| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| 1. lorong joging / lorong berjoging 2. merindui sesama sendiri/ merindui sesama diri / merindui sesama diri sendiri | Jawapan yang betul ialah 1. lorong joging. 2. Merindui sesama sendiri. | Lain-lain | 20.10.2010 |
| 1.Lorong itu dikhaskan untuk pejalan kaki. 2. Lorong itu dikhaskan kepada pejalan kaki. Yang manakah lebih tepat? | Ayat yang betul ialah "Lorong itu dikhaskan untuk pejalan kaki. " | Tatabahasa | 15.09.2022 |
| Minta penjelasan terhadap ayat berikut: 1. Bau masakan Siti boleh dihidu hingga ke rumah saya ATAU hingga rumah saya 2. Kami mengekori pencuri itu hingga ke hujung lorong ATAU hingga hujung lorong. 3. Saya mencintai dia hingga ke akhir hayat ATAU hingga akhir hayat Terima kasih | Jawapan yang betul ialah: 1. Bau masakan Siti boleh dihidu hingga rumah saya 2. Kami mengekori pencuri itu hingga hujung lorong. 3. Saya mencintai dia hingga akhir hayat. Bagi kata sendi nama hingga dan ke, kedua-duanya tidak digunakan secara berturutan. Bagi contoh ayat di atas kata sendi nama hingga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk membawa maksud perihal peringkat dan had masa. | Tatabahasa | 26.04.2012 |
| Salam. Terdapat beberapa jenis laluan kereta seperti jalan, lebuh, persiaran, lorong, lebuh raya, cangkat, liku, laluan, dsb. Apakah perbezaannya, dan bilakah masa yang sesuai untuk digunakan, kerana saya lihat beberapa percanggahan dalam penggunaannya di Malaysia. Ada juga beberapa istilah yang saya jumpa sekitar Pulau Pinang seperti gat, lengkok, solok, dan lintang, namun saya tak dapat jumpa takrifannya yang berkenaan di dalam KDP. Dan apakah terjemahan masing-masing dalam bahasa Inggeris? Terima kasih. | Salam sejahtera, Jalan, lebuh raya, lorong, cangkat, laluan dan sebagainya itu mempunyai beberapa perbezaan terutamanya daripada segi saiz, kedudukan, struktur dan fungsi. Sebagai contoh, lebuh raya merujuk kepada jalan yang lebih besar, mempunyai struktur yang lebih canggih, biasanya terdiri daripada lebih daripada satu lorong dan direka untuk membolehkan perjalanan yang lebih jauh, manakala lorong pula ialah jalan atau laluan kecil yang biasanya terdapat di antara rumah-rumah, bangunan-bangunan dan sebagainya. Kata gat, lengkok, solok dan lintang didapati ada digunakan dalam penamaan sesetengah nama jalan. Pemberian nama jalan tersebut berkemungkinan mempunyai kaitan dengan bentuk dan kedudukan jalan tersebut. Kajian lanjut perlu dilakukan untuk menentukan kesahihannya. | Makna | 28.11.2025 |
| hati gadis itu menjadi kecut apabila melalui lorong yang sunyi itu. adakah perkataan kecut itu sesuai? terima kasih | Kecut bermaksud kering berkedut, manakala kecut hati dan kecut perut lazimnya dikiaskan kepada perasaan takut, ngeri dan sebagainya. Oleh itu, perkataan yang betul ialah kecut perut seperti "gadis itu berasa kecut perut apabila melalui lorong yang sunyi itu". | Tatabahasa | 13.06.2013 |
| 1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma c) Hukuman yang menanti adalah maut d) Hukuman yang menanti ialah maut Yang manakah ayat yang betul. 2. Di sesetengah jalan raya ada dibuat lorong khas untuk motosikal dan basikal. Perkataan yang digunakan ialah "lorong sikal". Adakah betul penggunaannya. 3. Tolong berikan ayat contoh penggunaan 'ia' | 1. a) Masuk adalah percuma b) Masuk percuma - kedua-dua ungkapan ini betul, perkataan adalah dalam ungkapan pertama menunjukkan unsur penegasan dalam ungkapan tersebut. Hukuman yang menanti ialah maut - ayat ini yang betul. 2. Istilah laluan sikal (bukan lorong sikal) ada digunakan sebagai padanan bikeway dalam bidang Kejuruteraan Automatif. 3. Ia - kata ganti nama diri ketiga; atau dia: contoh ayat, ia bercita-cita hendak menjadi doktor. | Tatabahasa | 28.05.2010 |
| Assalam tuan, dalam format surat kiriman rasmi,untuk alamat penerima (negeri) perlu ditulis dalam huruf kecil atau huruf besar? Contoh: (huruf besar pada pangkal shj) Jalan 23, Lorong Setia, Taman Bahagia, Bentong, Pahang. 14 MAC 2016 atau (semua huruf besar : negeri) Jalan 23, Lorong Setia, Taman Bahagia, Bentong, PAHANG. 14 MAC 2016 mohon pencerahan dengan kadar segera ...Terima kasih Tuan. | Kedua-dua bentuk penulisan "... 50460 Kuala Lumpur." dan "... 50460 KUALA LUMPUR." adalah betul. Tuan boleh membuat pilihan bentuk yang hendak digunakan dan penggunaannya hendaklah tekal dalam semua surat. | Ejaan | 28.09.2016 |
| mencari perkataan selaian (lorong dan denai) untuk digunakan ,yg memgambarkan suasana kampong lama | Sawah bendang, pepohon nyiur, atap rumbia, wakaf, tok penghulu, perigi, jamung, manjung, dan banyak lagi. Saudara boleh merujuk KD4 pada entri yang berlabel sl (sastera lama). | Lain-lain | 05.10.2009 |
| Bagaimana status karya saya Kumpulan Cerpen: Lorong Pic di Beijing? | Dimaklumkan bahawa manuskrip tuan telah diterima dan akan diuruskan oleh Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Penerbitan. Manuskrip tersebut akan dinilai dari segi kesesuaian penerbitannya. Keputusan menerbitkan manuskrip tersebut tertakluk pada kelulusan DBP. | Lain-lain | 21.01.2026 |
| Salam Saya mencari istilah yang sesuai dalam Bahasa Melayu untuk 'maze', iaitu istilah Bahasa Inggeris untuk teka-teki yang mencari jalan/laluan/lorong yang betul untuk tiba ke penamat. Bolehkah dicadangkan teka-teki seumpama itu dipanggil 'TEKA LIKU' dalam versi Bahasa Melayu? Harap Tuan/Puan dapat beri pandangan. Terima kasih. Aidah | Dalam pangkalan data kami, istilah bahasa Melayu untuki "maze" ialah pagar sesat (bidang Pendidikan, Psikologi) dan lorongan keliru (bidang Perubatan). Oleh itu, istilah bahasa Melayu yang dicadangkan untuk "maze" ialah teka lorong keliru atau teka laluan keliru. | Istilah | 27.08.2013 |