Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Soalan tentang penggunaan kosa kata - membelek-belek lagi. Adakah membelek-membelek sesuatu benda bermakna benda tersebut mesti boleh dipegang dalam tangan ketika diperhatikan? | Perbuatan membelek-belek ditakrifkan sebagai memerhati dengan teliti, tetapi tidak ada dalam sumber kami menyatakan bahwa benda yang dibelek itu mesti dipegang ketika diteliti. | Tatabahasa | 25.08.2010 |
Salam sejahtera Saya ingin bertanya tentang peribahasa-peribahasa lain yang sama maksud dengan peribahasa berikut: i/ bagai isi dengan kuku ii/ kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya iii/ rambut sama hitam, hati lain-lain Terima kasih | Saudara boleh merujuk buku Kamus Istimewa Peribahasa Melayu yang disusun oleh Abdullah Hussain, buku Peribahasa Sekolah Menengah, susunan Asiah Abdul Rahman untuk tujuan tersebut. | Lain-lain | 03.10.2009 |
Saya ingin tahu tentang: 1. Perbezaan perkataan a. mengandung denagan mengandungi b. boleh dengan dapat c. banyak dengan ramai 2. Sama ada betul atau salah frasa a. ....sehingga kepada anak cucu b.......sehingga ke malam c....sehingga anak cucu d. .....sehingga malam. Terima kasih | Encik Ishak, Jawapan soalan tuan adalah seperti yang berikut: 1 (a). Untuk makluman tuan, kata mengandung dan mengandungi mempunyai perbezaan makna dan fungsi. Kata mengandung membawa maksud, iaitu hamil. Contohnya, Halimah sudah mengandung kira-kira dua bulan. Manakala mengandungi membawa maksud berisi, memuat, atau membawa sesuatu dalam bekas dan sebagainya. Contohnya; Dokumen yang dibawa oleh Ali itu mengandungi maklumat yang rahsia. 1 (b) Kata boleh dan dapat merupakan golongan kata bantu yang menyatakan atau menerangkan yang berkait dengan perbuatan yang dilakukan. Walau bagaimanapun, kedua-kedua kata bantu ini mempunyai makna dan tugas yang berbeza. Kata dapat membawa maksud kemampuan atau keupayaan apabila kata dapat digunakan sebelum kata kerja, seperti dapat datang, dapat berlari dan dapat menendang. Oleh itu, kata dapat bermaksud perbuatan tertentu dan berupaya dilakukan atau berjaya dilaksanakan. Manakala boleh membawa maksud keizinan digunakan sebelum kata kerja, seperti boleh dimakan, boleh dipegang, boleh dibawa. Hal ini bermakna, dapat ialah kemampuan melakukan sesuatu, manakala boleh ialah diizinkan melakukan sesuatu. 1 (c) Ramai merujuk suasana orang yang ramai di sesuatu tempat manakala banyak orang merujuk bilangan orang yang terdapat di tempat berkenaan. 2. C. sehingga anak cucu D. sehingga malam | Tatabahasa | 13.05.2009 |
Salam tuan. Sudah lama saya tidak berinteraksi di sini. Saya merupakan seorang pemeriksa kertas UPSR Bahasa Melayu. Apa yang ingin saya tanya di sini ialah mengenai dasar yang dipegang oleh DBP yang ada antaranya berbeza dengan LPM. Antaranya, DBP menyatakan bahawa kata ganti nama 'ia' tidak boleh diguna pakai untuk selain daripada manusia tetapi LPM menyatakan ini adalah betul berdasarkan apa yang terdapat dalam Kamus Dewan. Apabila saya merujuk Kamus Dewan dan membaca kenyataannya, maka pendapat LPM itu sama dengan apa yang terdapat dalam Kamus Dewan iaitu KGN 'ia' boleh diguna untuk objek selain daripada manusia. Dalam satu perkara yang lain pula, mereka di LPM menolak penggunaan 'kita semua', 'kami semua' atau 'mereka semua' dengan alasan kata bilangan yang membawa maksud banyak tidak boleh hadir serentak sedangkan Khidmat nasihat DBP menyatakan betul. Di sinilah kekeliruan yang timbul antara DBP dengan LPM. Mohon nasihat dan pendapat tuan. | Kata ganti nama ia boleh digunakan untuk orang, perkara dan benda, tidak boleh digunakan untuk binatang. Frasa kami semua, kita semua, mereka semua, kalian semua boleh digunakan kerana semua di sini menunjukkan keseluruhan, bukan bilangan walaupun perkataan kami, kita, mereka sudah menunjukkan unsur jamak. | Tatabahasa | 05.12.2009 |
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya mengenai penerbitan buku. Saya ingin menerbitkan semula buku di bawah terbitan DBP. Jika sebelum ini,buku tersebut pernah diterbitkan oleh penerbit lain, bolehkan sekiranya DBP menerbitkannya untuk cetakan kali ini? | Bagi buku yang pernah diterbitkan oleh penerbit lain sebelum ini, Sdr boleh menerbitkannya semula dengan DBP sekiranya: - Hak cipta buku tersebut dipegang oleh penulis, bukannya oleh penerbit pertama.
- Penerbit pertama telah memberikan pelepasan kepada penulis untuk menerbitkannya dengan penerbit lain. Surat pelepasan hak menerbit perlu diperoleh daripada penerbit pertama.
