Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Hi, ASP (Active Server Page) ialah Halaman Pelayan Aktif atau Laman Pelayan Aktif? | laman pelayan aktif. | Tatabahasa | 09.08.2007 |
Selamat sejahtera, Adakah penggunaan ayat ini betul? 1)a) Seorang pelanggan sedang memesan makanan daripada pelayan restoran itu. b) Seorang pelanggan sedang memesan makanan pada pelayan restoran itu. c) Seorang pelanggan sedang memesan makanan kepada pelayan restoran itu. 2) a) Pelayan di restoran itu sedang mengambil pesanan makanan daripada pelanggan-pelanggannya. b) Pelayan di restoran itu menulis pesanan makanan daripada pelanggan-pelanggannya. Apakah ayat yg paling tepat?TQ | a) Seorang pelanggan sedang memesan makanan kepada pelayan restoran itu. b) Pelayan restoran itu menulis pesanan makanan daripada pelanggannya. | Lain-lain | 18.12.2007 |
1.seorang pelayan restoran sedang mengambil pesanan makanan dari para pelanggan. 2.seorang pelayan restoran sedang mengambil pesanan makanan daripada para pelanggan. mana satu ayat yang betul? | Ayat kedua yang betul, seorang pelayan restoran sedang mengambil pesanan makanan daripada para pelanggan. | Tatabahasa | 10.07.2012 |
Assalamualaikum.. Saya ingin bertanya tentang ayat aktif dan ayat pasif. Ayat aktif 1. Pelayan itu menghidangi kami makanan 2. Budak itu terpijak paku di tapak pembinaan Bolehkah ayat tersebut dipasifkan seperti berikut: 1.q. Kami dihidangi makanan oleh pelayan itu b. Kami dihidangi oleh pelayan itu makanan 2. Paku terpijak oleh budak itu di tapak pembinaan Terima kasih | 1. Kata kerja dengan apitan meN-...-i bukanlah kata kerja transitif aktif, maka kata terbitannya seperti menghidangi tidak boleh dipasifkan. 2. Paku terpijak oleh budak itu di tapak pembinaan, betul dan berfungsi sebagai kata kerja pasif. | Tatabahasa | 11.03.2013 |
adakah perkataan 'server' iaitu pelayan komputer telah diterima sebagai istilah bahasa melayu.saya ada membuat carian dalam dbp.gov.my ni tetapi saya tak faham keputusan carian tersebut. terima kasih. | Ya. Server adalah pelayan dalam bahasa Melayu | Lain-lain | 29.11.2010 |
Apakah jenis kata kerja bagi apitan meN-...-i dan meN-...-kan? sila pasifkan ayat di bawah ini. 1) Ahmad menghadiahi Hanafiah sebuah kereta. 2) Ahmad menghadiahkan sebuah kereta kepada Hanafiah. 3) Pelayan itu menghidangai kami sedulang makanan. 4) Pelayan itu menghidangkan sedulang makanan kepada kami. | 1. Perbezaan penggunaan meN-... -kan dan meN-...-i adalah dari segi jenis objek tepat yang boleh mengikutinya, iaitu apitan meN-...-kan lazimnya menerima objek yang tidak bernyawa dan apitan meN-...-i menerima objek bernyawa. Contohnya: a) Ali memberikan nasihat kepada Ahmad. b) Ali memberi Ahmad nasihat. Perkataan memberi dalam ayat 1(b) sebenarnya terdiri daripada kata dasar beri yang menerima aptan meN-...-i tetapi telah digugurkan i. 2. kata kerja yang menerima apitan meN-...-kan dan meN-...-i, penggunaannya saling berganti tanpa membezakan makna. Contohnya: a) Ali menasihati Ahmad yang nakal itu. b) Ali menasihatkan Ahmad yang nakal itu. Sila rujuk buku tatabahasa Dewan terbitan DBP. Harap maklum. 1) Hanafiah dihadiahi sebuah kereta oleh Ahmad. 2) Sebuah kereta dihadiahkan oleh Ahmad kepada Hanafiah. 3) Kami dihidangi sedulang makanan oleh pelayan itu. 4) Sedulang makanan dihidangkan oleh pelayan itu kepada kami. | Tatabahasa | 15.03.2013 |
Apakah perbezaan antara kepada , untuk dan terhadap ? Saya menghadapi masalah utk menerangkan kpd anak murid saya yang selalu 'confuse'. Cth ayat anak murid : 1) Pelayan itu menulis pesanan makanan untuk pelanggannya. 2) Pelanggan itu memesan makanan kepada pelayan itu. 3) Kita harulah hormat terhadap ibubapa kita. 4) Lili menulis surat untuk ibunya di kampung. 5) Ahmad menulis surat kepada ibunya di kampung. TQ | Secara keseluruhannya ayat yang dikemukakan adalah betul daripada penggunaan kata sendinya cuma terdapat bebarapa formula antaranya: 1. kata sendi untuk tidak boleh bertukar ganti dengan bagi apabila digunakan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. 2. dalam penggunaan sesuatu frasa sendi nama dalam ayat, dua sendi nama yang seupa boleh digabungkan dalam bentuk setara dengan menggunakan kata hubung seperti dan,atau,tetapi kecuali dalam penggabungan sendi nama yang menggunakan kata hubung tetapi, kata nafi bukan digunakan sebelum kata sendi nama pertama | Tatabahasa | 18.12.2007 |
1. Abu membawa ( bekal/ bekalan) yang disediakan ibu ke sekolah ? 2. Seorang pelayan restoran menghidangkan semangkuk lauk ( kepada / untuk ) pelanggannya. | 1. Abu membawa bekal yang disediakan ibu ke sekolah. 2. Kedua-duanya betul. | Tatabahasa | 13.02.2012 |
KENAPA PADA 11/6 HINGGA 13/6 SAYA TIDAK DAPAT MENGEKSES CARIAN KATA?? | Untuk makluman sdr. pada tarikh tersebut pelayan mengalami masalah teknikal dan telah diperbaiki dan sistem boleh dicapai seperti biasa. | Lain-lain | 13.06.2010 |
1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung ________ melihatnya. Apakah perkataan itu, jika "tempang" salah. 2. Beratus-ratus bungkus tepung dandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. Adakah ayat in betul? 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. Adakah ayat in betul? Terima kasih! | 1. Sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk itu membuatkan orang kampung meluat/menyampah melihatnya. 2. Beratus-ratus bungkus tepung gandum disorokkan di gudang oleh peniaga yang tamak. - ayatini kurang tepat, sila baiki ejaan dan penggunaan kata sendi nama di ditukar kepada di dalam. 3. Pinggan itu ditunjukkan oleh pelayan restoran kepada tetamu yang ingin mengambil makanan. - ayat ini juga kurang tepat. Ditunjukkan bermaksud diperlihatkan, sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih tepat dalam konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 19.03.2012 |