Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Yang manakah subjek dan predikat dalam ayat ini? Para petani giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram. moga saya dapat jawapan secepat mungkin. terima kasih | Pembagian subjek dan pradikat dalam ayat "Para petani giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram." "Para petani" ialah subjek, manakala "giat menanam pokok durian ini kerana harganya mencecah RM40 sekilogram" ialah pradikat. | Tatabahasa | 12.02.2022 |
Penggunaan perkataan pelaksanaan 1. Pegawai Daerah sedang meninjau pelaksanaan kerja-kerja pembersihan pinggir Sungai Kerian. 2. Pelaksanaan kerja-kerja pembersihan di pinggir sungai kerian sedang giat dijalankan. . | Ayat yang gramatis ialah "kerja-kerja pembersihan di pinggir Sungai Kerian sedang giat dijalankan". | Tatabahasa | 27.04.2013 |
Soalan 1: Ayat : Ahli-ahli pengakap sedang giat ________ pertolongan cemas di Kem Bina Negara. Pilihan Jawapan : A. mempelajari tentang kaedah asas B. mempelajari kaedah asas Saya inginkan kepastian sama ada perkataan tentang perlu digugurkan atau tidak dengan adanya imbuhan men- -i. Soalan 2: Ayat : Kami mengucapkan terima kasih di atas bantuan saudara. Perlukah penggunaan kata sendi 'di' dalam ayat di atas ? Mohon penjelasan. TERIMA KASIH. | 1. Ahli-ahli pengakap sedang giat ________ pertolongan cemas di Kem Bina Negara. Jawapan yang betul ialah B. mempelajari kaedah asas. Apitan meN-...-i membentuk kata kerja terbitan yang bersifat transitif, iaitu kata kerja yang memerlukan objek. 2: Ayat : Kami mengucapkan terima kasih di atas bantuan saudara. Kata sendi di tidak perlu digunakan dalam ayat di atas kerana kata sendi tersebut menunjukkan arah dan tempat. Ayat yang betul ialah " Kami mengucapkan terima kasih atas bantuan saudara." | Tatabahasa | 03.06.2013 |
APAKAH MAKNA MENGARUSPERDANAKAN | Dalam Kamus Dewan arus perdana bermaksud perkembangan semasa yang sedang giat berlaku dari segi pembangunan (fizikal, mental, kebudayaan, kehidupan dsb). Walau bagaimanapun tidak ada kata mengarusperdanakan dalam sumber rujukan kami. Dalam proses pembentukan kata kata terbitan yang terhasil daripada apitan meN-...-kan lazimnya membawa maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata dasar itu atau membawa maksud menyebabkan. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan kata mengarusperdanakan (jika ada), iaitu membuat + perkembangan semasa yang sedang giat berlaku dari segi pembangunan. | Makna | 05.01.2012 |
Ingin penjelasan berhubung pemakaian kata 'mengarusperdana' dan definisi istilah tersebut. | Dalam Kamus Dewan arus perdana bermaksud perkembangan semasa yang sedang giat berlaku dari segi pembangunan (fizikal, mental, kebudayaan, kehidupan dsb). Walau bagaimanapun tidak ada kata mengarusperdanakan dalam sumber rujukan kami. Dalam proses pembentukan kata kata terbitan yang terhasil daripada apitan meN-...-kan lazimnya membawa maksud membuat sesuatu yang terkandung dalam kata dasar itu atau membawa maksud menyebabkan. Tidak dapat dipastikan apakah yang dimaksudkan dengan kata mengarusperdanakan (jika ada), iaitu membuat + perkembangan semasa yang sedang giat berlaku dari segi pembangunan. | Tatabahasa | 20.05.2015 |
Assalamualaikum, Saya ingin berikan cadangan supaya DBP lebih giat berinteraksi bersama penutur bahasa Melayu dan rakyat Malaysia secara umumnya melalui media sosial, khususnya Twitter. Jadikan akaun rasmi DBP di Twitter sebagai akaun hidup yang mampu menarik anak muda supaya cinta akan bahasa ibunda. Saya ingin berikan contoh akaun Twitter Merriam-Webster yang digemari ramai kerana berkongsi hasil pencarian popular harian yang mencerminkan keadaan perkembengan sosial di Amerika. Jika DBP mampu mengelola akaun Twitter sama seperti Merriam-Webster, mungkin ramai akan lebih cakna terhadap bahasa Melayu dan kepentingan serta kehebatannya. Saya lihat, akaun rasmi DBP hanya memuatnaik keratan akhbar sahaja. Minta cadangan saya dipanjangkan ke pihak yanh berwibawa. | Kami ambil maklum cadangan yang dikemukakan dan dikemukakan kepada pihak pengurusan untuk pertimbangan sewajarnya. | Lain-lain | 28.08.2017 |
