Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
____ kepalanya sungguh bernas. Bolehkah saya mengisi perkataan " isi " dalam garisan itu? Atau jawapan lain ? Terima kasih. | Saudara, harap maaf kami tidak melayan soalan berbentuk teka silang kata. | Lain-lain | 18.05.2010 |
Saya ingin menulis satu karangan yang bertajuk "kepincangan institusi keluarga menjejaskan kesejahteraan negara". tetapi isi saya tak cukup bernas. selain isi gejala sosial, saya tidak dapt memikir isi yang lain. Bolehkah tuan atau puan memberi candangan tentang isi bagi karangan ini? | Untuk menulis karangan yang baik saudara perlu membuat penyelidikan tentang tajuk ini dalam makalah yang disiarkan dalam akhbar atau majalah. Saudara boleh juga membuat penyelidikan di perpustakaan yang terdapat di tempat atau sekolah saudara. | Lain-lain | 23.08.2008 |
Salam, Soalan pertama: Saya ingin bertanya tentang kata perintah. Betulkah ayat berikut jika saya ingin katergorikan sebagai ayat perintah dengan menggunakan kata perintah? 1. Harap perselisihan faham ini tidak berlanjutan. 2. Minta setiap daripada peserta memikirkan idea yang bernas tentang projek ini. 3. Harap kehadiran wanita itu tidak menjejaskan majlis yang bakal berlangsung. Soalan kedua: Adakah kata perintah 'jemput' hanya boleh digunakan untuk mengajak, mempelawa org masuk ke rumah atau makan atau merasa hidangan?Bolehkah penggunaan kata perintah itu diperluas?Dan apakah contoh lain yang boleh digunakan? Soalan Ketiga: Dalam Tatabahasa Dewan, kata perintah yang disenaraikan ialah jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan harap. Bagaimana pula dengan kata 'ayuh', 'mari' dan sebagainya? Tidakkah boleh dikira sebagai kata perintah juga? Terima kasih. | Salam, Soalan pertama: Saya ingin bertanya tentang kata perintah. Betulkah ayat berikut jika saya ingin katergorikan sebagai ayat perintah dengan menggunakan kata perintah? 1. Harap perselisihan faham ini tidak berlanjutan. 2. Minta setiap daripada peserta memikirkan idea yang bernas tentang projek ini. 3. Harap kehadiran wanita itu tidak menjejaskan majlis yang bakal berlangsung. Soalan kedua: Adakah kata perintah 'jemput' hanya boleh digunakan untuk mengajak, mempelawa org masuk ke rumah atau makan atau merasa hidangan?Bolehkah penggunaan kata perintah itu diperluas?Dan apakah contoh lain yang boleh digunakan? Soalan Ketiga: Dalam Tatabahasa Dewan, kata perintah yang disenaraikan ialah jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong dan harap. Bagaimana pula dengan kata 'ayuh', 'mari' dan sebagainya? Tidakkah boleh dikira sebagai kata perintah juga? Terima kasih. Ayat 1, 2 dan 3 merupakan ayat perintah (jenis ayat permintaan). Sementara kata 'jemput, 'ayu'h dan 'mari' merupakan ayat perintah jenis silaan. Rujuk semula Tatabahasa Dewan, muka surat 450-452. | Tatabahasa | 10.05.2013 |
Lawatan & Pembentangan Informasi oleh British Universities Malaysia (BUM) Salam sejahtera dari AusEd UniEd (AU) International! Kami mewakili sekumpulan Universiti British yang percaya bahawa pelajar wajar membuat keputusan yang bernas mengenai pemilihan masa depan pelajaran mereka. Kumpulan Universiti terbabit menawarkan pelbagai kursus dari pengajian klasik hingga ke kursus yang berkaitan dengan industri. Universiti yang di maksudkan adalah: - Middlesex University - Newcastle University - University of Portsmouth - The University of Sheffield - University of Wolverhampton Sebagai penyelaras usaha mereka, saya amat berbesar hati sekiranya diberi peluang mengadakan pembentangan