Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Orang yang jahat pasti akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan apa-apa yang dilakukannya. MUnsyi,, adakah ganjaran salah dalam ayat ini? Terima Kasih | Ganjaran boleh digunakan dalam ayat tersebut kerana ganjaran juga bermaksud balasan bagi perbuatan jahat. | Tatabahasa | 13.06.2012 |
maksud perkataan INSENTIF dan GANJARAN | Insentif bermaksud sesuatu (yang berupa kebendaan atau tidak) yang diberikan atau ditawarkan sebagai dorongan atau galakan, manakala ganjaran bermaksud hadiah untuk perbuatan baik dan balasan bagi perbuatan jahat. | Makna | 26.09.2012 |
Bolehkan saya menghantar karya seperti sajak,pantun dan syair saya ke sini?Adakah saya akan mendapat apa-apa ganjaran?Apakah alamat surat-menyurat untuk menghantar karya saya? | Saudara boleh menghantar karya saudara kepada Ketua Bahagian Penerbitan Sastera, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur sekiranya karya saudara adalah untuk bacaan dewasa. Jika untuk tatapan kanak-kanak dan remaja, saudara boleh menghantarnya kepada Ketua, Pusat Penyelidikan dan Pengembangan Sastera Kanak-kanak dan Remaja, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. Karya tersebut sama ada sajak, pantun, atau syair mestilah dalam bentuk manuskirp yang jumlahnya tidak kurang daripada 100 buah untuk sajak. Manakala syair dan pantun bergantung pada tema, setiap tema pantun mestilah tidak kurang daripada 500 rangkap pantun dan syair pula tidak kurang daripada 150 halaman untuk setiap syair. Saudara juga boleh menghantar karya saudara kepada Ketua Bahagian Majalah, Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur sekiranya saudara tidak berhajat untuk menerbitkannya dalam bentuk buku. Setiap karya yang dipilih untuk diterbitkan dalam bentuk buku, akan diberikan ganjaran dalam bentuk royalti, manakala jika disiarkan dalam majalan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, akan diberikan ganjaran dalam bentuk honorarium. | Lain-lain | 29.05.2010 |
early bird special | ganjaran pelanggan awal/ siapa cepat dia dapat | Lain-lain | 11.04.2007 |
Saya berminat menulis sebuah buku tek peringkat Ijazah pertama jurusan matematik untuk subjek Aljabar Linear. Di bawah ada beberapa soalan yang ingin saya tanya 1. Saya diberitahu ada ganjaran RM 20000 untuk penulis disamping bayaran royalti, betulkah? Sehingga bila pemberian ini sah? 2. Bila saya habis tulis the first draft, boleh atau tidak saya minta pertolongan DBP untuk lihat jalan bahasa saya. | Salam sejahtera, Saudara dialu-alukan untuk untuk menyumbangkan penulisan ilmiah. Bahagian Buku Umum, Jabatan Penerbitan, menguruskan penerbitan buku ilmiah. 1. Pada 13 hb. Oktober 2011 diumumkan bahawa Kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mewujudkan dana RM2 juta mulai tahun depan bagi menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam bahasa Melayu. Menurut pengumuman tersebut, penulis yang karyanya layak memperoleh dana itu dan akan diterbitkan oleh DBP akan menerima ganjaran RM20,000 selain royalti. Walau bagaimanapun kriteria, tatacara dan prosedur untuk dana ini akan disediakan dan diperincikan untuk memastikan kejayaan pelaksanaannya dan akan dimaklumkankepada bakal penulis. 2. Penulis digalakkan untuk berbincang dengan editor DBP dari semasa ke semasa untuk memastikan proses penulisan lancar dan dapat menghasilkan buku yang berkualiti. Editor bukan sahaja akan menyemak manuskrip dari segi bahasa tetapi juga keseluruhan manuskrip. | Lain-lain | 18.10.2011 |
Assalamualaikum tuan/puan yang budiman, Mohon pencerahan daripada tuan/puan yang lebih arif, antara berikut, pengunaan kata sendi (pada/kepada) manakah yang betul dalam ayat di bawah. a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad pada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. b) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran. Pertolongan dan tunjuk ajar daripada pihak tuan/puan didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga tuan/puan mendapat ganjaran pahala daripada yang Maha Esa:) | Kata sendi nama kepada terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan dan unsur mujarad. Contohnya: 1. Ali mengirim surat kepada abang. 2. Sisa makanan itu diberikan kepada kucing. 3. Pastikan anak-anak anda tidak terdedah kepada bahaya dadah. Kata sendi nama kepada boleh juga digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk institusi yang ada kaitan dengan manusia. Contoh: Surat itu dihantar kepada Kementerian Kewangan. Kata sendi nama kepada juga digunakan untuk menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contohnya: 1. Peserta bengkel itu dibahagikan kepada dua kumpulan. 2. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. Kata sendi nama pada digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menunjukkan keterangan waktu atau tempat, dan digunakan dalam ungkapan ada + pada (manusia dan haiwan) dalam beberapa situasi tertentu. Contoh: 1. Bas kami bertolak pada pukul tujuh pagi. 2. wang itu ada pada ibu. 3. Pemberitahuan itu ditampal pada papan kenyataan. Oleh itu ayat yang betul ialah: a) Namun, kerugian yang ditanggung oleh orang kaya hanya terhad kepada jumlah wang yang mereka laburkan pada satu-satu pelayaran.
