Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Terjemahan untuk: Emoticon Assalam, Boleh saya ketahui mengapakah perkataan 'emoticon' diterjemahkan sebagai 'emotikon' dan bukannya 'emosikon' (gabungan emosi + ikon)? | Wassalam, Emotikon diterjemahkan daripada perkataan "emoticon" yang berasal daripada perkataan emotional icon. Perubahan hanya berlaku dengan penggantian huruf [C] kepada [K] apabila diterjemah dalam bahasa Melayu.
| Penyemakan dan penterjemahan | 28.11.2017 |
Adakah perkataan emoji boleh diterima pakai? | Tidak. Istilah yang sesuai ialah emotikon | Istilah | 21.07.2017 |
Bagaimanakah proses peristilahan bahasa Melayu berlaku? Contohnya penciptaan istilah baharu dalam media sosial seperti swafoto, netizen, tular, tanda pagar, emotikon dan sebagainya. Sebelum ini penggunaan perkataan selfie kerap digunakan namun, kini DBP telah mencipta istiah baharu dalam bahasa Melayu iaitu swafoto. Boleh saya tahu bagaimana proses peristilahan ini berlaku berdasarkan skema tatacara pembentukan istilah bahasa Melayu. | Untuk makluman, pembakuan bahasa Melayu bermaksud proses penyeragaman sistem bahasa mengikut rumus-rumus dan peraturan bahasa yang ditetapkan dan digunakan dalam suasana rasmi. Komponen yang terdapat dalam bahasa baku ialah ejaan, tatabahasa, peristilahan, perbendaharaan kata, gaya atau laras bahasa dan sebutan. Proses pembentukan kata atau pinjaman ini dibuat mengikut rumus yang ada dalam tatabahasa bahasa Melayu dan pedoman pembentukan istilah. Salah satu cara pembentukan istilah bahasa Melayu adalah melalui penyerapan. Penyerapan istilah asing menjadi istilah bahasa Melayu bermaksud mengambil keseluruhan istilah asing dengan atau tanpa penyesuaian ejaan dan sebutan. Kaedah ini digunakan apabila; 1. Istilah asing yang akan diserap memperlihatkan mudahnya pemindahan timbal balik antara istilah asing dengan istilah Melayu dalam konteks keperluan pemindahan ilmu pengetahuan. 2. Istilah asing yang akan diserap mempermudah pemahaman teks asing oleh pembaca Malaysia kerana memberi ciri transparensi teks. 3. Istilah asing yang akan diserap lebih ringkas jika dibandingkan dengan terjemahan Melayunya. 4. Istilah asing yang akan diserap mempermudah kesepakatan antara pakar jika padanan terjemahannya terlalu banyak sinonimnya. | Istilah | 15.10.2020 |
Salam sejahtera. Apakah istilah "beatbox" dan "emoji" di dalam bahasa melayu? Sekian, terima kasih! | Dalam bidang muzik, padanan bagi istilah “beatbox” ialah “rentak muzik”. Manakala istilah “emotikon” digunakan bagi merujuk ikon untuk melambangkan perasaan dalam Internet. | Istilah | 29.07.2020 |
Assalamualaikum wbt Tuan/Puan. Saya ingin mendapatkan nasihat tentang padanan bagi istilah 'sexting' dalam bahasa Melayu. Istilah 'sexting' diguna pakai pada masa kini untuk menunjukkan aktiviti penghantaran mesej secara digital (teks, gambar, emotikon dll) berunsur seks secara terang-terangan dalam pelbagai platform maya. Terima kasih. | Cadangan kami "sexting" diterjemahkan kepada hantaran seks kerana "sexting" dikaitkan dengan perbuatan menghantar teks, imej, video dan sebagainya melalui telefon bimbit. | Penyemakan dan penterjemahan | 30.08.2019 |
Assalamualaikum. Baru-baru ini DBP ada mengeluarkan 8 istilah baru ICT. Boleh ke saya dapatkan penerangan dari pihak DBP mengenai perkataan-perkataan ini: 1) Tunafoto 2) Swafoto maut 3) Pengkomputeran awan 4) Tera air 5) Butang tekan 6) Emotikon 7) Kawasan khas 8) Tapak panas Apa yang pasti ianya terjemahan daripada perkataan ICT terbaru dalam bahasa Inggeris. Boleh kami tahu bagaimana setiap perkataan ini dipilih seperti perkataan Tunafoto. Sekian. Terima Kasih. | 1) Tunafoto - Gambar foto yang terganggu atau rosak disebabkan sesuatu yang tidak dijangka semasa mengambil foto. 2) Swafoto maut - Mengambil gambar foto sendiri dengan menggunakan kamera telefon pintar atau kamera digital di tempat berbahaya yang boleh mendatangkan kematian. 3) Pengkomputeran awan - Pengkomputeran berasaskan Internet dan menggunakan teknologi komputer yang terkini. Sebutan awan merujuk kepada Internet yang selalunya diwakilkan dalam rajah rangkaian komputer dan merupakan pengabstrakan bagi infrastruktur kompleks yang diwakilinya. Pengkomputeran awan juga merujuk kepada penyediaan keupayaan pengkomputeran yang berkaitan dengan teknologi maklumat sebagai satu perkhidmatan yang membenarkan pengguna mencapai perkhidmatan Internet tanpa pengetahuan kepakaran terhadap teknologi infrastruktur yang menyokongnya. Contohnya, Google App menyediakan aplikasi perniagaan yang biasa secara dalam talian yang boleh dicapai melalui pelayar web manakala perisian dan data disimpan dalam pelayan. 4) Tera air - Tera air ialah tanda pengenalan yang ditekan ke atas kertas ketika ia dibentuk oleh mesin pembuat kertas. 5) Butang tekan - Merupakan terjemahan bagi perkataan push-button. 6) Emotikon - Ikon untuk melambangkan perasaan dalam internet. 7) Kawasan khas - Terjemahan bagi perkataan hotspot 8) Tapak panas - Tapak sandaran yang dilengkapi kelengkapan komputer yang sama dengan sistem komputer yang sedia ada di organisasi anda. Banding: cold site. 2. Dalam WWW, rujukan kepada tapak web yang amat popular. Untuk makluman, istilah yang dipilih telah digubal oleh Jawatankuasa Pembentukan Istilah. | Istilah | 22.11.2017 |
Salam. Apakah terjemahan tepat bagi istilah bahasa Inggeris "emoji" dan "emoticon"? Emoji (kata nama, teknologi maklumat) bermaksud sebuah grafik digital kecil yang digunakan dalam teks digital bagi menyampaikan suatu emosi atau idea. Emoticon pula (kata nama, teknologi maklumat) bermaksud satu gabungan atau susunan aksara yang disertakan dalam teks digital bagi tujuan yang sama. Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu untuk perkataan "emoji" dan “emoticon” ialah emoji dan emotikon. | Istilah | 19.02.2021 |