Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Apakah tanda koma diperlukan untuk ayat berikut: "Sebarang pertanyaan lanjut, tuan boleh menghubungi Encik Ahmad bin Ali di talian..." atau "Sebarang pertanyaan lanjut tuan boleh menghubungi Encik Ahmad bin Ali di talian..."? Sekian, terima kasih. | Ayat yang betul ialah "Untuk pertanyaan lanjut, tuan boleh menghubungi Encik Ahmad bin Ali melalui talian 013-2471000”. Koma dimasukkan selepas perkataan “lanjut”. | Tatabahasa | 12.08.2024 |
Penjelasan lebih lanjut tentang penggunaan kata ganti diri. 1. Adakah perkataan 'mereka' boleh digunakan untuk haiwan? 2. Adakah perkataan 'ia' boleh digunakan untuk haiwan? 3. 'Mereka' atau 'Mereka semua' yang sesuai untuk digunakan dalam ayat? Terima kasih | 1. “Mereka" ialah kata ganti diri manusia, tetapi tidak digunakan kepada haiwan. 2. “Ia” ialah kata ganti nama diri manusia dan boleh juga merujuk benda atau perkara yang dibicarakan, tetapi "ia" tidak digunakan kepada haiwan. 3. “Mereka semua” boleh digunakan kerana semua di sini menunjukkan keseluruhan, bukan bilangan. Kesesuaian perkataan “mereka” dan “mereka semua” digunakan mengikut konteks ayat. | Tatabahasa | 29.08.2018 |
Salam sejahtera, 1. Bolehkah saya mengetahui lebih lanjut mengenai maksud kata "payung" daripada aspek maksud teras dan maksud pinggiran? 2. Di manakah saya boleh mendapat maklumat lanjut mengenai maksud kata "payung" selain PRPM? | Sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020:1637-1638) untuk mengetahui makna "payung" dengan lebih jelas. Makna teras dan makna pinggiran (kiasan) terakam dalam pecahan makna bagi kata ini boleh diperoleh daripada maklumat yang disusun dalam kamus tersebut. Kata "payung" juga mempunyai homonim yang mungkin tidak diketahui ramai orang. Saudara juga boleh menghubungi Puan Siti Norsuhaila binti Samsudin (03-21479183) di Bahagian Perkamusan, DBP untuk maklumat lanjut. | Makna | 08.05.2024 |
Salam cik, ini nak dapatkan maklumat lanjut untuk perkhidmatan penterjemahan dari bahasa inggeris ke bahasa melayu. Siapa dan nombor telefon untuk saya tanya lanjut | Untuk makluman, DBP tidak menjalankan kerja penterjemahan atau menawarkan khidmat penyemakan terjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. Sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) melalui talian 03-9226 2506 atau e-mel terjemah1@gmail.com. | Penyemakan dan penterjemahan | 23.04.2020 |
Salam, Bolehkah perkataan "info" digunakan untuk menggantikan "maklumat" / "informasi"? Contoh: Untuk info lanjut, sila layari xxxxx | Ayat yang betul ialah Untuk maklumat lanjut, sila layari | Tatabahasa | 28.10.2022 |
Saya berhasrat untuk menerbitkan buku dengan DBP. Boleh saya tahu lebih lanjut? | Pihak tuan boleh menghubungi En. Rusdi Abd Rahman, Bahagian Buku Umum DBP untuk memperoleh maklumat lanjut berkenaan perkara ini. Nombor telefon pejabat: 03-21479431. Maklum, terima kasih. | Lain-lain | 25.03.2021 |
Apakah huraian atau prinsip lanjut untuk menentukan sesuatu perkataan tersebut merupakan kata nama khas atau kata nama am selain daripada huraian Tatabahasa Dewan yang berbentuk umum sahaja? Contohnya kata kerja transitif mesti diikuti objek dan kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek dan terdapat beberapa kedudukan tertentu bagi kata adverba penekan. | Sekiranya maklumat yang diperlukan tentang kata nama kas dan kata nama am, penjelasan lanjut boleh dirujuk pada halaman 84 dan 85, buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Kata nama khas ditandai dengan huruf besar pada awal kata dan dibahagikan kepada dua jenis, iaitu hidup dan tak hidup; manakala kata nama am dibahagikan kepada konkrit (kebendaan) dan abstrak (bukan kebendaan). | Tatabahasa | 11.01.2022 |
Saya sebagai Pengerusi CLAPAM sedang berusaha dengan PPUM supaya istilah "klef" dapat diguna secara rasmi (menggantikan istilah sumbing). Sila rujuk kepada lampiran yang memberi penerangan lanjut. Kami berhajaat supaya istilah "klef" ini dapat dimasukkan kedalam Kamus Dewan dsb. Sila hubungi saya memlalui 0192233519 atau emel yang diberi untuk kita berbincnag lanjut. | Kami akan merujuk hal ini kepada Jawatankuasa Istilah Semasa DBP dan segera hubungi pihak CLAPAM setelah mendapat pengesahan. | Lain-lain | 16.07.2021 |
Saya memohon jika ada sebarang contoh karya "puisi esei". Saya pertama kali mendengar mengenai penulisan "puisi esei" dan ingin mengetahui lebih lanjut bentuk dan format karya ini. Perhatian dan bantuan daripada pihak Tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Sekian. | "Puisi Esei" merupakan suatu bentuk puisi moden yang memadankan antara puisi dan esei. Untuk mengetahui lebih lanjut boleh rujuk Dewan Sastera, Jun 2022 yang membincangkan tentang "puisi esei" sebagai fokus utama dengan tajuk “Puisi Esei: Genre yang Terbentang antara Fakta dengan Fiksyen” oleh Jasni Matlani. Contoh puisi esei boleh dirujuk di JendelaDBP dengan kata carian "Puisi Esei". | Sastera | 26.08.2024 |
Apakah perbezaan perkataan 'perisikan' dan 'risikan' dan penggunaan kedua-dua perkataan ini? Bagi contoh-contoh ayat di bawah, perkataan mana yang betul? (1) Usaha ini dilakukan melalui aktiviti risikan atau perisikan .... (2) Tindakan lain seperti pemeriksaan, pengeluaran surat amaran, risikan atau perisikan lanjut ... (3) Pegawai risikan atau perisikan (4) Aktiviti seperti pengesahan maklumat, pemprofilan dan risikan atau perisikan lanjut juga perlu dilakukan... | Apakah perbezaan perkataan 'perisikan' dan 'risikan' dan penggunaan kedua-dua perkataan ini? Perisikan ialah perihal kegiatan dan sebagainya, manakala risikan ialah usaha menyiasat dan menyelidik secara rahsia atau dengan cara sembunyi-sembunyi. Ayat yang betul adalah seperti yang berikut: (1) Usaha ini dilakukan melalui aktiviti risikan. (2) Tindakan lain seperti pemeriksaan, pengeluaran surat amaran dan perisikan lanjut... (3) Pegawai perisik (4) Aktiviti seperti pengesahan maklumat, pemprofilan dan perisikan lanjut juga perlu dilakukan... | Tatabahasa | 08.04.2022 |