Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Apakah yang lazim digunakan bagi istilah 'soft copy'? Apakah perbezaan SALINAN SOFT COPY dengan SALINAN DIGITAL? | Puan, "Soft copy" dan salinan digital ialah perkara yang sama, iaitu salinan dalam bentuk digital,iaitu dalam disket dsb.. "hard copy" pula ialah salinan cetak. | Istilah | 09.11.2010 |
Berdasarkan soalan lazim bil. 237. ayat `...e-melkan kepada aswadi@yahoo.com`dikatakan betul oleh pihak tuan. Saya mempunyai pandangan yang berbeza. Pada saya, e-melkan ialah kata kerja transitif, oleh itu tidak boleh diikuti dengan sendi nama `kepada` sebaliknya objek. Oleh itu, ayat `...e-melkan borang tersebut kepada aswadi@yahoo.com ` lebih tepat. Apakah pendapat tuan ? | Pandangan saudara betul, kata kerja transitif mesti diikuti dengan objek untuk melengkapkan maksudnya. Ayat yang betul; "Sila e-melkan borang tersebut kepada kami di ..." | Tatabahasa | 10.04.2009 |
Bahasa yang berkembang ialah bahasa yang dapat menerima kata atau perkataan yang lazim dituturkan oleh penutur jati bahasa Melayu. Ahli Lembaga Bahasa di DBP seharusnya memasukkan kata atau perkataan yang lazim dituturkan bukan memasukkan kata atau perkataan yang dipinjam( curian ) daripada bahasa Inggeris semata-mata. Contoh penggunaan kata dan perkataan yang lazim dituturkan oleh penutur jati bahasa Melayu tetapi tiada di dalam Kamus Dewan ialah : 1. guris ( gores ) 2. cincang ( cencang ) 3. ciplak ( jiplak ) 4. gabra ( gubra ) 5. taksub ( taasub ) 6. celupar ( celopar ) 7. istirehat ( istirehat ) 8. Ramadhan ( Ramadan ) 9. analisa ( analisis ) 10. stokin ( stoking ) 11. kerinting ( keriting ) 12. lagenda ( legenda ) 13. pensil ( pensel ) 14. mustika ( mestika ) 15. ole-ole ( oleh-oleh ) 16. kuayer ( koir ) dll | Encik Rizuan, Sistem Ejaan Rumi Bahasa Melayu telah diselaraskan dan diisytiharkan penggunaannya sejak tahun 1975. Oleh yang demikian ejaan perkataan bahasa Melayu sudah mantap dan selaras penggunaannya seperti yang tersenarai di dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. | Lain-lain | 11.05.2010 |
Menggeledah atau menggeladah yang betul? Atau mana satukah yang lebih lazim dipakai? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, menggeledah bermaksud memeriksa dengan tujuan mendapatkan sesuatu (barang curian, senjata haram, dan lain-lain), menyelongkar (rumah dan lain-lain), menggeladah. Oleh itu, menggeledah dan menggeladah adalah sama dan kedua-duanya adalah betul. Walau bagaimanapun, yang lazim dipakai ialah menggeledah. | Ejaan | 09.05.2012 |
Hari kerja atau hari bekerja ? Sila memberi jawapan yang mana betul untuk digunakan dalam ayat berikut : Pengguna boleh membuka Peti pada mana-mana "hari kerja atau hari bekerja" semasa waktu perbankan lazim Bank | Frasa yang betul dan lazim digunakan ialah hari bekerja. | Tatabahasa | 08.02.2012 |
Salam sejahtera! Dalam soalan lazim dbp, pihak tuan mengklasifikan 'syampu' sebagai kosonan bergabung dan 'syiling' sebagai digraf, dimana kedua-duanya mempunyai 'sy'.Apakah perbezaan antara kedua-dua perkataan ini? Terima kasih. | Huruf "sy" dalam ejaan syampu dan syiling termasuk dalam kumpulan digraf sama seperti huruf "ng" dan "ny". Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. | Tatabahasa | 20.06.2013 |
lepak lapuk | Kata yang lazim ialah lepak lepuk dan bukannya lepak lapuk. Lepak lepuk ialah bunyi seperti bunyi barang jatuh ke tanah. Manakala lapuk ialah reput atau terlalu lama atau usang ; atau bunyi orang bertepuk tangan. | Makna | 15.06.2008 |
Merujuk kepada jawapan tuan 'Dalam Kamus Dewan jarang-jarang bermaksud tidak sering, tidak kerap, tidak selalu dan tidak lazim. Berdasarkan makna tersebut penggunaan jarang-jarang dalam ayat pertama dan ketiga betul, manakala ayat kedua dan keempat salah'. Pada pemahaman saya, perkataan jarang sama erti dengan jarang-jarang dan bersinonim dengan renggang: berjarak, bersela, tidak rapat, tidak kedap, serau, serang. contoh yang diberikan oleh pihak DBP: baju kaus - baju drpd kain yg jarang-jarang tenunannya. Jadi jawapan no.2 sepatutnya diterima. Bagaimana pendapat tuan? sekian terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan, membawa beberapa maksud, iaitu: 1. tidak rapat, renggang, bersela-sela, tidak kedap (tenunannya dan lain-lain seperti gigi jarang dan kain yang jarang; 2. tidak lebat, tidak padat seperti rambut yang jarang; dan 3. jarang = jarang-jarang tidak sering, tidak kerap, tidak selalu, tidak lazim seperti jarang berlaku dan jarang terdapat. Berdasarkan huraian tersebut, perkataan jarang tidak selalu sama maknanya dengan jarang-jarang kecuali dalam makna ketiga. Berdasarkan ayat contoh yang diberikan, ayat yang betul ialah baju daripada kain yang jarang tenunannya. | Tatabahasa | 20.10.2012 |
apakah panggilan untuk pengerusi majlis | Yang lazim digunakan ialah Tuan/Puan Pengerusi Majlis. | Tatabahasa | 21.09.2011 |
Mendengar dari radio @ Mendengar daripada radio? | Yang lazim digunakan ialah mendengar radio. | Tatabahasa | 13.10.2011 |