Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Adakah perkataan "justeru" bermaksud "oleh itu"? Jika melihat dalam Kamus Dewan Edisi 4, tiada maksud "oleh itu" untuk perkataan justeru. | "Justeru" membawa dua makna. 1. Justeru bermakna kebetulan, tepat, kena benar. Contohnya: Kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi?. 2. Makna kedua ialah malahan, bahkan. Contoh: "Sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia". Penggunaan "justeru" yang membawa maksud "oleh itu" tidak boleh digunakan. Contohnya dalam ayat: "Saya tidak bersetuju dengan pandangannya. Justeru, saya tidak menyokong cadangannya." Ini tidak sama dengan dua makna yang dihuraikan di atas. | Tatabahasa | 21.11.2013 |
oleh itu betul ke oleh sebab itu betul? merasakan keperitan betul ke? ke berasa keperitan? | Frasa 'oleh itu' dan 'oleh sebab itu' kedua-duanya betul. Kata keperitan sahaja sudah membawa maksud rasa/peri hal perit, maka tidak perlu lagi berasa keperitan. | Tatabahasa | 22.03.2011 |
Bolehkah dua kata sendi nama bergabung seperti "semenjak dari" dan "seperti di". | Kata semenjak bermaksud bermula dari, oleh itu tidak perlu lagi diikuti dengan kata dari. Kata seperti bermaksud sama halnya, kata sendi nama di hadapan kata nama atau frasa nama, oleh itu seperti boleh diikuti dengan kata sendi di (dalam frasa nama). | Tatabahasa | 20.01.2011 |
Adakah 'benarkah', 'bolehkah', 'dapatkah' tergolong dalam kategori kata tanya? | Partikel 'kah' merupakan partikel atau kata tugas yg merupakan penegas utk mementingkan predikat dlm ayat tanya/utk menyatakan pertanyaan: Bukan~ hari ini hari ulang tahunnya?. Guru~ orang itu?. Oleh itu, kesemua kata tersebut tergolong dalam kata tanya. | Lain-lain | 15.11.2010 |
Adakah ayat ini betul? Masalah pencemaran semakin serius. Oleh itu, pelbagai anjakan paradigma haruslah dilakukan untuk membendung masalah ini. Terima kasih | Anjakan paradigma bermaksud peralihan atau perubahan daripada sesuatu keadaan atau lingkungan fikiran kepada keadaan atau lingkungan fikiran yang baru, biasanya yg lebih baik. Penggunaan ungkapan anjakan paradigma tidak sesuai dalam konteks ayat tersebut. Sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih sesuai dari aspek maknanya. | Tatabahasa | 09.02.2012 |
justeru bermaksud 1. kebetulan, tepat, kena benar: kenapa justeru sekarang ini engkau harus pergi? 2. malahan, sebaliknya, bahkan: sekali-kali tidak pernah saya mencaci dia, justeru saya puji dia. Tetapi mengapa ramai yang beranggapan bahawa justeru boleh ditukar ganti dengan oleh itu atau maka? Terima kasih | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat "justeru" bermaksud. 1. kebetulan, tepat, kena benar. 2. Makna kedua ialah malahan, bahkan. Penggunaan "justeru" yang membawa maksud "oleh itu" adalah salah dan tidak boleh digunakan. Anggapan bahawa "justeru" boleh ditukar ganti dengan "oleh itu" mungkin disebabkan individu yang menggunakan perkataan tersebut tidak tahu maksud sebenar perkataan tersebut. | Makna | 07.04.2012 |
ada guru berpendapat, tambahan pula bukan penanda wacana tetapi kata hubung. Oleh itu, penggunaannya adalah begini. Ali merupakan harapan keluarganya, tambahan pula ayahnya sudah meninggalkan dunia. Bukannya begini. Ali merupakan harapan keluarganya. Tambahan pula ayahnya sudah meninggalkan dunia. Begitu juga dengan kata bak....tidak boleh selepas noktah atau untuk memulakan ayat baharu. Contoh: Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sunguh, bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana mendapaykan sagunya? Bukannya Kita mesti berusaha dengan bersungguh-sunguh. Bak kata pepatah kalau tidak dipecahkan ruyung, bagaimana mendapaykan sagunya? Bagaimana pendapat tuan? | Dalam buku Tatabahasa Dewan, halaman 526 frasa tambahan pula disenaraikan sebagai penanda wacana penghubung tambahan. Penghubung tambahan merupakan penghubung yang memberikan maklumat tambahan kepada sesuatu perkara yang diperkatakan sebelumnya seperti ayat contoh yang kedua. | Tatabahasa | 08.04.2012 |
Menurut Kamus Dewan, "jarang" atau "jarang-jarang" boleh membawa maksud "tidak selalu". Oleh itu, mengapa ayat ini salah? Dia jarang pergi ke masjid. Jawapan yang diberi dalam buku latihan ialah jarang-jarang. | Salam sejahtera, Berdasarkan makna jarang dan jarang-jarang dalam kamus kedua-dua contoh ayat yang diberi membawa maksud yang sama. Walau bagaimanpun untuk membawa maksud tidak kerap kita menggunakan perkataan jarang-jarang dan untuk maksud tidak kedap perkataan jarang yang digunakan. Jadi jawapan yang betul ialah 'Dia jarang-jarang pergi ke masjid' | Tatabahasa | 09.11.2012 |
Apakah perbezaan di antara oleh yang demikian dan oleh itu? | Kedua-dua frasa tersebut merupakan penanda wacana penghubung musabab. Penghubung musabab ini digunakan untuk sebab berlakunya sesuatu. Tiada perbezaan penggunaan frasa tersebut dalam ayat yang menunjukkan sebab berlakunya sesuatu. Kedua-duanya boleh digunakan.
| Tatabahasa | 16.08.2012 |
Adakah 'sangat terpesona' betul dari segi tatabahasa? | Terpesona bermaksud sangat tergoda, oleh itu kata terpesona sudah memadai. | Tatabahasa | 10.10.2011 |