Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
BERIKAN PENGERTIAN GURINDAM DAN ASAL-USUL SERTA CONTOH GURINDAM YANG BIASA DIPERDENGARKAN | Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu mempunyai pengaruh bahasa asing, namun bentuk gurindam itu diciptakan oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubah dalam bahasa yang indah untuk dinyanyikan bagi tujuan hiburan. Gurindam yang biasa diperkatakan dan dijadikan contoh terbaik sama ada dalam penciptaan atau didendangkan ialah Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji. | Lain-lain | 04.12.2008 |
Assalamualaikum, Apakah ciri-ciri / perbezaan antara seloka dan gurindam? Terima kasih. | Waalaikumussalam. Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu berasal daripada pengaruh asing, tetapi bentuk gurindam itu dicipta oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandungi sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas untuk tujuan memberi nasihat dan pesanan. Gurindam digubah dalam bahasa yang indah. Berikut diturunkan salah satu contoh gurindam, iaitu: Kalau banyak berkata-kata, Di sanalah boleh terjadi dusta. Seloka juga berasal daripada bahasa Sanskrit, tetapi dalam bahasa Melayu seloka adalah sejenis puisi lisan Melayu yang tiada tetap sajaknya. Puisi ini digubah bertujuan untuk menyindir, mengejek, bergurau senda dan berjenaka dengan menggunakan bahasa yang berangkap seperti yang berikut: Aduhai malang Pak Kaduk Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran Mudik menongkah surut Hilir menongkah pasang. | Lain-lain | 28.08.2009 |
Saya ingin mendapatkan syarat bagi menganjurkan pertandingan mempersembahan syair/ gurindam dan seloka. Terima kasih. | Syarat dan peraturan gurindam tidak ada dalam sumber rujukan kami. Untuk membantu mendapatkan maklumat berkenaan, sila rujuk buku antaranya Syair dan gurindam: pengenalan, terbitan DBP dan buku Pantun dan Gurindam untuk majlis rasmi dan perkahwinan, terbitan PTS. | Sastera | 26.09.2012 |
Salam...saya ingin mengadakan pertandingan bahasa...boleh tak pihak tuan berikan syarat2 dan peraturan pertandingan gurindam... | Syarat dan peraturan gurindam tidak ada dalam sumber rujuka kami. Untuk membantu mendapatkan maklumat berkenaan, sila rujuk buku antaranya Syair dan gurindam: pengenalan, terbitan DBP dan buku Pantun dan Gurindam untuk majlis rasmi dan perkahwinan, terbitan PTS. | Tatabahasa | 21.04.2012 |
Boleh terangkan secara ringkas,perbezaan dan persamaan antara 'pantun', 'sajak', 'puisi', 'syair', 'gurindam' dan 'seloka'? | Secara ringkas persamaan pantun, syair, seloka dan gurindam adalah dikenali sebagai puisi Melayu tradsional atau puisi lama/klasik. Manakala sajak dikenali sebagai puisi moden. Pantun terdiri daripada empat baris serangkap. Dua baris awal dikenali sebagai pembayang atau sampiran. dua baris akhir dikenali sebagai isi atau maksud. Manakala rima ujung bagi pantung empat kerat ialah a-b-a-b. Bagi syair pula mengandungi empat baris serangkap. Keempat-empat baris ini terdiri daripada isi. Rima akhir pula a-a-a-a. Seloka juga dikenali sebagai puisi tradisional yang disusun secara berangkap. Namun setiap rangkap tidak tetap, justeru rima akhir adalah bebas. Isi seloka biasanya bersifat menyindir atau mengejek seperti Seloka Pak Kaduk. Gurindam yang juga dikenali sebagai puisi lama hanya terdiri daripada dua baris serangkap. Dalam baris pertama tersimpul fikiran yang berupa soalan. dalam baris kedua pula termuat jawapan atau ketegasan bagi baris pertama tadi. Contoh dalam salah satu Gurindam Dua Belas karangan Pujangga Raja Ali Haji, iaitu "Jika ada tidak dilatih/Bila besar bapanya letih"/ Rima akhir pula a-a. Sajak yang dikenali sebagai puisi moden atau baru adalah bebas daripada peraturan-peraturan penciptaan berbanding puisi Melayu tradsional yang dibincangkan tadi. Oleh itu, susun baris, rangkap, dan rima adalah berdasarkan tujuan penulis atau penyair. Sifat sajak sedemikian adalah untuk memberi kebebasan kepada penulisnya untuk menyampaikan fikiran dan perasaan dengan cara yang sesuai dengan semangat sesuatu zaman. | Lain-lain | 18.05.2010 |
