Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
1. dari 2000 atau daripada 2000 2. dari jam 12 atau dari pukul 12 3. rindu kepadanya atau rindu padanya? | 1. Daripada 2000 ... 2. Dari jam 12 atau dari pukul 12, kedua-duanya betul. 3. rindu kepadanya | Tatabahasa | 03.03.2012 |
Rindu juga Asyraf kepada / pada kampungnya. | Rindu juga Asyraf pada kampungnya | Tatabahasa | 02.12.2011 |
Asyraf rindu kepada / pada kampungnya. | Asyraf rindu pada kampungnya. | Tatabahasa | 02.12.2011 |
kenapa pengggunaan kata pengguat bebas dibenarkan wujud serentak dlm satu ayat?. sedangkan hukum nahu mengatakan hanya satu kata pengguat sahaja dibenarkan. contoh ayat: Raihana amat sangat rindu akan ayahnya. | Kata penguat bebas amat, sungguh, sangat kedudukannya boleh di hadapan atau di belakang tetapi tidak berturutan dalam satu ayat, contoh: Rihana amat rindu akan ayahnya/Rihana rindu amat akan ayahnya. | Tatabahasa | 24.04.2009 |
Salam sejahtera Tuan/ Puan, Saya ingin bertanya tentang penggunaan men kan atau me ... an - boleh diikuti dgn kata ' akan ' ? Contohnya : 1. Dia rindukan akan ibunya. (Sepatutnya kata adjektif emosi tidak boleh diletakkan " kan " pada penghujungnya - Dia rindu akan ibunya.) 2. Bagaimana pula dengan ayat : Dia amat merindukan akan ibunya ? (kata adjektif emosi sudah bertukar menjadi kata kerja transitif ' merindukan ' ). Bagaimanakah caranya untuk membetulkan ayat tersebut ? a. Dia amat rindu akan ibunya ? b. Dia amat merindui akan ibunya ? c. Dia amat merindui ibunya ? *** d. Dia amat merindukan ibunya ? e. Dia amat merindu akan ibunya ? atau ada jawapan lain yang lebih tepat ? *** 'men ... an ' perlu diikuti dengan objek tidak hidup, betul ? Cthnya : ... menghadiahkan sepucuk surat kepada ibunya. ... merindukan masakan ibunya. manakala ' men ... i ' perlu diikuti dgn objek hidup : ... merindui ibunya ... menasihati pelajarnya Terima kasih & maaf kerana mengganggu. ChoyHH ( choy862003@yahoo.com) | 1. Ayat yang betul ialah Dia rindu akan ibunya. 2. Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 194, di bawah subtajuk (c) Jenis Kata Kerja yang terbentuk (dengan Apitan meN-...-kan), binaan ayat yang menerima kata kerja berapitan meN-...-kan adalah: subjek + kata kerja (meN-...-kan) + objek. Sama juga binaan ayat untuk kata kerja berapitan meN-...-i. Oleh itu, binaan ayat, Dia amat merindukan akan ibunya adalah salah. Ayat yang betul ialah: a. Dia amat rindu akan ibunya. b. Dia amat merindui ibunya dan c. Dia amat merindukan ibunya. Perkataan merindukan dan merindui bermaksud rindu akan dan boleh diikuti dengan objek bernyawa. Kesimpulannya, tidak semua aspek tatabahasa bahasa Melayu dapat dipastikan betul atau salah melalui rumus. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
1.Yang manakah betul-mengajar kami mata pelajaran Sejarah ATAU mengajari kami mata pelajaran Sejarah. 2. Sila berikan satu contoh yang dapat membezakan 'merindui' dengan 'meridukan' 3. Ayat Aktif-Salim menulis karangan ini dengan baik Ayat Pasif-Karangan ini ditulis oleh Salim dengan baik -Karangan ini ditulis dengan baik oleh Salim (Yang manakah betul ayat pasif di atas) | Ayat yang betul ialah, 1. Mengajari kami mata pelajaran Sejarah - mengajari bermaksud mengajar seseorang (sesuatu ilmu pengetahuan, kemahiran, dan sebagainya), melatih (seseorang): contoh, guru yang mengajari murid-murid darjah 5 ilmu alam dan sejarah. 2. Merindui bermaksud mempunyai keinginan yang sangat kuat untuk bertemu dengan seseorang atau mendapatkan sesuatu dan sebagainya, yang sentiasa berada dalam ingatan, kenangan dan sebagainya: contohnya, orang tua itu merindui anak cucunya, manakala merindukan bermaksud membangkitkan rasa rindu, mendatangkan rindu, menjadikan rindu: contohnya, nyanyian yang merawankan dan merindukan hati. 3. Karangan ini ditulis oleh Salim dengan baik dan Karangan ini ditulis dengan baik oleh Salim, kedua-dua ayat ini boleh menjadi ayat pasif. | Tatabahasa | 11.03.2010 |
Bolehkah klausa di bawah digunakan ? 1. rindu serindu rindunya. 2. sayang sesayang sayangnya. 3. panas sepanas panasnya. | Klausa tersebut betul dan boleh digunakan. | Tatabahasa | 30.03.2010 |
Saya mahu menghubungi penulis teks komsas tingkatan 4, novel Melunas Rindu iaitu Puan Hartini Hamzah. Terdapat kekeliruan dalam beberapa peristiwa yang melibatkan watak-watak tertentu.Sekiranya tiada masalah, saya mohon untuk mendapatkan no.telefon beliau.Terima Kasih | Untuk maklumat saudara, novel Melunas Ridu diterbitkan oleh Utusan Publications (bukan DBP). Sila hubungi pihak Utusan Publications untuk mendapatkan maklumat berkaitan penulis tersebut. | Karya | 10.02.2011 |
APAKAH MAKSUD RAWAN? | Merujuk Kamus Dewan Edisi Empat, rawan bermaksud hati pilu, gundah-gulana, rindu bercampur sedih, sayu, terharu. | Makna | 01.07.2010 |
Salam, saya ingin bertanya tentang rangkai kata 'air tangan'?Adakah 'air tangan' itu merupakan rangkai kata biasa atau simpulan bahasa? Apakah kategorinya? Jika dalam perbualan sehari-hari, kita menyelitkan 'saya rindu akan masakan air tangan ibu'. Jadi, adakah perkataan yang digunakan itu salah? Dan apakah maksudnya? Terima kasih. | Air tangan termasuk dalam kumpulan simpulan bahasa yang bermaksud hasil kerja yang diusahakan oleh seseorang yang lazimnya dikaitkan dengan masakan.
| Makna | 05.09.2013 |