- Buku tersebut mencapai tahap kualiti penerbitan DBP.
| Lain-lain | 14.08.2012 |
Saya berminat untuk menulis buku dan rencana ilmiah. Soalan: 1.Adakah format penulisan sesebuah buku itu standard? 2.Jika saya sudah ada draf manuskripnya adakah ia perlu disemak oleh sesiapa?Jika ya siapakah yang akan menyemaknya? 3.Siapakah yang boleh menerbitkan buku yang saya hasilkan?Adakah saya perlu memilih syarikat penerbitan sendiri?Adakah DBP ada menawarkan kepada individu untuk menerbitkan sesebuah buku?Jika ya apakah syarat dan kelayakkannya? 4.Bagaimana dengan hak cipta?Adakah permohonan hak cipta dibuat oleh syarikat yang menerbitkan sesebuah buku itu? 5.Bagaimana bayaran royalti dibuat dan berapakah peratus pembahagiannya? | 1. Ya, dan bergantung pada jenis buku. 2. Perlu disemak. Sesiapa pun boleh menyemaknya, termasuk penulis sendiri. 3. Penerbit yang sesuai dan mahukan manuskrip itu. Ya, penulis perlu menentukan sendiri penerbitnya. DBP membuat tawaran kepada penulis yang pakar dalam bidang ilmu masing-masing untuk menulis dan jika manuskrip itu sesuai, akan diterbitkan. 4. Hak cipta dipegang oleh penulis. Bayaran royalti dibuat selepas buku terbit. Peratus pembahagiannya (kadar royalti) mengikut jenis buku yang diterbitkan. | Lain-lain | 04.11.2007 |
Saya sudah menyiapkan CD berserta 5 buah buku bergred berkaitan kaedah membaca tanpa mengeja. Bagaimanakah caranya memperoleh HAK CIPTA TERPELIHARA dan mendapatkan kod ISBN, dan apakah langkah-langkah yang patut saya buat untuk memperbanyakkan untuk edaran di pasaran ? | 1. Untuk makluman saudara, hak cipta di Malaysia tidak perlu didaftarkan. Hak cipta lahir sebaik sahaja karya dilahirkan. Manuskrip lengkap atau tidak lengkjap tetap dilindungi oleh hak cipta. Secara amalannya hak cipta pertama dipegang oleh penulis sendiri. Ini disebut dalam Akta Hak Cipta Seksyen 26 (1), Hak cipta hendaklah terletak hak mula-mulanya pada penciptanya. Hak cipta kekal kepada penulis sehingga hak ini dipindah atau dilesenkan kepada pihak lain melalui Perjanjian bertulis. 2. Perkhidmatan International Standard Book Number (ISBN), International Standard Serial Number (ISSN) dan Pengkatalogan-dalam-Penerbitan diberikan secara PERCUMA kepada semua penerbit di Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Saudara boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai ISBN/ISSN/PDP boleh dengan menghubungi Pusat Bibiligrafi Negara, Perpustakaan Negara Malaysia,Tingkat 18, Menara TH Selborn, 153, Jalan Tun Razak, 50572 Kuala Lumpur di talian 03-26871700 samb. 4288 / 03-26814329. Sekian. Terima kasih. | Lain-lain | 29.07.2007 |
1. Bagaimana cara untuk saya mendapatkan 'hak cipta terpelihara' untuk karya saya? Saya tinggal di kelantan, mestikah saya pergi ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan perkara tersebut? 2. Bolehkah saya mencetak buku sendiri tanpa penerbit mengikut undang-undang? 3. Di Kelantan, jumlah syarikat percetakan buku adalah terhad terutamanya bumiputera, tiadakah kursus percetakan untuk membimbing bumiputera di dalam perniagaan percetakan anjuran DBP atau mana-mana pihak? | 1. Untuk makluman saudara, hak cipta di Malaysia tidak perlu didaftarkan. Hak cipta lahir sebaik sahaja karya dilahirkan. Manuskrip lengkap atau tidak lengkjap tetap dilindungi oleh hak cipta. Secara amalannya hak cipta pertama dipegang oleh penulis sendiri. Ini disebut dalam Akta Hak Cipta Seksyen 26 (1), Hak cipta hendaklah terletak hak mula-mulanya pada penciptanya. Hak cipta kekal kepada penulis sehingga hak ini dipindah atau dilesenkan kepada pihak lain melalui Perjanjian bertulis. 2. Saudara boleh mencetak sendiri buku tetapi perlulah mendapat izin Kementerian Dalam Negeri terlebih dahulu. Selain itu, saudara perlu juga akur kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301). 3. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak lagi menganjurkan sebarang kursus tentang percetakan. Untuk sebarang kursus percetakan saudara bolehlah berhubung dengan Dawama Sdn. Bhd. dan juga Jabatan Percetakan Negara, Malaysia. | Lain-lain | 20.05.2009 |
|
Tesaurus |
---|
| Tiada maklumat tesaurus untuk kata boleh dipegang |
|
Puisi |
---|
|
Kalau ke sini tumbang keranji, Habislah ranap pokok pinang; Kalau begini rupanya janji, Bilalah cakap boleh dipegang.
Lihat selanjutnya... |
|