informasi dan pameran pendidikan di kolej Tuan/Puan. Cadangan tarikh dan waktu seperti berikut: Tarikh : XXXX Waktu : XXXX Saya berharap pihak Tuan/ Puan dapat memberikan maklum balas yang positif mengenai perkara ini. Terima kasih. | Terima kasih soalan yang dikemukakan. Saya mencadangkan Tuan/Puan menulis surat terus kepada Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Peti Surat 10803, 50926 Kuala Lumpur bagi mengemukakan cadangan berkenaan. Sebaiknya surat berkenaan dapat diperincikan tentang pembentangan, tarikh/waktu dan lain-lain. | Lain-lain | 19.11.2008 |
Saya ingin penjelasan tuan. Bagaimana hendak membezakan Guru Besar (Kn khas)dengan guru besar (Kn Am). 1.Jawatan Guru Besar itu sudah diisi. 2. Dia seorang guru besar yang rajin. 3.Guru besar SJK Ming Chok meninggal dunia semalam. 4.Dalam perbincangan tersebut, Guru Besar memberi pandangan yang bernas dan diterima ramai. Mohon diperjelaskan. | Berdasarkan Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia, huruf besar digunakan sebagai huruf pertama unsur nama jawatan dan pangkat yang diikuti nama orang. Berdasarkan pertanyaan saudara, guru besar merupakan kata nama am dan ditulis dengan huruf kecil. Walau bagaimanapun, dalam teks ucapan atau dalam majlis tertentu, guru besar boleh ditulis dengan huruf besar kerana kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang tertentu yang berada dalam sesuatu majlis. Ayat 1, guru besar ditulis menggunakan huruf kecil kerana ia bersifat umum, manakala dalam ayat 2, 3 dan 4, guru besar boleh ditulis dengan huruf besar kerana kata tersebut dijadikan panggilan khas untuk merujuk orang tersebut. Contohnya dalam ayat 2, guru besar ditulis dengan huruf besar yang merujuk guru besar itu yang rajin. Begitu juga dengan ayat 3 yang merujuk Guru Besar SJK Ming Chok dan ayat 4 merujuk guru besar yang ada dalam majlis perbincangan. | Tatabahasa | 16.03.2009 |
BERIKAN PENGERTIAN GURINDAM DAN ASAL-USUL SERTA CONTOH GURINDAM YANG BIASA DIPERDENGARKAN | Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu mempunyai pengaruh bahasa asing, namun bentuk gurindam itu diciptakan oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandung sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas dan digubah dalam bahasa yang indah untuk dinyanyikan bagi tujuan hiburan. Gurindam yang biasa diperkatakan dan dijadikan contoh terbaik sama ada dalam penciptaan atau didendangkan ialah Gurindam Dua Belas ciptaan Raja Ali Haji. | Lain-lain | 04.12.2008 |
1. Apakah kesalahan dalam ayat berikut, mengapa? -Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. 2. Tolong pilih ayat yang betul daripada tujuh ayat di bawah dan terangkan kesalahan berkenaan. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. 3. Manakah frasa yang betul? Kesalahan penagihan dadah, atau kesalahan menagih dadah? Projek menceriakan sekolah, atau projek penceriaan sekolah? Projek melebarkan jalan raya, atau projek pelebaran jalan raya? TERIMA KASIH BANYAK BANYAK | 1. Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. Ayat ini salah, kerana ikan-ikan telah menunjukkan jamak oleh itu, tidak perlu lagi diulang pernyataan jamak dengan perkataan semua. Ayat yan betul, "Ikan-ikan laga peliharaannya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi". 2. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. - salah, kata pemeri "adalah" tidak diletakkan di pangkal ayat. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. - betul. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. salah, di gerainya (kata sendi di + tempat) d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. - tidak gramatis, ganti nama dia kali kedua tidak perlu lagi. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. - tidak gramatis, kata adjektif cantik perlu digandakan. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. - betul g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. - betul. 3. Kesalahan menagih dadah, Projek menceriakan sekolah, Projek melebarkan jalan raya. | Tatabahasa | 23.07.2009 |