| Tatabahasa | 28.02.2012 |
Salam Sejahtera, Saya telah mendapati bahawa Kerajaan akn melalui Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mewujudkan dana berjumlah RM2 juta mulai tahun depan bertujuan menggalakkan penerbitan buku ilmiah sains dan teknologi bertaraf ilmu tinggi dalam Bahasa Malaysia. Saya berhasrat untuk menulis buku teknologi untuk guru dan pelajar-pelajar dalam Bahasa Malaysia supaya semua rakyat Malaysia dapat belajar teknologi dengan Bahasa Kebangsaan. Saya ialah Guru Sains di Sekolah, saya berharap saya boleh menulis dan menerbitkan buku sains dan teknologi. Apakah buku yang sesuai saya tulis untuk menepati kriteria menerima ganjaran RM20,000? Sekian, terima kasih. | DBP sedang menyediakan garis panduan dana tersebut. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Dr. Amran Joned (telefon: 0122440569). | Lain-lain | 20.11.2011 |
Assalamualaikum, Saya Kapten Ali Mohamad, Pegawai Media di Bahagian Perhubungan Awam TUDM. saya ingin mendapatkan pandangan serta khidmat nasihat dari pihak tuan berhubung dengan penerbitan buku berkaitan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Pejabat saya telah menerima permohonan dari seorang individu yang berhasrat untuk menulis dan menerbitkan sebuah buku berkaitan kerjaya dalam pasukan TUDM. Penulis berkenaan telah memohon kebenaran dari pihak TUDM bagi menerbitkan buku tersebut. Untuk makluman pihak tuan, pengisian/kandungan buku tersebut adalah menjurus kepada maklumat/informasi yang ingin disampaikan kepada pembaca berkenaan kerjaya dalam TUDM yang boleh disertai oleh masyarakat malaysia. Kos penerbitan adalah ditanggung sepenuhnya oleh individu terbabit.Sehubungan dengan itu, saya bagi pihak TUDM ingin mendapatkan nasihat dari pihak tuan khususnya berkaitan perundangan, hak dan royalti bagi penerbitan buku tersebut. | Lazimnya penerbit akan menyediakan suatu kontrak dengan penulis yang akan memperturunkan segala syarat dan terma penerbitan sebelum sesebuah buku itu diterbitkan. Kontrak atau perjanjian ini hendaklah dipersetujui bersama (penerbit dan penulis), ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan disetemkan agar menjadi suatu dokumen yang sah dari segi undang-undang. Hak dan tanggungjawab penulis dan penerbit akan termaktub di dalam kontrak yang disediakan. Setiap buku atau karya yang diterbitkan akan diberi ganjaran oleh penerbit sama ada dalam bentuk honorarium atau bayaran royalti mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh penerbit yang berkenaan. Kadar peratus royalti untuk penulis dan kaedah bayarannya tertakluk pada dasar penerbitan penerbit tersebut. | Lain-lain | 16.10.2013 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata ganjaran |
|
|