Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum. Dalam Kamus Dewan Bahasa & Pustaka, apa istilah yang sesuai di dalam Bahasa Melayu untuk perkataan Assemble dalam perkataan Cara-cara Assemble Roti Sandwic. Saya cari di dalam kamus tak jumpa istilah yang tepat. Istilah yang ada mengumpul, menghimpun, memasang. Cara-cara mengumpul Roti Sandwic. Cara-cara menghimpun Roti Sandwic, Cara-cara memasang Roti Sandwic. Semuanya serba tak kena. Apa istilah yg sesuai berdasarkan Kamus Dewan Bahasa & Pustaka ya? | Waalaikumussalam wbt, Saya mencadangkan terjemahan bagi kata assemble dalam konteks penggunaan seperti How to assemble a sandwic?, to assemble a dish, to assemble a cake dan sebagainya ialah 'menyediakan'. Terjemahan memasang bagi assemble amat janggal dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, saudara bolehlah merujuk kepada pihak Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) untuk mendapatkan pengesahan tentang terjemahan ini. Sekian, terima kasih. | Istilah | 06.06.2024 |
Yang manakah ayat yang betul bagi penggunaan ialah dan adalah. Cara- cara untuk menjaga kesihatan diri ialah kita perlu bersenam setiap minggu. Cara-cara untuk menjaga kesihatan diri adalah kita perlu bersenam setiap minggu. Sila memberikan penerangan. Terima kasih | Jawapan yang betul ialah "Cara-cara untuk menjaga kesihatan diri ialah kita perlu bersenam setiap minggu." | Lain-lain | 31.07.2023 |
Terdapat empat cara -cara untuk menyelesaikan masalah itu atau Terdapat empat cara untuk menyelesaikan masalah itu. Mohon penerangan..tq | Ayat yang betul ialah "Terdapat empat cara untuk menyelesaikan masalah itu". Ayat "Terdapat empat cara-cara untuk menyelesaikan masalah itu" adalah tidak tepat kerana cara-cara sudah menunjukkan bilangan yang lebih daripada satu. Jika hendak menggunakan perkataan cara-cara, ayat tidak perlu ditambah dengan kata bilangan. Contoh ayat: Cara-cara hendak menjahit langsir di rumah. | Tatabahasa | 24.07.2018 |
(1) cara-cara membantu rakan sekelas menyelesaikan masalah mulut dan nafas yang berbau. (2) Tindakan terhadap rakan sekelas yang menghadapi masalah mulut dan nafas yang berbau. Manakah ayat lebih sesuai dan gramatis? | Ayat yang betul ialah: 1. Cara-cara membantu rakan sekelas menyelesaikan masalah bau mulut dan nafas. 2. Cara-cara membantu rakan sekelas yang menghadapi masalah bau mulut dan nafas. | Tatabahasa | 09.02.2023 |
Salam . Ayat di bawah boleh dikira sebagai ayat majmuk? Kami juga melihat cara cara biji kopi diproses menjadi serbuk kopi. Terima kasih. | Salam. Kami juga melihat cara cara biji kopi diproses menjadi serbuk kopi. Jawapan: Terdapat dua ayat yang digabungkan menjadi satu dalam contoh ayat yang saudara berikan. Oleh itu, contoh ayat tersebut ialah ayat majmuk. 1. Kami juga melihat cara-cara biji kopi diproses. 2. Biji kopi diproses menjadi kopi. | Tatabahasa | 29.08.2014 |
Ayat ' Ciri-ciri menjaga kebersihan' atau 'Cara- cara menjaga kebersihan'? Yang mana tepat? | Ayat yang betul ialah cara-cara menjaga kebersihan. | Tatabahasa | 26.07.2021 |
Tuan, Ayat di bawah adalah gramatis atau tidak? 1. Persoalannya, apakah cara-cara untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya? ATAU 2. Persoalannya, bagaimanakah cara-cara untuk mengatasi masalah kemalangan jalan raya? Terima kasih. | Ayat (1) dan (2) boleh digunakan dan tidak menyalahi tatabahasa mengikut konteks yang dikemukakan. | Tatabahasa | 22.08.2019 |
pembetulan ayat Pengkhususan pada minggu hadapan adalah berkaitan dengan cara-cara yang berkesan untuk menarik minat pelajar untuk belajar | Pembetulan ayat: Pengkhususan topik pada minggu hadapan adalah berkaitan cara-cara belajar yang berkesan untuk menarik minat pelajar. | Tatabahasa | 14.09.2020 |
Salam pagi, Soalanya: 1) Frasa yang manakah membawa maksud 'online'? 'Dalam talian' atau 'atas talian' atau 'talian online'? 2) Apakah terjemahan BM yang betul bagi e-learning? 3) Yang manakah betul? - Cara-cara penggunaan alat - Cara-cara menggunakan alat 4) Apakah perbezaan antara 'mengapa' dan 'kenapa'? Misalnya: - Jelaskan mengapa.... - Jelaskan kenapa.... Terima kasih :-) | Maksud Perkataan online ialah dalam talian manakala e-learning merujuk kepada e-pembelajaran. "Mengapa" dan "Kenapa" merupakan kata tanya sebab. Penggunaan yang rasmi ialah "Mengapa", manakala "Kenapa" merupakan bahasa percakapan. Selain itu juga, puan boleh membuat rujukan kamus tersebut dengan menggunakan enjin carian Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). RPPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". | Makna | 16.10.2015 |
Salam Sejahtera, Nak memastikan sama ada 1) Antara cara-cara 2) Antara cara manakah satu yang betul ? | Penggunaan yang betul ialah 1. Antara cara 2. Antara cara manakah yang betul | Tatabahasa | 10.01.2017 |