Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
bagaimanakah cara ejaan yang betul untuk perkataan wujud atau ujud? | Kedua-duanya membawa maksud yang berbeza. Wujud: 1. adanya (sesuatu); sedia ada; 2. sesuatu yang ada bentuknya (dapat dilihat, dipegang, dll); 3. benda yang nyata (bukan roh dll), rupa dll yang dapat dilihat. Ujud: yg dikehendaki, maksud, tujuan. | Makna | 09.01.2013 |
apakah maksud leksikal.bagaimanakah makna dapat dilihat melalui aspek leksikal | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, leksikal bermaksud 'berkenaan perkataan atau perbendaharaan kata sesuatu bahasa. Makna leksikal bermaksud 'makna sesuatu perkataan itu sendiri (tanpa melihat penggunaaannya dalam ayat dan sebagainya). | Makna | 08.10.2011 |
apakah beza melintas dengan melintasi? | perbezaannya dapat dilihat melalui definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Empat seperti berikut; melintas = 1. lalu (dgn cepat): seorang Pak Haji ~ di hadapan peminta sedekah itu; 2. merentas (mengikut jalan yg terdekat), memintas: kita harus berjalan melingkari padang ini kerana tidak dibenarkan ~; 3. memotong jalan, menyeberangi jalan: tidak dibenarkan ~ jalan di sini; 4. teringat (ternampak, terkenang, dll) sekejap: benda pertama yg ~ di kepala Jusoh ialah Semaun; melintasi = 1. lalu di, melalui, mengharungi: pelayaran ~ Atlantik; 2. pergi ke seberang, menyeberangi: habis sahaja makan, Ismail ~ jalan ini menuju lori balak; 3. menghindarkan (kesulitan dll), mengatasi; | Tatabahasa | 20.10.2012 |
CONTOH BAGI KONSEP YANG ABSTRAK | Konsep yang abstrak ialah tidak berupa atau bersifat kebendaan (tidak dapat dilihat atau dirasa dgn pancaindera), tidak konkrit atau maujud, niskala, mujarad: kesetiaan adalah sesuatu yg ~; | Lain-lain | 07.08.2010 |
1)Pemilihan syarikat konsesi bagi program penswastaan kerajaan pada masa depan seboleh-bolehnya akan dibuat menerusi pembidaan.2)Pemuda yang berusia lewat 30an itu ialah anak saudara Puan Hernina.3)Kedai Pak Nazeli dapat dilihat daripada jauh kerana warna dindingnya agak kebiru-biruan.TOLONG BETULKAN.TERIMA KASIH. | 1. Pemilihan syarikat konsesi bagi program penswastaan kerajaan pada masa hadapan seboleh-bolehnya akan dibuat menerusi pembidaan. 2. Pemuda yang berusia lewat 30-an itu ialah anak saudara Puan Hernina. 3. Kedai Pak Nazeli dapat dilihat dari jauh kerana warna dindingnya kebiru-biruan. | Tatabahasa | 23.07.2012 |
Apakah terjemahan bagi 'macroscopic'? Tk. | Merjuk daftar istilah, macroscopic ialah makroskopik dalam bahasa Melayu yang berkaitan dengan objek yang dapat dilihat dengan mata kasar tanpa mikroskop. Untuk mengetahui istilah, sila rujuk daftar istilah yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. | Istilah | 20.03.2009 |
salam. sya ingin bertanyakan mengenai bahasa melayu dalam bidang sains dan teknologi. 1.sumbangan bahasa melayu dalam bidang sains dan teknologi adakah masih di tahap yang sederhana atau sebaliknya? 2. sumbangan tersebut dapat dilihat dari sudut apa dan contoh-contoh yang sesuai bagi menyokong sumbangan tersebut? 3. apakan kekengan dalam memperjuangkan bahasa melayu dalam bidang sains dan teknologi? 4. apakah langkah untuk memertabatkan bahasa melayu dalam bidang S&T? 5. saya ingin mendapatkan karya NIK SAFIAH KARIM yang berjudul BAHASA MELYU DALAM BIDANG SAINS DAN TEKNOLOGI yang diterbitkan pada tahun 1995 dalam pelita bahasa. bolehkah pihak DBP emailkannya kepada saya? | Untuk makluman tuan, Khidmat Nasihat DBP tidak menangani pertanyaan yang berbentuk tugasan kerana pertanyaan ini memerlukan kajian, bacaan dan rujukan yang banyak. Oleh itu, kami cadangkan tuan kunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP untuk mencari bahan rujukan yang berkaitan dan tuan juga boleh melihat artikel yang pernah diterbitkan dalam majalah terbitan DBP termasuklah artikel Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim yang tersebut. | Lain-lain | 09.11.2012 |
