Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam sejahtera. Bolehkah ayat-ayat berikut diterima? Terima kasih. 1. Hari-hari, saya pergi ke sekolah. (Bolehkah perkataan hari-hari digunakan dalam ayat ini?) 2. Sungguh penat saya berasa. (Bolehkah frasa adjektif hadir di hadapan kata kerja?) 3. Saya hendak mencapai markah yang bagus. 4. Saya lapar. Jadi, saya memasak sebungkus mi segera. 5. Ana bertanya kepada Rudi mengapa dia hendak membeli beg baharu. 6. Murid-murid sedang membuat kertas ujian. | Pembetulan contoh ayat tersebut seperti yang berikut: 1. “Hari-hari, saya pergi ke sekolah” kurang tepat. Ayat yang betul ialah “Pada setiap hari saya pergi ke sekolah”. 2. Ayat “Sungguh penat saya berasa” Frasa adjektif (sungguh penat) tidak boleh diletakkan di depan kata kerja tak transitif kerana kata tersebut berfungsi sebagai pelengkap. Ayat yang betul ialah “Saya berasa sungguh penat.” 3. Saya hendak mencapai markah yang bagus. Ayat ini betul. 4. “Saya lapar. Jadi saya memasak sebungkus mi segera”. Ayat yang betul ialah “Saya lapar, jadi saya memasak sebungkus mi segera.” / “Saya berasa lapar, jadi saya memasak sebungkus mi segera.” 5. Ana bertanya kepada Rudi mengapa dia hendak membeli beg baharu. Ayat yang betul ialah “Ana bertanya kepada Rudi sebab dia hendak membeli beg baharu.” 6. “Murid-murid sedang membuat kertas ujian”. Ayat yang betul ialah “Murid-murid sedang menjawab kertas ujian.”
| Tatabahasa | 25.08.2021 |
Sama ada hari guru, hari kanak-kanak dan hari ibu ditulis dalam huruf besar? Terima kasih. | Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Pekerja dieja dengan huruf besar. Manakala hari kanak-kanak dan hari gotong royong dieja dgn huruf kecil kecuali ada unsur-unsur khusus spt Hari Kanak-Kanak Sedunia 2007 atau Hari Gotong-royong Taman Permai, barulah dieja dengan huruf besar. | Tatabahasa | 22.12.2013 |
Selamat sejahtera, Ada dua soalan yang ingin saya ajukan: 1) Perlukah digunakan huruf besar untuk merujuk hari-hari tertentu?contohnya hari keluarga, hari kantin, hari terbuka dan sebagainya? 2) Ejaan guru besar perlu dieja dengan huruf kecil jika tidak disertai nama dan sebagainya. Tapi, bagaimana pula jika ayat seperti, "Saya ingin berjumpa dengan guru besar." Masih dieja dengan huruf kecilkah? Terima kasih. | 1. Huruf besar tidak perlu digunakan untuk hari kantin, hari keluarga dan hari terbuka kerana perkataan tersebut merupakan kata nama am. Huruf besar digunakan apabila perkataan tersebut menjadi kata nama khas seperti Hari Keluarga Dewan Bahasa dan Pustaka dan Hari Terbuka Sekolah Kebangsaan Ampang. 2. Perkataan guru besar dalam ayat yang diberikan dieja dengan huruf kecil. (Saya ingin berjumpa dengan guru besar.) | Ejaan | 25.04.2013 |
Selamat sejahtera. Apakah ejaan yang betul bagi perkataan di bawah? 1. Hari guru / Hari Guru 2. Hari kanak-kanak / Hari Kanak-kanak 3. Hari kantin / Hari Kantin Saya telah rujuk khidmat nasihat yang dipamerkan tetapi telah menimbulkan kekeliruan. Terdapat ejaan yang berbeza dalam forum itu. Harap pihak tuan akan memberikan jawapan yang tepat. Terma kasih. | Frasa Hari Guru, Hari Kanak-kanak (Sedunia) dan Hari Kantin berfungsi sebagai nama khas sekiranya berganding dengan penerang nama khas dan huruf pertama dieja dengan huruf besar. Sekiranya frasa dalam ayat umum biasa hari guru, hari kanak-kanak, hari kantin ditulis dengan huruf kecil. | Ejaan | 08.09.2018 |
"Perkataan hari bila perlu ditulis dengan huruf besar?" | Huruf besar digunakan sebagai huruf pertama nama tahun, bulan, hari, hari perayaan dan kebesaran, serta peristiwa bersejarah. Contohnya, Hari Raya Aidilfitri, Hari Kebangsaan, Hari Pekerja dan Hari Wesak. | Tatabahasa | 28.08.2013 |
apakah beza antara "Keesokan harinya", "Keesokan hari", "Hari esok" dan "Esoknya"? sekiranya wujud, apakah contoh penggunaan dalam sesebuah ayat? Terima Kasih | Mengikut Kamus Dewan, "Keesokan Harinya" dan "Keesokan Hari" membawa maksud "Esoknya" iaitu hari selepas hari itu atau hari esok. Ketiga-tiganya betul dan merujuk makna yang sama.
