa Dewan? | Pertanyaan saudara akan kami rujuk kepada panel buku Tatabahasa Dewan. Cadangan kami dalam hal pengajaran, silalah merujuk Tatabahasa Dewan dan Kamus Pelajar kerana Kamus Dewan ialah kamus umum yang merakamkan segala bentuk kata yang terdapat dalam kalangan masyarakat. Kamus Dewan penting untuk mengetahui makna kata yang terakam. Jawapan pertanyaan saudara akan di-e-melkan kepada tuan dengan kadar segera. | Tatabahasa | 04.10.2012 |
salam sejahtera,saya ada 2 pertanyaan. 1. saya keliru tentang penggunaan banyak dan ramai. ada yg berkata, ramai hanya untuk manusia. tapi ada juga yg kata banyak untuk manusia kerana ramai hanya hadir sebagai jamak (orang ramai). 2. perkataan jikalau.. wujudkah perkataan tu? adakah sama seperti kes samada (sama ada). dgn kata lain jikalau (jika kalau).. | 1. Ramai menunjukkan jumlah yang banyak untuk manusia, manakala banyak menunjukkan bilangan bilangan atau jumlah manusia atau bukan manusia. Lazimnya penggunaan 'ramai orang' merujuk suasana (keadaan) orang yang ramai di sesuatu tempat, manakala 'banyak orang' merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 2. Jikalau sama fungsinya dengan kata jika dan kalau, iaitu kata penghubung yang menyatakan syarat. | Tatabahasa | 02.04.2011 |
Merujuk kpd Buku Latihan dan Aktiviti Bahasa Malaysia Tahun 2 Sekolah Kebangsaan Terbitan DBP (2009) Ms 20 Latihan 6B ingin saya bertanya tentang ayat ke5 sama ada pengunaan "Banyak kawan" adakah tepat? Bukankah pengunaan "banyak" hanya digunakan untuk kata nama bukan manusia sahaja dan jika objek itu ialah manusia, perkataan yang harus digunakan ialah "ramai" Mohon bantu untuk saya terangkan kepada anak yang bertanya. Terima kasih. | Banyak bermaksud bukan sedikit atau tidak sedikit, dan banyak boleh digunakan untuk kata nama bukan manusia dan manusia. Contoh: banyak orang yang mempunyai cita-cita tinggi. Oleh itu, penggunaan "banyak kawan" dalam buku teks tersebut adalah betul. | Tatabahasa | 01.03.2010 |
an 'ramaiAsalamualaikum. 1.Penggunaan kata 'banyak' dan 'ramai'. Banyak pelajar tidak hadir ke sekolah sewaktu peperiksaan. Ramai pelajar tidak hadir ke sekolah sewaktu peperiksaan.Mana lebih tepat dan rasionalnya. 2. Perkataan Melayu yang sesuai bagi menggantikan kata on line. 3. Buku itu mengandungi latih tubi soalan PMR. Buku itu mengandung latih tubi soalan PMR.Sesuai atau tidak ayat tersebut menggunakan perkataan mengandung.Kalau betul apakah rasionalnya?. | 1. Banyak boleh digunakan untuk manusia atau bukan manusia, manakala ramai hanya untuk manusia sahaja. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, banyak merujuk bilangan jumlah, dan ia sama dengan makna ramai. Walau bagaimanapun dalam ayat yang diberikan, lebih sesuai digunakan "Ramai Pelajar tidak hadir ke sekolah sewaktu peperiksaan". 2. Padanan bahasa Melayu bagi "online" ialah "dalam talian" 3. Yang sesuai ialah penggunaan perkataan "mengandungi" dan telah biasa digunakan dalam bahasa Melayu berbanding dengan "mengandung" yang digunakan dalam bahasa Indonesia bagi ayat di atas. | Tatabahasa | 11.08.2009 |
Salam sejahtera.. Sekiranya merujuk kepada kamus, memang jelas bahawa perkataan-perkataan ini wujud dan mempunyai maksud yang tersendiri. Namun malangnya, apabila latihan tatabahasa dikemukakan. lain pula jawapan yang diterima: 1) memperakui - tidak wujud? 2) memperakukan - mengesahkah / certify 3) memperhamba - menjadikan seseorang sebagai hamba 4) memperhambakan - mengabdikan diri sebagai hamba 5) menghambakan (diri) - mengabdikan diri sebagai hamba 6) menghambai (??) - "tidak wujud"?? 7) mempersenjatai - memberikan/membekalkan senjata kepada 8) mempersenjatakan - tidak wujud 9) menghujani - mencurahkan/"bertanya" dengan banyak 10) menghujankan - melepaskan sesuatu Saya dimaklumkan bahawa perkataan "segala" adalah salah manakala perkataan "segala-galanya" adalah betul. Namun bukankah: 1) segala - semua 2) segala-galanya = semua-muanya (????) | 1) Memperakui = mengesahkan 2) Memperakukan = menyetujui serta menyokong 3) Memperhamba = memperlakukan sebagai hamba 4) Memperhambakan = menjadikan diri sendiri atau seseorang lain sebagai hamba kepada 5) Menghambakan (diri) = menjadikan hamba 6) Menghambai = mengabdi (kepada) 7) Mempersenjatai = melengkapi dengan senjata 8) Mempersenjatakan = tidak wujud, perkataan yang betul ialah bersenjatakan 9) Menghujani = 1. mendatangkan (melepaskan) dengan banyak-banyak (peluru dan lain-lain) dan 2. mendatangi sesuatu dengan banyak-banyak 10) Menghujankan = 1. menurunkan hujan pada, membasahkan seseorang atau sesuatu dalam hujan dan 2. (maksud kiasan) menjatuhkan atau melepaskan (bom, soalan, dll) banyak-banyak 11) Segala sama maksudnya dengan semua, sekelian, seluruh dan segenap. | Tatabahasa | 28.09.2012 |