Perbezaan penggunaan kesantunan bahasa antara bahasa rasmi dan bahasa istana | Kesantunan bahasa dalam penulisan surat rasmi bermaksud penggunaan bahasa yang halus, beradab dan sopan. Penulis memperlihatkan budi bahasa yang tinggi. Aspek ini dapat dilihat dari segi pemilihan kata, frasa, cara mengungkapkan idea dan harapan yang dijangka. Dalam surat rasmi masih terikat dalam suasana urusan pentadbiran, maka pemilihan kata atau istilah adalah berkaitan dengan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan. Dalam surat rasmi menggunakan bahasa istana pula, penulis hendaklah mengungkapkan kata-kat dalam bahasa istana yang sopan, beradab dan halus. Contoh bahasa istana ialah menjunjung kasih, memphon perkenan, berkenan berangkat, berangkat tiba dan titah mengadap. Senarai bahasa istana boleh diperoleh daripada pihak istana sultan. | Lain-lain | 29.02.2008 |
Salam sejahtera, Saya merujuk kepada jawapan pihak KNDBP bertarikh 16/3/2010 kepada soalan saya tentang 'black sheep' vs 'scapegoat' vs kambing hitam yang mana pihak KNDBP menyatakan akan menyemak huraian istilah untuk pembetulan. Setakat hari ini masih dapat dilihat huraian dalam Kamus Dewan mahupun Kamus Inggeris-Melayu Dewan adalah tetap sama: 'black sheep' adalah kambing hitam. Soalan saya: 1) Adakah pihak DBP telah menyemak huraian tersebut dan memutuskan pembetulan tidak perlu dibuat kerana tiada kesilapan? 2) Sekiranya tiada kesilapan, bolehkah kita katakan bahawa guru-guru BI di Malaysia perlu memberikan DUA makna untuk penggunaan 'black sheep' di Malaysia: (a) penggunaan di Malaysia, DAN (b) penggunaan di luar Malaysia (yang tidak membawa maksud 'kambing hitam')?. Terima kasih. | Untuk makluman saudara, Kamus Inggeris - Melayu (KIMD) Dewan disusun dengan kerjasama pelbagai pihak termasuklah pihak Australian National University. Oleh sebab DBP tidak mempunyai korpus bahasa Inggeris, maka DBP sangat bergantung pada kamus ekabahasa Inggeris untuk mendapatkan maklumat tentang bahasa tersebut. Ketika kamus ini disusun (diterbitkan pada 1991) hanya terdapat makna kiasan bagi perkataan black sheep dalam kamus ekabahasa (bahasa Inggeris) rujukan, maka entri kata tersebut hanya memberi terjemahan makna yang ada. DBP sentiasa membuat penambahbaikan dalam buku terbitannya. Pada setiap kali terbitan edisi baharu bagi mana-mana kamus peluasan makna bagi setiap entri akan dimasukkan. Hal ini telah dimaklumkan kepada Bahagian Perkamusan, dan KIMD Edisi Baharu masih dalam peringkat manuskrip. Pada pandangan kami tidak salah untuk memaklumkan maklumat terkini entri kamus yang diketahui kepada khalayak, malah pemberian maklumat ini dialu-alukan untuk manfaat bersama. | Istilah | 19.10.2011 |
1). Apakah antara cabaran2 dbp dalam memartabatkan bahasa melayu ? 2). Bagaimanakah cara dbp menghadapi masalah seperti isu bahasa rojak yang merosakkan bahasa melayu itu sendiri? 3). Dimana pendirian dalam isu penggunaan bahasa inggeris dalam matematik dan sains? Ini dapat dilihat melalui pelaksanaan konsep ini dalam sistem pendidikan kita. Dimanakah peranan dbp itu sendiri, adakah sudah terlaksana atau tercapai visi dan misinya? 4). Apakah peranan dbp dalam membina tamadun melalui penggunaan bahasa melayu? | Berhubung dengan permasalahan bahasa, saudara disarankan memanfaatkan laporan/rencana yang disiarkan oleh media cetak dan elektronik dan maklumat tambahan boleh didapati di mana-mana perpustaan atau Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. Berkenaan dengan misi, visi dan peranan DBP, saudara boleh merujuk buku Citra: Dewan Bahasa dan Pustaka (terbitan DBP) yang boleh didapati di Pusat Dokumentasi Melayu, DBP. | Lain-lain | 09.02.2009 |