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya beberapa soalan 1. Adakah kata tunjuk 'ini' boleh digunakan sebagai subjek dalam ayat? 2. Adakah perlu menggunakan perkataan 'pergi' dan kata sendi 'ke' dalam satu ayat? Jika dilihat kedua-duanya mempunyai maksud yang sama. Antara ayat di bawah yang mana betul? Adik pergi ke sekolah. Adik pergi sekolah. | Kata nama yang menjadi subjek sesuatu ayat boleh terbentuk daripada kata ganti nama tunjuk "itu" dan ini". Contohnya: 1. Ini pendapat yang bernas. 2. Itu tuduhan yang melampau. Kata ganti nama tunjuk "ini" dan "itu" dalam ayat yang diberikan merupakan subjek. Kedua-dua "pergi" dan "pergi ke" boleh digunakan, bergantung pada konteks ayat. Contohnya: 1. Dia pergi ke sekolah. 2. Dia pergi mencari kayu di hutan. | Tatabahasa | 14.05.2012 |
Assalamualaikum, Apakah ciri-ciri / perbezaan antara seloka dan gurindam? Terima kasih. | Waalaikumussalam. Istilah gurindam berasal daripada bahasa Sanskrit. Walaupun nama gurindam itu berasal daripada pengaruh asing, tetapi bentuk gurindam itu dicipta oleh masyarakat Melayu sendiri dan berkembang dalam tradisi lisan Melayu. Menurut Za'ba, gurindam ialah sejenis puisi yang tidak mengandungi sukatan yang tetap. Puisi ini mengandung fikiran yang bernas untuk tujuan memberi nasihat dan pesanan. Gurindam digubah dalam bahasa yang indah. Berikut diturunkan salah satu contoh gurindam, iaitu: Kalau banyak berkata-kata, Di sanalah boleh terjadi dusta. Seloka juga berasal daripada bahasa Sanskrit, tetapi dalam bahasa Melayu seloka adalah sejenis puisi lisan Melayu yang tiada tetap sajaknya. Puisi ini digubah bertujuan untuk menyindir, mengejek, bergurau senda dan berjenaka dengan menggunakan bahasa yang berangkap seperti yang berikut: Aduhai malang Pak Kaduk Ayamnya menang kampung tergadai Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran Mudik menongkah surut Hilir menongkah pasang. | Lain-lain | 28.08.2009 |
Saya ingin bertanya makna personfikasi, bombastic ,ironi dan sebagainya berkitan dengan linguistik | Personifikasi ialah pemberian (penyerapan) sifat-sifat manusia kepada benda tak bernyawa atau sesuatu yang abstrak dan lain-lain untuk mendapatkan kesan sastera atau seni, 2. pelambangan atau pengemukaan benda tidak bernyawa atau sesuatu yang abstrak sebagai mempunyai sifat-sifat manusia; mempersonifikasikan melambangkan atau mengumpamakan sesuatu benda yang tidak bernyawa (atau abstrak) sebagai manusia atau mempunyai sifat-sifat manusia: dia ~ Kuala Lumpur dengan kata-kata yang terpilih. Bombastik ialah banyak menggunakan kata yang indah-indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas atau jelas: Arena Wati menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami, pemilihan kata-katanya dibuat begitu teliti dan tidak ~. Ironi ialah keadaan atau kejadian yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya: ~nya jika Dasar Belia Nasional ini mahu diterima, maka dengan sendirinya kita mempersempit ruang lingkup pelaksanaan dasar itu sendiri. | Makna | 15.07.2013 |