Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
hormat-kehormat atau hormat-hormat | Tidak ada hormat-kehormat atau hormat-hormat dalam pangkalan data kami. Perkataan yang terdapat dalam Kamus Dewan ialah berhormat-hormatan dan hormat-menghormati yang bermaksud saling memberi hormat. | Makna | 18.04.2011 |
KUNJUNGAN HORMAT ATAU KUNJUNG HORMAT? | Yang betul ialah kunjungan hormat. | Tatabahasa | 11.11.2009 |
Saya ingin tahu tentang penggunaan panggilan hormat Tuan. Adakah panggilan hormat tersebut boleh digunakan kepada ketua jabatan yang tidak mempunyai sebarang gelaran hormat? Sebagai contoh Tn. Mohd Zanal bin Dirin, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara. | Umumnya, encik ialah panggilan kepada orang lelaki yang sederhana kedudukannya atau yang tidak dikenali (yg tidak mempunyai sebarang gelaran spt Datuk, Tengku, dsb). Manakala, tuan ialah panggilan bagi orang laki-laki yang berpangkat atau yang patut dihormati. | Tatabahasa | 30.03.2013 |
Salam. Adakah boleh digunakan kosa kata "hormat" selain untuk manusia? Contohnya, menghormati masa, hormat akan alam sekitar, menghormati disiplin, hormat akan tumbuhan. Terima kasih... | Menurut Kamus Dewan Edisi Empat, hormat ialah 1 perbuatan yang menunjukkan rasa khidmat atau takzim kepada seseorang: Apabila guru masuk ke bilik darjah, murid-murid pun berdiri memberi ~ kepadanya. 2 menaruh atau memberi penghargaan terhadap seseorang: Wajib kita ~ kepada ibu dan bapa kita. 3 sopan; santun; takzim: Budak itu sangat ~. Bagi masa, alam sekitar, tumbuhan, frasa yang boleh digunakan ialah menghargai iaitu menghargai masa, menghargai tumbuhan dan lain-lain yang bersesuaian. | Tatabahasa | 25.07.2013 |
Satu pertanyaan. Adakah perkataan SALAM boleh digunakan untuk menggantikan Assalamualaikum? Terdapat sumber mengatakan perkataan SALAM memberi erti Celakalah Kamu. Mohon penjelasan. Terima kasih. | Kamus Dewan Edisi Empat menyatakan salam ialah 1. sejahtera, damai; 2. (pemberian) hormat, (penyataan) hormat: baginda duduk di atas kuda, melambai-lambai membalas salam rakyat baginda; salam takzim salam dan hormat; berjabat salam berjabat tangan; memberi salam mengucapkan kata hormat (seperti assalamualaikum dsb);. Assalamualaikum (Arab) pula ialah selamat sejahtera kepada kamu semua (lelaki dan perempuan). Kita berbahasa menggunakan bahasa Melayu yang difahami dan segalanya niat kerana Allah. Dia maha mengetahui niat seseorang. Wallahualam. | Makna | 18.02.2013 |
salam hormat buat dbp, boleh saya tanya, adakah penggunaan bahasa rojak juga mengabaikan penggunaan seperti antonim dan sinonim ? contohnya, perkataan "pasal" digunakan untuk menggantikan berkaitan, tentang, berkenaan dan mengenai. | Dalam Kamus Dewan, Edisi Keempat hanya perkataan pasal dilabelkan sebagai bahasa percakapan (bp) kepada perkataan fasal. Bahasa rojak ialah penggunaan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang digunakan secara lisan terutamanya oleh golongan yang tidak mementingkan penggunaan bahasa Melayu yang betul. | Tatabahasa | 20.11.2013 |
Salam hormat, saya ingin tahu adakah perkataan "begitu", "banyak"dan "belaka" digolongkan dalam tatabahasa Kata Penegas? Terima kasih. | Kata penegas yang disebut juga partikel atau kata penyerta ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat. Terdapat dua jenis kata penegas, iaitu: (i) Yang menegaskan hanya frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, -kah, -tah, dan -lah. (ii) Yang menegaskan kedua-dua bahagian ayat, iaitu frasa nama sebagai subjek atau bahagiannya atau frasa predikat atau bahagiannya. Contohnya, juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang. Perkataan-perkataan begitu dan banyak boleh menjadi kata penegas apabila menerima proses pendepanan, seperti contoh: banyakkah dan begitulah. | Tatabahasa | 22.05.2013 |
Salam hormat. Adakah saya boleh menggunakan perkataan 'CIKAL BAKAL" di dalam ayat Bahasa Melayu, memandangkan perkataan CIKAL BAKAL tiada di dalam kamus Dewan Bahasa. Adakah perkataan CIKAL BAKAL wujud di dalam kesusteraan Bahasa Melayu? Mohon nasihat tuan dalam hal ini. Terima kasih. | Perkataan tersebut tidak wujud dalam Kamus Dewan Edisi Empat. Dalam Wikipedia dan Kamus Besar Bahasa Indonesia Cikal Bakal bermaksud i) NENEK MOYANG/ASAL USUL/SESEPUH/KETURUNAN/LELUHUR CONTOH: CIKAL BAKAL ORANG SRIVIJAYA (ii) PENDIRI/PENGASAS/ORANG YANG MULA-MULA MENDIRIKAN DESA/NEGARA.
| Tatabahasa | 08.10.2012 |
Salam hormat DBP, Saya bagi pihak Tesco Stores Malaysia S/B ingin mendapatkan pengesahan bahasa yang digunakan dalam "Customer Calling Card" dan "Shopper operations Board" yang bakal digunakan oleh pihak Tesco. Visual "Customer Calling Card" dan "Shopper operations Board" dilampirkan untuk tindakan lanjut pihak DBP. Terima Kasih. | Untuk makluman, tidak ada istilah khusus "Customer Calling Card" dan "Shopper Operations Board". Istilah bahasa Melayu untuk "calling card" ialah kad nama. Istilah yang dicadangkan ialah Kad Nama Pelanggan. Istilah yang dicadangkan untuk "Shopper Operations Board" ialah Papan Operasi Pembeli-belah. Sekiranya padanan yang dicadangkan tidak sesuai, sila berikan penerangan lanjut tentang istilah tersebut. | Istilah | 01.10.2012 |
Salam hormat, tuan. Saya ada sedikit kemusykilan tentang penggunaan kata "nan" yang membawa maksud 'yang'. Adakah boleh kata "nan" digunakan pada sebarang keadaan? Sebelum ini saya ada terdengar tentang kata "nan" hanya digunakan sekiranya kata sebelumnya berakhir dengan huruf 'n'. Misalnya; frasa "lautan nan luas". Jadi, frasa "karya nan indah" dianggap tidak gramatis kerana kata 'karya' tidak diakhiri dengan huruf 'n'. Saya musykil tentang ini. Mohon penjelasan daripada pihak tuan. | Tidak ada dapatan sedemikian dalam rujukan kami. Kata "nan" boleh digunakan bagi membawa maksud "yang" , contohnya rumah nan jauh. | Tatabahasa | 15.06.2012 |