Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Adakah perenggan di bawah terdapat sebarang kesalahan? Antara punca berlakunya keracunan makanan ialah makanan yang kotor. Makanan yang telah dihinggapi lalat akan tercemar. Apabila seseorang individu menjamah makanan yang tercemar, keracunan makanan akan berlaku. Misalnya, seorang pelajar yang termakan makanan yang dicemari akan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. | Ayat tersebut diperbetulkan menjadi - Antara punca berlakunya keracunan makanan termasuklah makanan yang kotor. Makanan yang telah dihinggapi lalat akan tercemar. Apabila seseorang individu menjamah makanan yang tercemar, keracunan makanan akan berlaku. Misalnya, seorang pelajar yang termakan makanan yang dicemari akan mengalami cirit-birit dan muntah-muntah. Saudara juga boleh menyemak perkataan/istilah/frasa yang digunakan melalui laman web www.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 02.01.2011 |
1. Sementara menanti makanan tengah hari yang sedang disediakan oleh penganjur kursus itu, kami menjamah sedikit makanan yang ada untuk mengalas perut. 2. Semua anggota masyarakat hendaklah saling menghormati agar kehidupan rakyat di negara ini bertambah harmoni. 3. Program lawatan sambil belajar kelolaan Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini akan diadakan pada hujung minggu hadapan jika pihak penganjur mendapat kebenaran daripada pihak Pejabat Pelajaran Daerah. Tuan, bolehkah ayat-ayat di atas dijadikan ayat tunggal? | Ayat tunggal ialah ayat yang mengandungi satu klausa sahaja, iaitu yang mempunyai satu konstituen subjek dan satu konstituen predikat. Ayat "Aktiviti fizikal ini dilakukan untuk pelbagai tujuan." merupakan ayat tunggal kerana mempunyai satu subjek dan satu predikat iaitu Aktiviti ini sebagai subjek (FN) manakala predikat ...dilakukan untuk pelbagai tujuan (FK). Predikat terdiri daripada kata kerja "dilakukan" manakala "untuk pelbagai tujuan" berfungsi sebagai keterangan. Saudara boleh merujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, muka surat 486 untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai ayat tunggal. | Tatabahasa | 14.05.2020 |
Salam, adakah 'sebelum' dan 'selepas' merupakan kata hubung? Ayat contoh: 1. Saya membasuh tangan sebelum menjamah makanan. 2. Ayah pergi bekerja selepas bersarapan. Terima kasih. | 'Kata selepas' dan 'sebelum' termasuk dalam kata penghubung. Jika kata tersebut digunakan dalam ayat, biasanya ayat tersebut merupakan ayat majmuk. | Lain-lain | 16.06.2017 |
apakah perbezaan antara merasa dengan merasa-rasa? Nampaknya maksud dua perkataan ini sama sahaja. | Menurut Kamus Pelajar, merasa diberikan makna mengecap untuk mengetahui rasa makanan atau minuman dengan lidah, contoh ayat: Ibu hendak merasa kuih yang saya buat. Manakala merasa-rasa pula diberikan makna meraba-raba (menjamah) untuk mengetahui kasar halusnya atau berat ringannya sesuatu benda. | Tatabahasa | 18.03.2014 |
Perbezaan kata rasa, berasa dan merasa. Contoh ayat 1)Sarah berasa sangat gembira kerana memenangi pertandingan itu. 2)Namun tidak semua merasa gembira dengan pencapaian tersebut. 3)Zetti rasa tercabar kerana selama ini dia merasakan dirinya paling terkenal di sekolah itu. | Rasa ialah apa-apa yang dikecap oleh lidah, apa-apa yang dialami oleh bahagian tubuh dan apa yang dirasakan di hati. Berasa bermaksud mempunyai rasa dalam hati, mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah dan berada dalam keadaan hairan, insaf dan sebagainya dalam hati. Merasa bermaksud mengecap untuk mengetahui (rasa makanan dan minuman) dengan lidah, mengalami (rasa sakit atau panas) pada tubuh dan meraba atau menjamah sesuatu dengan tangan atau kaki. Ayat 1 dan 3 betul. Ayat 2 diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Namun, tidak semua berasa gembira dengan pencapaian tersebut.” Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1826-1827. | Tatabahasa | 03.10.2024 |
betulkan pemahaman saya mengenai istilah berasa dan merasa berasa ialah sesuatu perasaan terhadap benda atau perkara (sesuatu yang dirasai daripada tubuh badan) merasa pula ialah sesuatu perbuatan dengan menggunakan anggota badan | Berasa dan merasa terbit daripada kata rasa. Kedua-dua perkataan ini digunakan dalam konteks ayat yang berbeza. Dengan merujuk kamus, pengguna akan dapat memahami makna sesuatu perkataan dan dapat menggunakan sesuatu perkataan dengan betul. Dalam Kamus Dewan Perdana (KDP:1826): Makna berasa yang pertama ialah mempunyai rasa dalam hati seperti takut, sedih dan gembira. Contoh ayat: Salina berasa kasihan melihat kucing itu dan mengusap-usap kepalanya. Makna berasa yang kedua ialah mempunyai rasa tertentu yang dapat dikesan oleh lidah seperti manis, pedas dan sedap. Contoh ayat: Kopi ini berasa pahit kerana sedikit sangat gulanya. Makna berasa yang ketiga ialah berada dalam keadaan hairan, sedih, insaf dan sebagainya dalam hati. Contoh ayat: Dia berasa hairan melihat kelakuan majikannya yang tiba-tiba sahaja marah-marah tidak tentu pasal. Makna merasa yang pertama ialah mengecap untuk mengetahui (rasa makanan, minuman dan sebagainya) dengan lidah. Contoh ayat: Ibu hendak merasa kuih yang saya buat. Makna merasa yang kedua ialah mengalami (rasa panas, sakit dan lain-lain) pada tubuh. Contoh ayat: Seluruh tubuhnya merasa gatal-gatal krn dilekati miang rumput ketika terjatuh di tepi longkang. Makna merasa yang ketiga ialah meraba atau menjamah (sesuatu) dengan tangan atau kaki. Contoh ayat: Dia memegang tanganku dan merasa denyut nadi. Kamus boleh dijadikan panduan atau rujukan bagi memastikan sesuatu perkataan yang digunakan betul. | Makna | 05.05.2025 |