Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Saya ingin bertanya maksud perkataan berikut dalam bahasa melayu yang sesuai untuk poster pertandingan memasak. Cook, Compete, Conquer berikan cadangan-cadangan dari pihak tuan/puan. | Cadangan terjemahan yang sesuai ialah "Memasak, Bersaing, Menakluk" mengikut konteks dan konsep yang mahu diketengahkan. | Penyemakan dan penterjemahan | 14.03.2025 |
Cadangan Nama Taman: Residensi 1) Batai Astana 2) Batai Vila 3) Batai Mahligai | Untuk makluman tuan, permohonan pengesahan penamaan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web dbpsahbahasa.my. Sila Daftar Akaun (rujuk Panduan Pelanggan) dan aktifkan akaun. Log masuk setelah akaun diaktifkan. Pilih DAFTAR PERMOHONAN > DAFTAR PENAMAAN. PBT dan klik “Pilih”. Muat naik visual iklan mengikut format, klik SIMPAN. Sila nyatakan jenis pembangunan di hadapan nama pembangunan, contoh: RESIDENSI, PANGSAPURI, TAMAN, JALAN atau yang bersesuaian. Sila gunakan nama pembangunan yang mempunyai maksud yang baik dalam bahasa Melayu. Maklumat tentang penamaan (sebab-sebab nama dipilih) boleh diletakkan pada bahagian Maklumat tentang Iklan. | Lain-lain | 23.12.2024 |
Cadangan nama Pusat Perkhidmatan Gelandangan ke Anjung Rantau. Adakah ianya sesuai digunakan? | Nama "Anjung Rantau" kurang sesuai dan "Pusat Gelandangan" lebih sesuai dalam konteks ini. Sekiranya berkaitan dengan permohonan visual papan tanda premis atau penamaan, tuan/puan boleh membuat permohonan pengesahan bahasa melalui laman sesawang www.dbpsahbahasa.my. | Lain-lain | 01.10.2024 |
Cadangan untuk mengadakan kursus Penyediaan dan Penulisan Minit Mesyuarat | Saudara boleh membuat permohonan kepada Akademi DBP melalui e-mel akademi@dbp.gov.my/hfauziah@dbp.gov.my | Lain-lain | 01.08.2023 |
Cadangan ALLAHYARHAMAH digantikan kepada ALLAHYARHUMUHA kerana makna dari terjemahan bahasa Arab lebih tepat kepada ganti diri perempuan. Terima Kasih | Kamus Dewan juga menakrifkan "Allahyarham" sebagai yang telah meninggal dunia, tidak dikhususkan jantina. Kata "mah" (allahyarhamah) bukanlah penanda jamak, tetapi merujuk jantina, iaitu wanita. Walaupun kata "Allahyarhamah" ini kurang tepat dari segi pembentukan kata dalam bahasa sumber (bahasa Arab), namun kata ini telah mantap penggunannya dalam kalangan masyarakat. Oleh itu, Kamus Dewan Perdana, kamus terbaharu terbitan DBP telah membuat penambahbaikan dengan memasukkan juga bentuk kata yang betul, iaitu "Allahyarhamha". "Allahyarhamha" ialah perempuan Islam yang telah meninggal dunia. | Ejaan | 11.08.2021 |
Apakah isi yang perlu ada dalam latar belakang bagi kertas kerja cadangan bagi program? mohon pencerahan. Terima kasih. | Kertas kerja cadangan ialah makalah yang ditulis yang mengandungi maklumat perancangan bagi pelaksanaan sesuatu projek. Lazimnya kertas cadangan mengandungi latar belakang projek, pelaksanaan projek, justifikasi atau kewajaran pelaksanaan projek tersebut, anggaran perbelanjaan dan penutup. Tidak ada format yang standard bagi kertas kerja cadangan, kecuali format yang diguna pakai atau ditetapkan bagi sesebuah organisasi. Sehubungan dengan itu, untuk mengetahui apa yang perlu ada dalam latar belakang dalam kertas kerja cadangan, tuan perlu merujuk pihak yang terlibat dalam program tersebut. Selain itu, tuan boleh juga melihat contoh-contoh kertas kerja cadangan yang pernah dihasilkan oleh organisasi yang sama sebelum ini. | Lain-lain | 29.07.2021 |
Saya memerlukan pengesahan ataupun cadangan berkenaan terma bahasa inggeris iaitu " Sponge City ". Memerlukan nasihat berkenaan cadangan penggunaan terma bahasa melayu. di bawah saya kepilkan poster berkaitan | Terjemahan bagi Sponge ialah "span atau bunga karang". Cadangan terjemahan bagi Sponge City ialah "Bandar Bunga Karang" | Makna | 22.03.2022 |
Apakah terjemahan yang tepat bagi "Recommendations and way forward" yang lazim digunakan dalam penulisan laporan. Adakah "Cadangan dan Arah ke Hadapan"? | Cadangan terjemahan bagi frasa tersebut ialah cadangan dan tindakan selanjutnya, bergantung pada konteks dan konsep penggunaan dalam ayat. | Penyemakan dan penterjemahan | 22.12.2020 |
Cadangan perkataan KEMBALIK diletakan di dalam kamus dan diberi maksud.. KEMBALIK adalah istilah kepada Towing Truck | Dalam data rujukan kami, belum ada lagi padanan bahasa Melayu bagi perkataan kembalik. Kembalik ialah Kenderaan Trak Tunda yang biasanya digunakan oleh Tentera untuk menunda kenderaan tentera yang rosak untuk ditarik balik ke kem atau bengkel. Terima kasih atas cadangan tersebut. Cadangan saudara akan kami kemukakan kepada pihak pengurusan DBP, Terima kasih. | Lain-lain | 01.12.2020 |
Dimaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menerima cadangan penambahbaikan ejaan/ istilah dalam penulisan Waran Perjawatan/ Surat Kelulusan Perjawatan (WP/SKP) seperti berikut: 1. Ejaan Sekarang : Bahagian Penguatkuasa Cadangan :Bahagian Penguatkuasaan (Dalam konteks Organisasi/ Bahagian/ Sektor/ Cawangan) 2. Ejaan Sekarang :Penguatkuasa Cadangan :Penguat Kuasa (Dalam konteks Jenis-jenis Jawatan dan Gelaran Jawatan) Contoh penulisan waran perjawatan adalah seperti di Lampiran. Sehubungan itu, mohon kerjasama tuan/puan untuk memberikan maklum balas ejaan sebenar bagi perkara yang dinyatakan di atas. Sekian, terima kasih. | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) kata penguat kuasa bermaksud orang atau pihak yang menguatkuasakan peraturan, undang-undang dan sebagainya, manakala penguatkuasaan ialah perbuatan atau proses menguatkuasakan peraturan, undang-undang dan sebagainya. Lantaran makna tersebut, jika nama jawatan perlulah menggunakan kata penguat kuasa, misalnya Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Penolong Pegawai Penguat Kuasa Trafik. Bagi nama unit/bahagian/jabatan dan sebagainya yang melibatkan proses atau tanggungjawab menguatkuasakan sesuatu, perlulah menggunakan kata penguatkuasaan misalnya Bahagian Penguatkuasaan Maritim, Unit Penguatkuasaan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik. | Makna | 06.01.2025 |