Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bagaimanakah karya-karya kreatif yang berkualiti dalam bahasa melayu mampu memartabatkan bahasa melayu? | Pemartabatan bahasa Melayu melalui karya kreatif telah bermula pada kurun ke-15. Pada masa itu, karya-karya kreatif klasik seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Raja-Raja Pasai dan lain-lain telah mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa persuratan tinggi di Kepulauan Melayu. Dalam konteks masa kini, karya-karya kreatif sastera seperti puisi, cerpen, novel, pantun, seloka, gurindam, dan lain-lain menjadi wahana bagi menyebarluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, penghayatan bahasa Melayu melalui karya kreatif ini secara tidak langsung memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi. | Lain-lain | 06.05.2010 |
definisi sejarah sastera | Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umum sastera sejarah sering kali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah. Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnya sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh waktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya. Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Seri Lanang menjurai asal usul keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti dalam Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syiar Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga. Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh para pengarang sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan atau jurai keturunannya. | Lain-lain | 06.08.2008 |
SOALAN Pelajar tidak dapat meneruskan ucapannya kerana perasaannya "bergemuruh" / bercelaru / bergelora apabila melihat tetamu yang ramai. Kalau mengikut penjelasan KAMUS DEWAN, GEMURUH 2. berdebar-debar hati (kerana ketakutan, berasa sangat bimbang, dsb), agak gementar: setiap pemain pasti berasa sedikit ~ apabila menentang lawan, terutamanya dlm kejohanan penting; ADAKAH BERGEMURUH betul dalam SOALAN di atas juga? ATAU BERGERUMUH hanya boleh membawa erti - berbunyi spt guruh (bunyi kapal terbang, air terjun, dll): rakyat Pasai pun keluarlah, ~ bunyinya; ucapannya mendapat sambutan tepuk-sorak yg bergemuruh; etiga-tiga jawapan pun betul? | Kata gemuruh membawa kedua-dua makna yang dinyatakan. Oleh itu, penggunaan salah satu maknanya dalam ayat adalah betul asalkan bersesuaian dengan konteks ayat tersebut. Contohnya ayat: Pelajar tidak dapat meneruskan ucapannya kerana perasaannya "bergemuruh" / bercelaru / bergelora apabila melihat tetamu yang ramai, pasti yang dimaksudkan ialah makna kedua, iaitu berdebar-debar hati. | Tatabahasa | 10.07.2011 |
Mengapakah terjadinya penciplakan intertekstualiti dalam pembikinan hasil karya tempatan dan bagaimanakah cara untuk menanganinya? | Ciplak secara ringkasnya mengambil karya orang secara sepenuhnya dan memasukkan ke dalam karya kita. Justeru, ciplak salah di sisi undang-undang. Akan tetapi, intertekstualiti bukan ciplak. Ia merupakan pengolahan dan penyesuaian yang kreatif oleh seseorang pengarang pada karyanya. Dalam erti kata lain, sebuah teks menghasilkan teks yang lain. Ini biasa berlaku. Jika saudara memahami intertekstualiti dengan baik dan menguasai hipogram, maka saudara akan lihat betapa banyaknya karya merupakan intertekstualiti. Sejarah Melayu misalnya merupakan intertekstulaiti daripada Hikayat raja-raja Pasai. Demikian juga dengan sejumlah besar karya Shahnon Ahmad, merupakan intertetestulaliti daripada pengarang-pengarang yang lain. Oleh sebab itu, pengaruh bacaan seseorang pengarang pada karya-karya lain tidak dapat dielakkan yang kemudiannya menghasilkan intertekstualiti. | Lain-lain | 21.04.2007 |
Karya Agung: Siapakah penulis yang mendapat anugerah karya agung bagi hasil penulisannya dan apakah judul penulisan mereka? | Karya Agung Melayu ialah karya yang tertulis dalam bahasa Melayu atau yang diungkapkan atau dilisankan dalam bahasa Melayu, tidak kira di manakah asalnya di Dunia Melayu ini. Tiga faktor utama yang merangsang penghasilan Karya Agung dalam bahasa Melayu dalam sejarah yang lalu ialah (a) kekuatan bahasa Melayu itu, (b) pengaruh Islam, dan (c) peranan istana dan sekolah pondok/pesantren. Tiada pengarang yang menerima anugerah atas penulisan mereka kerana beberapa sebab seperti waktu, tujuan dan tidak diketahui pengarangnya. Antara karya yang ditakrif sebagai Karya Agung Melayu oleh Yayasan Karyawan ialah Sulalat al-Salatin (Tun Seri Lanang), Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Tuhfat al-Nafis (Raja Ali Haji), Hikayat Aceh, Hikayat Raja Pasai, Bustan al-Katibin (Raja Ali Haji), Taj al-Salatin (Bukhari al-Jauhari) dan banyak lagi. Untuk keterangan lanjut sila rujuk buku "Pengenalan Konsep dan Gagasan Karya Agung Yayasan Karyawan" terbitan Yayasan Karyawan | Lain-lain | 13.06.2007 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata pasai; |
|
|