Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
laksana menumbuk beralaskan nyiru ialah peribahasa atau simile? | Secara harfiah, ungkapan di atas lebih mirip dengan simile disebabkan terdapat perbuatan menumbuk dengan beralaskan nyiru. Hal ini sama juga dengan frasa bodoh macam lembu, tinggi macam galah dsb. T.kasih. | Makna | 08.07.2008 |
apakah maksud seperti bunyi gong pecah,laksana diharungi ular,laksana burung diam dalam sangkar,seperti anak ayam kehilangan ibu,seperti anjing dengan kucing,seperti api dalam sekam,rosak badan kerana mulut,ada gula ada semut,dan bumi mana tidak ditimpa hujan? | Makna peribahasa yang ada dalam senarai rujukan kami (merujuk soalan saudara) adalah seperti yang berikut: laksana burung diam dalam sangkar = orang yang terikat hidupnya. anak ayam kehilangan ibu = kesusahan kerana bercerai dengan sahabatyang karib; rakyat yang kehilangan pemimpin. seperti anjing dengan kucing = selalu bertengkar. seperti api dalam sekam = perbuatan jahat atau rindu dendam yang tersembunyi. kerana mulut badan binasa = mendapat kecelakaan kerana perkataannya. ada gula ada semut = di mana banyak kesenangan, di situ ramai orang datang. bumi mana tidak ditimpa hujan = tiap-tiap orang adakalanya buat kesalahan.
| Lain-lain | 13.04.2008 |
Puan, Sila jelaskan maksud peribahasa "Laksana kunyit kena kapur" Terima kasih. | Peribahasa yang terakam dalam Kamus Istimewa Peribahasa Melayu ialah "sebagai kunyit dengan kapur" yang bermaksud mudah mesra. | Lain-lain | 14.08.2013 |
Assalamualaikum, 1. Apakah maksud peribahasa laksana perahu bersauh tunggal? | Maksud peribahasa ini tidak ada dalam sumber rujukan kami. | Makna | 11.11.2009 |
apakah maksud kata terbitan dan contoh-contohnya | Kata dasar yang menerima imbuhan (awalan/akhiran/apitan) akan menghasilkan kata terbitan. Contohnya apitan peN-...-an digabungkan dengan kata dasar laksana akan menghasilkan kata pelaksanaan dan pelaksanaan adalah kata terbitan. | Tatabahasa | 21.09.2011 |
Mengapa pelaksanaan, bukannya perlaksanaan? | Menurut Tatabahasa Dewan, hanya terdapat awalan meN- menjadi me- apabila bergabung dengan kata dasar yang bermula dengan huruf-huruf m,n,ny,ng,r,l,w dan y. Kata dasar laksana hanya boleh menerima imbuhan meN- menjadi melaksanakan. Oleh itu, imbuhan meN- akan membentuk kata nama terbitan pelaksanaan. | Tatabahasa | 29.03.2007 |
SALAM,SAYA INGIN BERTANAY KEPADA SAUDARA/SAUDARI..CONTOH-CONTOH KATA SENDI NAMA BAGAIMANA.. | Tidak ada kata sendi nama bagaimana dalam bahasa Melayu. Kata sendi nama yang lazimnya digunakan dalam bahasa Melayu ialah di, ke, dari, daripada, kepada, pada, untuk, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, laksana , dengan, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga dan sampai, dalam dan antara. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. | Tatabahasa | 03.08.2009 |
Pohon jelaskan berkenaan penggunaan 'kan' selepas sesuatu kata kerja contohnya: menyedia/menyediakan; mengada/mengadakan; melaksana/melaksanakan. Pada perkataaan yang bagaimana perkataan 'kan' tidak boleh digunakan? | Saudara Norzila, Perkataan yang betul ialah menyediakan, mengadakan dan melaksanakan. Kata kerja sedia, ada dan laksana yang terbentuk dengan apitan meN...kan ialah kata kerja transitif, iaitu yang digunakan sebagai unsur predikat yang memerlukan objek atau penyambut dalam ayat transitif aktif. Pada kebiasaannyan kata kerja transitif mendapat apitan men...kan. Walau bagaimanpun bukan semua kata kerja transitif mengandungi ...kan. Ini bergantung pada penggunaan kata tersebut dalam konteks ayat yang melibatkan objek, sama ada objek tepat atau objek sipi. Contohnya, Hasnah membeli sebuah buku untuk Ali; Kakak menjahit sehelai baju untuk adik. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 190-197. | Tatabahasa | 09.07.2009 |
Tolong beri takrif - Bandingan Semacam berserta senarai bandingan semacam | Maklumat yang diperlukan tidak ada dalam pangkalan data kami. Namun melalui carian di Internet, kami temukan beberapa maklumat yang boleh membantu saudara. Bandingan semacam ialah sejenis bahasa kiasan yang menunjukkan sifat, keadaan seseorang atau sesuatu benda secara perbandingan. Bandingan semacam pada umumnya digunakan dengan perkataan macam, seperti, bagai dan laksana. Contohnya adil macam hakim, angkuh macam merak dan bebas macam burung.
| Tatabahasa | 13.03.2013 |
peribahasa pungguk rindukan bulan atau pungguk merindukan bulan | Dalam kebanyakan pantun dalam buku 'Kurik Kundi, Merah Saga' (Koleksi Pantun) mengungkapkan seperti yang berikut: 1. Seperti pungguk rindukan bulan 2. Macam pungguk rindukan bulan 3. Laksana pungguk rindukan bulan Tetapi dalam contoh yang diberikan dalam KD4: 1.Seperti pungguk merindukan bulan. | Lain-lain | 20.02.2009 |
|
Puisi |
---|
|
Bismilah mula dikarang, Syairlah pantun sajanya kurang; Laksana kainlah jarang, Tidak boleh dibagi orang.
Lihat selanjutnya... |
|