Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
salam, apakah maksud "paten" dalam bidang seni reka? | Paten ialah hak cipta yang diberikan oleh kerajaan terhadap sesuatu ciptaan supaya orang lain tidak boleh meniru dan mengekspolitasi ciptaan itu. | Makna | 31.07.2012 |
1)Para peragawan dan peragawati itu akan memperagakan fesyen ciptaan pengubah pakaian yang terkenal di Asia.2)Razak sekeluarga sudah lama meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke tempat lain.3)Gerakan mencari mangsa lemas itu akan diteruskan hingga esok pagi.(TOLONG BETULKAN JIKA ADA SALAH DALAM 3 AYAT TERSEBUT.TERIMA KASIH.) | Para peragawan dan peragawati itu akan memperagakan fesyen ciptaan pengubah (penggubah) pakaian yang terkenal di Asia. Razak sekeluarga (dan keluarganya) sudah lama meninggalkan kampung halaman dan berhijrah ke tempat lain. Gerakan mencari mangsa lemas itu akan diteruskan hingga esok pagi. | Tatabahasa | 12.09.2012 |
Saya mempunyai sebuah cerpen ciptaan sendiri tetapi saya tidak dapat menhantarnya kerana tidak dapat tahu tentang peraduan-peraduan DBP. Bagaimana untuk saya ingn tahunya? | Buat masa ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak menganjurkan sebarang peraduan menulis cerpen. Saudara boleh melayari laman DBP di dbp.gov.my untuk mengetahui tentang sebarang peraduan yang dianjurkan DBP. Saudara juga boleh menghantar karya saudara ke majalah terbitan DBP dengan menghantarnya kepada Ketua, Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 28.04.2010 |
Bagaimana cara untuk menghantar puisi hasil ciptaan sendiri? | Puisi saudara boleh dihantar kepada Ketua, Bahagian Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur, sekiranya puisi mahu disiarkan dalam majalah terbitan DBP, jika saudara mahu menerbitkan sekumpulan puisi, saudara boleh menghantarnya kepada Ketua, Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 14.11.2009 |
Adakah ungkapan antara sama satu lain merupakan ungkapan baharu ciptaan DBP? Ungkapan itu terdapat pada halaman 2 Dewan Siswa keluaran Mac 2009. | Sdr. Miarmgo, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Terima kasih atas teguran yang diberi. Ini bukan ungkapan baharu tetapi kesilapan pihak kami sendiri. Yang betul ialah antara satu sama lain. | Tatabahasa | 19.03.2009 |
Salam sejahtera. Ayat: Monorel, kapal terbang dan kereta api ialah ciptaan Sains. Perkataan "Sains" ditulis huruf besar atau huruf kecil? Dalam situasi ayat yang bagaimana ditulis kecil dan besar? Terima kasih. | Ejaan sains ditulis dengan huruf kecil tetapi ditulis menggunakan huruf besar apabila menunjukkan nama mata pelajaran di sekolah. Nama mata pelajaran dianggap sebagai kata nama khas dan dieja dengan huruf besar seperti Bahasa Melayu, Matematik dan Sains. | Ejaan | 25.10.2013 |
Contoh ayat: Tuhan (Pencipta) menghulurkan pertolongan/bantuan kepada umat-Nya (makhluk ciptaan-Nya). Tuhan memakbulkan doanya dengan membantu/menolongnya terlepas daripada pemenjaraan. apakah jawapan saudara dan sila huraikan jawapan saudara yang boleh membantu saya melihat perbezaan penggunaan kedua-dua perkataan tersebut. terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan perkataan pertolongan sama maksudnya dengan bantuan dan begitu juga dengan membantu sama maksudnya dengan menolong. Oleh itu, tidak ada perbezaan maksud bagi kedua-dua pasangan kata tersebut. | Makna | 11.01.2012 |
apakah yang dimaksudkan dengan pemajmukan istilah? | Pemajmukan ialah perihal (proses atau perbuatan) memajmukkan, penghasilan atau penciptaan sesuatu dgn memadukan dua atau beberapa bahagian atau unsur, penggabungan unsur-unsur dsb menjadi satu kesatuan: peng-gabungan perkataan yg membawa satu makna yg tertentu disebut ~ dan hasilnya disebut kata majmuk. | Makna | 01.02.2010 |
apakah maksud 'gubahan kata' dan adakah 'singgahsana' dan 'mengenalpasti' perlu dijarakkan. | Menurut Kamus Dewan, gubahan merujuk kepada karangan (cerita dll),ciptaan lagu, atau cerpen. Gubahan kata merujuk kepada kata yang ditulis kebiasaannya penuh gramatis dan menarik. Singgahsana dieja satu perkataan manakala mengenal pasti pula dieja dua perkataan. | Lain-lain | 29.09.2007 |
Saya teranselit sebuah buku bahasa malaysia kepada bahasa thai,saya ingin membuku dan mengeluarkannya. Apakah yang saya perlu lakukan tentang keizinan hak ciptaan tersebut? | Umumnya pemilik karya hak cipta mempunyai hak eksklusif bagi mengawal pengeluaran semula sesuatu karya dalam apa-apa bentuk bahan (termasuk fotokopi, rakaman dan lain-lain) dan bahasa (selain daripada bahasa asal karya tersebut) sekalipun. Mengeluarkan semula sesuatu karya dalam bentuk dan bahasa lain tanpa mendapat keizinan daripada pemegang hak cipta (sama ada penerbit ataupun penulis) dianggap sebagai perlakuan yang melanggar hak cipta. Saudara perlu mendapatkan izin secara bertulis daripada pemegang hak cipta karya berkenaan sebelum boleh menterjemah dan menerbitkan semula karya tersebut dalam bahasa lain.
| Lain-lain | 11.05.2009 |