bagaimana saya boleh menghantar karya saya ? contohnya sajak gurindam dan sebagainya | Karya saudara hendaklah dihantar kepada Ketua Bahagian Majalah, Aras 20, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur. Karya saudara hendaklah ditaip di atas kertas kuarto berwarna putih, dan ditaip jarak langkau dua baris. Sila nyatakan nama majalah(Tunas Cipta, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Siswa dll) pada sampul surat dan maklumat peribadi pada surat iringan. | Lain-lain | 06.03.2009 |
saya ingin mengetahui huraian tentang perkataan di bawah dari mana berasal.asal usul dan apa saja yang berkaitan dengannya secara jelas dan lengkap.perkataannya ialah 1.PANTUN 2.SYAIR 3.GURINDAM, 4. SELOKA 5.MENTERA 6.TEROMBA 7.NAZAM. | Mengikut Kamus Dewan makna perkataan-perkatan berikut ialah: 1) Pantun - sj puisi lama yg biasanya terdiri drpd empat baris dlm tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yg selainnya mengandungi maksudnya); 2) Syair - sj karangan bersajak (tiap-tiap rangkap terdiri drpd empat baris yg sama bunyi hujungnya); 3) Gurindam - sj bentuk puisi (terdiri drpd dua baris, berisi dgn berbagai-bagai pengajaran); 4) Seloka - sj puisi yg mengandungi ajaran (sindiran, jenaka, dll); 5) Mentera - kata atau ayat yg apabila diucapkan dapat menimbulkan kuasa ghaib (utk menyembuhkan penyakit dll), jampi; 6) Teromba - sejarah yg diceritakan dlm bentuk perbilangan, tambo, riwayat. 7) Nazam -Ar sj gubahan puisi (spt sajak, syair). Untuk mengetahui makna setiap perkataan itu dengan lanjut, sila rujuk Pusat Dokumentasi Melayu di DBP atau IPTA. | Lain-lain | 03.12.2007 |
Benarkah tatabahasa bahasa Melayu boleh diabaikan dalam penulisan lirik lagu dan puisi ? Berdasarkan pemerhatian saya, banyak pantun, syair dan gurindam lama yang salah tatabahasa. Begitu juga sajak-sajak daripada penulis mapan yang jelas salah penggunaan tatabahasa. Apatah lagi lirik lagu masa kini yang mengabaikan terus kesantunan bertatabahasa. | DBP ada menerbitkan sebuah buku "Memahami Gaya Bahasa" oleh Rahman Shaari. Dalam buku tersebut penulisnya ada membincangkan tentang 'Hubungan Tatabahasa dengan Puisi' dan tentang 'Licentia Poetica'. Buku terbitan tahun 1993 boleh dirujuk di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP Kuala Lumpur atau Wilayah dan Cawangan DBP. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 29.11.2009 |
Salam sejahtera... Baru-baru ini saya menonton cerita lakonan Jins Shamsudin, arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Saya tertarik dengan penggunaan bahasa di dalam filem itu yang menggabungkan puisi lama seperti syair dan kata-kata dialog yang berbeza. Soalan saya kata-kata dialog yang digunakan itu adalah jenis apa...adakah gurindam, pantun..atau sesuatu yang lain yang saya tidak tahu. Soalan saya yang lain..apakah makna citra-daga..ada disebutkan di dalam filem ini.. Terima kasih .. | Gurindam ialah sejenis bentuk puisi yang terdiri daripada dua baris, berisi dengan berbagai-bagai pengajaran, pantun ialah sejenis puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang selainnya mengandungi maksudnya). Sila lihat juga pelbagai bentuk gurindam, pantun, syair dan sebagainya yang banyak diterbitkan dalam bentuk cakera padat untuk lebih mengenali karya berkenaan. Untuk menjawab soalan saudara, saudara perlu meneliti semula filem tersebut dan kenali kategori manakah letaknya dialog tersebut. | Lain-lain | 03.06.2009 |
Salam. Could you please provide me some online reference to get collections of Malay Pantun, especially about weddings. I thank you for that. | Sila rujuk buku "Pantun dan Gurindam untuk Pertunangan dan Perkahwinan, terbitan PTS. Sekian, terima kasih | Lain-lain | 11.03.2009 |