Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam sejahtera Tuan/Puan, Bolehkah Tuan/Puan nyatakan ayat manakah yang gramatis? A1) Perhati dan lakarkan bagaimana alur cahaya itu difokuskan. A2) Perhatikan dan lakarkan bagaimana alur cahaya itu difokuskan. A3) Perhati dan lakarkan alur cahaya yang difokuskan itu. A4) Perhati dan lakar alur cahaya yang difokuskan itu. A5) Perhati dan lakar bagaimana alur cahaya itu difokuskan. Soalan: Adakah tanggapan saya betul bahawa sebarang kata kerja transitif seperti "lakarkan" harus diikuti dengan penyambut dalam bentuk kata nama atau kata ganti nama diri pertama, kedua atau ketiga? Sekian, terima kasih CK | Ayat yang betul Perhati dan lakar bagaimana alur cahaya itu difokuskan. Pendapat saudara betul, kata kerja transitif mesti diikuti objek yang menjadi penyambutnya. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 183. | Tatabahasa | 02.02.2012 |
Soalan Kata Hampir Sama Makna Cahaya lampu jalan yang _________ menyebabkan kami takut untuk meneruskan perjalanan. A. suram B. kelam C. muram D. pudar Saya berasa keliru akan penggunaan setiap perkataan di atas. | Suram bermaksud tidak berapa terang (cahaya dan lain-lain) atau agak gelap. Kelam bermaksud tidak berapa terang (berkenaan cahaya, keadaan hari, dan lain-lain), atau agak gelap atau suram. Muram bermaksud tidak berapa terang (cahayanya), buram, guram, kelam, suram. Pudar bermaksud kurang cahayanya, tidak terang atau cerah, tidak berseri-seri, suram. Berdasarkan makna tersebut suram/kelam/muram/pudar boleh menjadi jawapan kepada soalan tersebut. | Tatabahasa | 21.03.2012 |
'keindahan suasana malam yang dilimpahi cahaya neon menjadi daya tarikan 'ayat ini betul tak? terima kasih | Keindahan suasana malam yang dilimpahi cahaya neon menjadi daya tarikan ... ayat ini betul. | Tatabahasa | 06.07.2012 |
MAKSUD SURAM | Suram bermaksud 1. tidak berapa terang (cahaya dll), agak gelap, kurang cahaya, redup (cuaca): di dlm kamar tidurnya itu hanya lampu tidur sahaja yg hidup, lampu kecil yg ~ cahayanya; petang yg ~; 2. tidak berkilauan atau bercahaya (barang emas, perak, dll), tidak bening (batu permata), buram: kalau beberapa hari tidak dicucinya, kereta itu kelihatan ~; 3. tidak berseri-seri (muka, mata, dll), kusam, kuyu, muram (kerana sedih dll): di ambang pintu terdiri Jenab dgn pakaian serba hitam, rambutnya tidak berdandan, mukanya ~; matanya ~; 4. kurang seronok (kehidupan dll), kurang berbahagia, susah (hati dll), sedih: sesekali guruh menderam di sebelah barat, di hati mereka ~, besok entahkan hujan!; kehidupan yg ~; | Makna | 02.10.2010 |
Cahaya dan haba dari / daripada matahari dapat menghasilkan elektrik. Yang manakah kata sendi yg betul utk ayat di atas? Terima kasih. | Kata sendi yang betul ialah daripada. Cahaya dan haba daripada matahari dapat menghasilkan elektrik. | Tatabahasa | 30.05.2013 |
(1) Dia baharu mendapat cahaya mata. (2) Kemudian baharulah beliau mendapat ilham baharu dan memulakan kajian linguistik struktur. Adakah perkataan (1) baharu dan (2) baharulah dalam ayat (1) dan (2) perlu ditukar menjadi (1) baru dan (2) barulah? | Yang betul ialah: Dia baru mendapat cahaya mata. Kemudian barulah beliau mendapat ilham baharu dan memulakan kajian linguistik struktur. Baru merujuk kepada tempoh masa, manakala baharu membawa maksud new dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 02.07.2007 |
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Jangan membaca buku dalam cahaya yang malap. 2. Jurulatih melatih kami dengan tegas. 3. Bahan yang mudah meletup mesti dijauhi daripada api. 4. Kerusi-kerusi di dalam dewan telah disusun memanjang. 5. Dia menamakan kucingnya Si Comel. 6. Para penjaja takut akan Mak Cik Aishah yang suka menawar. 7. Pekerja itu didapati berniat menderhaka kepada / terhadap majikannya. 8. Mereka mengasingkan buah catur putih daripada / dengan buah catur hitam. Terima kasih. | Berikut merupakan ayat yang betul setelah pindaan dibuat. 1. Jangan membaca buku dalam cahaya yang malap. 2. Jurulatih melatih kami dengan tegas. 3. Bahan yang mudah meletup mesti dijauhi daripada api. 4. Kerusi-kerusi di dalam dewan telah disusun memanjang. 5. Dia menamai kucingnya Si Comel. 6. Para penjaja takut akan Mak Cik Aishah yang suka menawar. 7. Pekerja itu didapati berniat menderhaka terhadap majikannya. 8. Mereka mengasingkan buah catur putih dengan buah catur hitam. | Tatabahasa | 04.03.2013 |
Salam...terima kasih atas jawapan yang diberikan.mohon tuan berikan pencerahan tentang huruf "p" pada kata nama khas yang ditulis dengan huruf kecil untuk perkataan "pantai Teluk Kemang" bagaimana dengan Pantai Cahaya Bulan, Pantai Chenang?harap tuan dapat membantu. | Kedua-dua perkataan pantai dieja dengan huruf kecil, pantai Cahaya Bulan dan pantai Chenang. Perkataan pantai merupakan kata nama am. | Tatabahasa | 13.05.2013 |
Cara ini mengatasi masalah cahaya yang dipantulkan dari/daripada cermin mata. | Kedua-duanya boleh digunakan, sama ada dari atau daripada. Jika merujuk tempat dan arah, kata sendi nama "dari" digunakan, dan jika menyatakan "punca", kata sendi nama "daripada" digunakan. | Tatabahasa | 17.11.2011 |
boleh tak tolong perbetulkan puisi yang saya buat ini? aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya dibawah sinaran cahaya bulan dibawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakamlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahayasesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini... bantuan dari pihak tuan amat saya hargai... terima kasih | aduhai remaja apalah erti dunia remajamu tika tabir menebarkan sayapnya di bawah sinaran cahaya bulan di bawah debar kota dalam alunan gelombang pura-pura kau biarkan manismu diseri kumbang jalanan dihidu embun jantan aduhai remaja kembalilah kau pada seruan wahyu bersimpuhlah engkau sambil menadah tangan memohon keampunan dan restu-Nya aduhai remaja kembalikanlah harga dirimu yang kian hilang muliakanlah kasih yang diberi tujuilah lorong bercahaya sesungguhnya kita ialah bakal khalifah di muka bumi ini Ulasan: Secara umum puisi yang dihasilkan oleh adik baik dan adik harus terus menulis lagi untuk memantapkan gaya penulisan. Selain itu, adik boleh merujuk atau membaca buku-buku puisi untuk menghayati dan mempelajari gaya penulis seseorang penyair. DBP berharap adik terus menulis. Sekian terima kasih.
| Lain-lain | 20.12.2008 |