Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Bolehkah anda terangkan maksud epik melayu dan epik hindu? | Epik ialah karya sastera dan karya-karya lain yang menjadikan bakti kepahlawanan sebagai perkara sesebuah epik/mengangkat keperwiraan wiranya. Epik Melayu memaparkan kepahlawanan wira Melayu seperti hikayat Hang Tuah, manakala epik Hindu berlatarkan cerita keperwiraan wira hindu seperti Hikayat Seri Rama. | Sastera | 20.01.2011 |
Mengapakah Hikayat Hang Tuah dianggap sebagai genre epik Melayu ? | Epik sebagaimana diketahui dapat dibahagikan kepada dua, iaitu Epik Rakyat (Folk Epic) dan Epik Seni (Art Epic). Epik Rakyat biasanya dihubungkan dengan sifat lisannya. Ia kadang-kadang dipanggil juga Epik Primer (Primary Epic). Epik ini biasanya memakan masa beberapa generasi untuk muncul dalam bentuknya seperti sekarang. Ia mungkin bermulai dari legenda dan saga keperwiraan yang kemudian ditokok tambah menjadi sebuah epik yang lengkap. Epik Rakyat bukanlah seorang pengarang, ia adalah himpunan daripada khazanah negara, oleh itu ia tiada mempunyai nama pengarang. Epik Rakyat boleh diturunkan dalam bentuk prosa mahupun bentuk puisi. Jika melihatkan kepada HHT, ciri-ciri epik rakyat ada pada HHT. Kita lihat kebanyakan tokoh sarjana Barat tidak menganggap HHT sebagai sebuah karya sastera khasnya epik kecuali Kassim Ahmad. Adakah hal ini disebabkan hikayat ini sebuah karya prosa tidak sebagaimana definisi yang diberikan oleh C. High Holman dan J.A Cuddon, epik merupakan, “sebuah puisi yang panjang”. Sebuah epik mengikut beberapa kamus tidak semestinya dalam bentuk puisi (Webster’s New World Dictionary,Third College Edition, 1984). Ciri-ciri HHT dikenali sebagai sebuah epik ialah seperti yang berikut: 1) Wiranya seorang tokoh yang benar-benar wujud dalam sejarah dan diangkat menjadi tokoh legenda 2)Latar tempatnya yang luas, merangkumi berbagai-bagai negara, bahkan ke seluruh dunia, iaitu dunia yang diketahui oleh pengarangnya pada masa itu. Di dalam hikayat ini Hang Tuah memainkan dua peranan. 3)Wiranya seorang yang gagah dan mempunyai beberapa keistimewaan termasuk ilmu sakti 4)Ilmu Sakti Pembantu Wira 5)Epik ditulis dalam gaya bahasa yang tersendiri yang penuh dengan sifat-sifat kesederhanaan bagi mengangkat keperwiraan wiranya. | Lain-lain | 21.04.2008 |
Apakah bentuk dan aliran dalam penulisan sastera tradisional | Sdr., dari segi bentuk, kesusasteraan Melayu tradisional terbahagi kepada dua iaitu prosa dan puisi atau disebut juga sebagai genre prosa dan genre puisi. Genre prosa merangkumi cerita-cerita yang dikategorikan pula kepada, a. Sastera Hikayat ( cerita-cerita daripada sumber Hindu, Islam dan tempatan) b. Sastera Epik( epik tempatan dan berunsur Islam) c. Sastera Panji dan Perwayangan ( sumber daripada Jawa dan Hindu) d. Sastera Sejarah ( cerita yang berhubung dengan sejarah atau salasilah sebuah kerajaan Melayu silam) e.Cerita Para Nabi dan Tokoh-Tokoh Islam ( sumber daripada sejarah Islam) f. Sastera Kitab( berhubung dengan kitab fikah, tasawuf dan sebagainya) g. Sastera Undang-undang dan ketatanegaraan ( undang-undang, peraturan dan adat istiadat sesebuah kerajaan Melayu) h. Kepustakaan Ilmu Tradisional ( berhubung dengan ilmu penujuman, ilmu mendukun dan sebagainya) Genre puisi pula termasuk pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, mantera, teromba dan sebagainya. Mohon sdr. merujuk buku Kesusasteraan Melayu Tradisional( DBP,2000) yang ditulis oleh Dr. Harun Mat Piah dll. untuk mendapatkan keterangan yang lebih lanjut tentang persoalan yang di atas. | Lain-lain | 22.10.2010 |
