Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Puan, Jawaban yang paling tepat untuk ayat berikut ialah " menyikat" atau " menyisir"? Puan Hamidah sedang _______ rambut anak perempuannya supaya tidak kusut. Terima kasih. | Perkataan yang tepat ialah menyikat. | Tatabahasa | 14.08.2013 |
Saya dimaklumkan bahawa perkataan "memberi" perlu diikuti dengan benda bernyawa. Akan tetapi, bagaimanakah kalau benda bernyawa menjadi objek pemberian? Contoh: Pak Samad memberikan anak perempuannya kepada Ali untuk dijadikan isterinya. Dalam kes ini, "memberi anak perempuan" atau "memberikan anak perempuan" yang betul? | Perkataan "memberi" dan "memberikan" merupakan kata kerja transitif aktif. Perkataan "memberi" hendaklah diikuti oleh kata nama objek bernyawa, manakala "memberikan" hendaklah diikuti oleh kata nama objek tidak bernyawa.
| Tatabahasa | 30.10.2013 |
Apakah makna SAUDARA..SEPUPU...SAUDARAMARA..KELUARGA...TK | Merujuk Kamus Dewan, saudara ialah orang yg sama ayah dan ibunya (ibu atau ayahnya sahaja yg sama), abang (kakak) atau adik: ia berazam utk menuntut bela atas kematian ~ perempuannya; 2. orang yg ada hubungan kekeluargaan, sanak: dia bukan ~ saya, hanya kenalan sahaja; 3. orang yg sama darjat. Sepupu ialah saudara sedatuk (senenek). Saudara mara pula ialah semua kaum keluarga sendiri (jauh dan dekat). Untuk mengetahui makna sesuatu perkataan, sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat. | Makna | 10.12.2008 |
Apa beda antara "sumbang mahram" dengan "sumbang muhrim"? | Dalam Kamus Dewan, terdapat istilah sumbang mahram yang bermaksud perlakuan zina yang berlaku antara dua orang anggota dalam sesebuah keluarga, misalnya antara abang dengan adik perempuan ayah dengan anak perempuannya. | Makna | 05.09.2013 |
Assalamualaikum tuan, Apa yang saya ketahui, kata penguat tidak boleh hadir secara berganding. Apabila saya merujuk Kamus Tatabahasa Dewan Edisi Terbaharu, kenyataan ini memang tidak dinyatakan tetapi saya ada terbaca dalam sebuah buku rujukan bahawa terdapat enam kata penguat yang boleh berganding iaitu: 1. Terlalu amat 2. Terlalu sangat 3. Sungguh Amat 4. Sungguh Kurang 5. Agak kurang 6. Amat sangat Saya mohon penjelasan tuan. Sekian, terima kasih. | Darjah penguat boleh hadir secara bergandingan dalam satu ayat. Sebaliknya yang tidak boleh hadir serentak ialah darjah penghabisan. Sila lihat contoh frasa/ayat yang diberikan: 1. Anak perempuannya terlalu amat baik rupanya. 2. Ibu bapa tidak sepatutnya terlalu sangat memanjakan anak-anak mereka. 3. Sungguh amat malang nasibku ... 4. Teramat cantik 5. Amat cantik sekali 6. Teramat cantik sekali (bentuk yang salah - darjah penghabisan tidak boleh hadir bersama) | Tatabahasa | 29.03.2011 |
Assalamualaikum. Di sini saya ada beberapa soalan ingin dikemukakan. 1) di kelilingi ATAU dikelilingi 2) kata-kata alu-aluan ATAU kata-kata aluan ATAU kata alu-aluan 3) mengesot-esot ATAU mengengsot-engsot 4) suasana himpit menghimpit ATAU suasana berhimpit-himpit 5) Pak Ali merupakan salah seorang saksi mujbir kepada peristiwa bersejarah itu, iaitu malam kemerdekaan. - apakah 'saksi mujbir' itu boleh digunakan? Atas segala perhatian pihak tuan, saya dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih. | 1) dikelilingi 2) kata alu-aluan 3) mengengsot-engsot 4) suasana berhimpit-himpit 5) Mujbir ialah kata Arab yang bermaksud yang memaksa. Perkataan ini lazimnya digunakan dalam laras agama seperti wali mujbir, iaitu wali (bapa atau datuk sebelah bapa) yang boleh menikahkan anak atau cucu perempuannya yang masih dara tanpa persetujuan anak atau cucu tersebut. Untuk ayat umum, seperti "Pak Ali merupakan salah seorang saksi mujbir kepada peristiwa bersejarah itu, iaitu malam kemerdekaan." lebih baik kata mujbir digantikan dengan perkataan biasa yang memberi maksud yang dikehendaki, kerana mujbir dalam ayat ini tidak tepat maknanya seperti dalam frasa wali mujbir. | Tatabahasa | 15.06.2011 |