| Makna | 31.07.2021 |
Adakah ayat berikut sesuai untuk buku bacaan kanak-kanak? Hari ini hari Rabu. Hari ini ibu dan bapa cuti. | Hari ini hari Rabu. Hari ini ibu dan bapa Ali bercuti. | Tatabahasa | 23.08.2016 |
Mana satukah yang betul? - Hari Malaysia - hari Malaysia - Hari Raya Aidilfitri - hari Raya Aidilfitri | Ejaan yang betul ialah "Hari Malaysia" dan "Hari Raya Aidilfitri". | Penyelidikan | 10.12.2015 |
Assalamualaikum wbt. Saya ingin bertanya berkenaan dengan huruf besar dan kecil bagi ayat di bawah:- 1) Hari Guru atau hari guru yang betul? Hari Sukan atau hari sukan? Hari Kanak-Kanak atau hari kanak-kanak? 2) Datuk menggantung kalendar pada dinding. atau Datuk menggantung kalendar di dinding. Terima kasih. | 1). Frasa Hari Guru, Hari Sukan dan Hari Kanak-kanak (Sedunia) berfungsi sebagai nama khas sekiranya berganding dengan penerang nama khas dan huruf pertama dieja dengan huruf besar. Sekiranya frasa dalam ayat umum biasa hari guru, hari kanak-kanak, hari sukan ditulis dengan huruf kecil. 2). Ayat yang betul ialah Datuk menggantung kalendar di dinding. | Tatabahasa | 19.04.2021 |
Salam sejahtera. Saya ada dua pernyataan. Harap tuan/puan dapat membantu saya. 1. Yang manakah betul? Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah atau Majlis Peluncuran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah? 2. Boleh tuan/puan jelaskan penggunaan "serta"? Terima kasih. | 1. Perkataan “peluncuran” merujuk kepada hal, perbuatan atau proses meluncur, meluncuri atau meluncurkan sesuatu atau tempat untuk meluncur. Manakala, perkataan “pelancaran” pula merujuk kepada perihal atau perbuatan melancarkan, iaitu memulakan sesuatu gerakan, rancangan dan sebagainya. Penggunaan perkataan “pelancaran” dalam konteks di negara kita telah mantap dan mengikut kesesuaian makna. Manakala, penggunaan perkataan “peluncuran” tidak menjadi kebiasaan penggunaan di negara kita, namun boleh digunakan sebagai variasi penggunaan dalam konteks yang bersesuaian. Ayat tersebut diberikan penambahbaikan seperti yang berikut: “Majlis Pelancaran Sambutan Hari Sarawak, Hari Malaysia, Hari Perpaduan dan Bulan Akademik Peringkat Sekolah.” 2. Kata hubung “serta” merupakan kata hubung gabungan, iaitu jenis kata yang menghubungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Ayat yang terbentuk dengan menggunakan kata hubung gabungan ini disebut ayat majmuk gabungan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1234 dan 1367 dan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 251.
| Tatabahasa | 30.05.2025 |
|
Puisi |
---|
|
Hari-hari tolak bertimba, Jaraknya batang jambu; Hari-hari tolak bercinta, Hajat hati guring sekelambu.
Lihat selanjutnya... |
Peribahasa |
---|
| 198 Every flow must have its ebb Kesenangan atau kemewahan yang dirasai lazimnya tidak kekal lama. Esok lusa pasti datang kesusahan. Hari tidak selamanya panas He came into fortune but he forgot easily. I'd helped him a lot but he treated me like a dog. I told myself, every flow must have its ebb. One day, he would realize that nothing lasts forever. Dia tiba-tiba meraih kekayaan tetapi dia mudah lupa. Aku telah banyak membantunya tetapi dia melayani aku seperti anjing. Aku berkata pada diriku, hari tidak selamanya panas. Satu hari nanti, dia akan sedar bahawa semuanya ini tidak kekal. Peribahasa dan Ungkapan Inggeris - Melayu
Lihat selanjutnya... |
|