melalui internet, dari mana saya boleh mendapatkan perkataan-perataan menarik berbentuk klasik sebagai rujukkan untuk saya menulis cerita berunsur epik bukan fiksyen? | DBP telah menebitkan sebuah buku yang menyenaraikan kata dan istilah lama berserta pengertian, cara penggunaan dan variasi ejaannya. Buku yang diberi judul "Panduan Kosa kata Sastera Klasik", diselenggara oleh Wahyunah Hj. Abd Gani, tahun terbit 1991 dan jumlah halaman203. | Lain-lain | 14.07.2008 |
Apakah yang boleh diperkatakan tentang kesusasteraan, sejarah dan perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden, termasuk bentuk-bentuk serta aliran-aliran dalam penulisan sastera. | Saudara yang dihormati, Penyelidikan dan penulisan sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional dan moden sebagaimana lazim dilakukan ialah secara pengtarikhan, termasuklah tahun, dekad dan dilaksanakan juga secara generik. Penulisan sejarah sastera kesusasteraan Melayu tradisional yang sering dilakukan ialah pertama menjelaskan konsep dan pendekatan, latar belakang sejarah, perbincangan mengikut genre seperti sastera rakyat, sastera hikayat, sastera panji, sastera epik, sastera sejarah, cerita nabi-nabi dan tokoh-tokoh Islam, sastera kitab, sastera undang-undang dan ketatanegaraan, serta kepustakaan ilmu tradisional. Penulisan sejarah kesusasteraan Melayu moden juga menggunakan pendekatan yang sama iaitu latar belakang sejarah, dikuti dengan kajian dan penulisan mengikut genre seperti cerpen, puisi, , novel, drama dan esei kritikan mengikut dekad kemunculannya. Perbincangan setiap genre secara tidak langsung meliputi latar belakang perkembangan, bentuk, teknik, bahasa, tema, pendekatan, aliran pemikiran dan sebagainya. Saudara boleh menentukan cakupan dan batasan kajian mengikut keperluan dan objektif kajian sejarah yang akan dilaksanakan. Buku sejarah kesusasteraan Melayu tradisional dan moden yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, dapat dijadikan bahan rujukan yang berguna, antaranya ialah buku Kesusasteraan Melayu Tradisional (1993, 2000) dan Sejarah Kesusasteraan Melayu jilid 1 dan jilid 2 (2006). Buku-buku lain yang dihasilkan oleh A. samad Ahmad, Liaw Yock Fang , Wilkinson dan Winstedt juga bermanfaat sebagai bahan rujukan. Salam takzim. | Lain-lain | 15.10.2010 |
apakah perbezaan maksud diantara sastera moden dan sastera tradisional? | Perbezaan maksud antara sastera moden dan sastera tradisional ialah sastera moden mengandungi karya meliputi genre novel, cerpen, puisi, drama dan esei/kritikan. Sastera tradisional pula terbahagi kepada sastera lisan dan sastera tulisan. Sastera lisan mengandungi sastera rakyat yan terbahagi kepada prosa (cerita lipur lara, jenaka, teladan, binatang, mitos dan legenda) dan puisi (pantun, syair, nazam, gurindam, seloka, teka-teki, teromba, peribahasa dan dikir/mentera). Sastera tulisan pula mengandungi sastera hikayat, sastera panji, sastera epik sastera sejarah, cerita nabi-nabi, sastera kitab dan sastera undang-undang. Sekian dan salam. | Lain-lain | 09.07.2009 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata epik |
|
|