Pihak DBP Saya ada soalan dan kemusykilan.. Netizen indonesia skrg giat mnuduh Malaysia Menyalin@ mencuri 62 000 kosa kata bahasa indonesia.. Tuduhan ini mmg Sgt mnyakitkan.. Sy pd mulanya Cuba utk mempertahankan maruah bahasa melayu malaysia dgn berhujah dgn netizen seberang tpi mreka punya fakta Dan akhirnya sy juga hanya mampu diam.. Sy juga tak sgka bnyak perkataan indonesia dlm kamus melayu dbp sehingga seperti mengiyakan tuduhan Malaysia mencuri kosa kata bahasa indonesia.. Tambah memburukkan keadaan bila ramai rakyat kita juga terikut ikut menulis dalam bahasa indonesia.. Di sekolah juga murid2 sekolah l lancar berbahasa indonesia.. Hal ini harus dibimbangkan kerana bahasa adalah salah satu lambang kedaulatan negara.. Apakah lngkah2 yg boleh Di lakukan utk mngatasi isu dan masalah2 ini? Sekian terima kasih | Untuk makluman tuan, soalan tuan telah disalurkan kepada Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehubungan dengan itu, pegawai Bahagian Perkamusan akan menghubungi tuan melalui e-mel atau panggilan telefon untuk memberikan penerangan lanjut.
| Lain-lain | 21.05.2024 |
Saya ingin pertolongan anda untuk mencari kesalahan-kesalahan-kesalahan yang terdapat di ayat tersebut : 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada pada ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris sekali jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut begitu mengutamakan kuantiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil kerana membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitam supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan kepada maklumat yang diberi oleh orang awam,akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di muka perbicaraan. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan takat keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk Akan dibaik puluh bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan tentang corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua buah kumpulan bola sepak dari luar negara. | Ayat yang telah dibetulkan adalah seperti yang berikut: 1.Pihak polis di negara tersebut sedang giat memburu sekumpulan penjenayah yang dipercayai masih berada di ibu negara berkenaan. 2.Buku-buku Syarikat Maju Jaya paling laris jualannya kerana penulis-penulis di syarikat tersebut amat mengutamakan kualiti. 3.Pemilik kilang yang masih berdegil dan membuang sisa toksik ke dalam sungai akan disenaraihitamkan supaya menjadi teladan kepada pekilang yang lain. 4. Berdasarkan maklumat yang diberikan oleh orang awam, akhirnya penjenayah berbahaya itu berjaya ditangkap dan didakwa di mahkamah. 5.Remaja yang menunggang motosikal di lebuh raya itu saling potong-memotong tanpa memikirkan keselamatan diri mereka sendiri. 6.Pada masa ini,bangunan-bangunan lama di kawasan bandar yang sudah buruk akan dibaik pulih bagi menarik kehadiran pelancong ke negara kita. 7.Peminat bola sepak itu sedang membincangkan corak permainan yang ditunjukkan oleh kedua-dua kumpulan bola sepak dari luar negara. | Tatabahasa | 06.10.2014 |
Anak-anak yang pandai berjimat-jimat nescaya dapat berusaha dengan lebih giat untuk menjamin masa hadapan kerana asal ditugal, adalah benih. apakah maksud peribahasa tersebut? betulkah penggunaannya? | Makna peribahasa ini ialah sesuatu usaha tentu ada hasilnya. tugal = melubangi tanah kebun dengan kayu akan tempat menanam benih. | Makna | 25.03.2010 |
langkah-langkah mengatasi masalah penggunaan bahasa rojak | Menggalakkan penggunaan bahasa baku dengan lebih giat melalui lebih banyak pendedahan dan penyebaran maklumat tentang perkara ini. Ini boleh dilaksanakan melaui kegiatan kebahasaan kepada masyarakat awam dan swasta. | Lain-lain | 27.10.2006 |