Tuan / Puan, Penggunaan ayat / perkataan manakah yang betul? 1a) Tolakan udara ini dikenali sebagai tekanan udara. 1b) Tolakan udara ini dikenal sebagai tekanan udara. 2a) Pemboleh ubah- pemboleh ubah 2b) Pemboleh-pemboleh ubah 3a) Kita dapat menikmati pelbagai sajian makanan. 3b) Kita dapat menikmati pelbagai sajian. 4a) Ibu menghidangkan pelbagai juadah kepada tetamu. 4b) Ibu menghidangkan pelbagai juadah makanan kepada tetamu. 5a) Di akhir bab ini, anda akan mempelajari tentang... 5b) Pada akhir bab ini, anda akan mempelajari tentang... 6a) Di awal eksperimen, air akan mendidih. 6b) Pada awal eksperimen, air akan mendidih. 7a) Bahan toksik. 7b) Bahan yang toksik. 7c) Bahan yang bertoksik. 8a) Meramalkan kejadian taufan. 8b) Meramalkan taufan. 8c) Meramalkan ribut taufan. Sekian, terima kasih. CK | Yang betul dan gramatis adalah seperti yang berikut: 1. Tolakan udara ini dikenali sebagai tekanan udara. 2. Pemboleh-pemboleh ubah 3. Kita dapat menikmati pelbagai sajian makanan 4.Ibu menghidangkan pelbagai juadah makanan kepada tetamu. 5. Pada akhir bab ini, anda akan mempelajari tentang... 6. Pada awal eksperimen, air akan mendidih. 7. Bahan toksik 8. Meramalkan taufan | Tatabahasa | 24.11.2011 |
1. Segak nian Ali yang berpakaian baju Melayu.Adakah penggunaan kata penguat nian betul dalam ayat tersebut. 2. Ali mengambil air untuk memasak atau Ali mengambil air untuk dimasak.Bolehkah analisis dua bentuk ayat itu. 3. Boleh mencarikan saya kata istana untuk raja berikut a. melihat dan b. bersetuju 4. Ali mencari maklumat tentang pelajaran dengan menggunakan internet.Adakah ayat ini salah Sekian, terima kasih ! | Salam sejahtera, Kata penguat nian bereti terlalu sangat, amat benar, sungguh. Dari segi hukum penggunaan kata penguat, kedudukannya boleh diletakkan pada sebelum atau selepas kata yang mengikutinya. Contoh:amat kuat, kuat amat, sungguh cantik dan cantik sungguh. Namun, ada juga kata penguat yang hanya boleh diletakkan selepas kata yang mengikutinya. Dalam konteks kata penguat nian, kedudukannya hanya selepas kata yang mengikutinya. Oleh sebab itu, penggunaannya hanya betul dalam konteks ayat "Segak nian Ali yang berpakaian baju Melayu. Bukan "Nian segak Ali yang berpakaian baju Melayu." Rujuk Kamus Dewan dan Tatabahasa Dewan. Analisis ayat:Ali mengambil air untuk memasak adalah seperti yang berikut: Menurut Kamus Dewan kata "memasak" merupakan terbitan daripada kata masak yang bererti membuat lauk-pauk (kuih-muih, dll), mengolah makanan supaya masak. Ayat yang pertama membawa maksud Ali mengambil air untuk tujuan memasak makanan. Walau bagaimanapun ayat tersebut perlu diperbaik dengan meletakkan objek kerana kata memasak ialah kata kerja transitif yang memerlukan objek. Ayat menjadi lengkap dengan meletakkan objek. Contoh: Ali mengambil air untuk memasak nasi. Analisis ayat:Ali mengambil air untuk dimasak adalah seperti yang berikut: Kata "dimasak" merupakan bentuk pasif memasak. Ayat ini bermaksud Ali mengambil air untuk dimasak atau dipanaskan sehingga mendidih. Kata bahasa istana untuk kata tersebut adalah seperti yang berikut: a. melihat - Tidak ada yang khusus. Jika dilihat dalam teks-teks lama, kata melihat atau memandang digunakan. b. bersetuju - berkenan Ayat:Ali mencari maklumat pelajaran menggunakan internet. Ayat tersebut betul. Sekian, terima kasih. | Tatabahasa | 18.03.2008 |