Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
apakah beza penggunaan : dan ; ? sebagai contoh, ....seperti berikut: atau seperti berikut; | Tanda titik bertindih (:) berfungsi: i. memperkenalkan atau menambah keterangan, contohnya - Prinsip hidup saya senang sahaja: Tekun dan ikhlas, ii. memisahkan subjudul daripada judul utama, contohnya - Ekonomi Kini: Prinsip dan Persoalan, iii. menunjukkan nisbah, contohnya - 12:12:12. Tanda koma bertitik berfungsi (;) berfungsi: i. memisahkan dua atau beberapa klausa utama, contoh - Makin larut malam; kerja makin banyak, ii. memisahkan klausa yang dimulai dengan kata hubung, contohnya - Seminar akan diadakan pada minggu hadapan; oleh yang demikian ... . | Tatabahasa | 07.01.2011 |
"untuk" merupakan kata sendi nama atau kata hubung? Tolong jelaskan dan berikan contoh. Terima kasih tuan. | Selain berfungsi sebagai kata sendi nama, perkataan untuk juga berfungsi sebagai kata hubung pancangan komplemen. Kata komplemen ini berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Kata sendi nama untuk digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama dengan fungsi tertentu seperti yang berikut: a) menunjukkan kegunaan untuk sesuatu. Dalam penggunaanya yang demikian, kata sendi nama untuk dapat bervariasi dengan kata sendi nama bagi. Contoh: Asrama untuk/bagi penuntut Sabah sedang dibina, derma untuk/bagi anal-anak yatim akan dipungut. b) menyatakan maksud bahagian yang ditentukan atau diperuntukkan. Dalam penggunaan yang demikian, untuk tidak boleh bertukar ganti dengan bagi. Contoh: Hadiah itu untukmu (bukan: Hadiah itu bagimu), ayah membeli kereta untuk ibu (bukan: ayah membeli kereta bagi ibu) Perkataan "untuk" sebagai kata hubung pancangan komplemen seperti dalam ayat berikut; a. Untuk memaksa dia hadir adalah tidak wajar. b. Untuk banduan itu melepaskan diri sungguh mustahil. | Tatabahasa | 04.11.2013 |
Perkataan dalam berfungsi sebagai kata sendi nama sekiranya hadir sebelum kata nama. Bagaimana pula sekiranya perkataan dalam hadir sebelum kata kerja. Contoh ayat yang pernah saya baca dalam buku teks BM tingkatan 5 : Kita berasa bangga kerana rakyat Malaysia sentiasa bermuafakat dalam melakukan sesuatu perkara.Adakah salah penggunaan dalam melakukan dalam ayat tersebut. | Frasa "dalam" membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Penggunaan perkataan "dalam"menunjukkan kedudukan sesuatu yang abstrak sifatnya, seperti dalam fikiran, dalam bidang sains dan dalam kehidupan. Penggunaan 'dalam' dalam ayat yang dinyatakan ialah betul. | Tatabahasa | 12.01.2013 |
PCA juga berfungsi sebagai pengekstrakan fitur "satu / suatu / sesuatu" objek. Soalan: Yang mana paling tepat dan betul penggunaan diatas " satu/suatu/sesuatu"? | Satu dan sesuatu, kedua-dua boleh dugunakan, - satu untuk objek yang sudah pasti dan sesuatu yang tidak pasti. | Tatabahasa | 03.07.2007 |
apakah faktor-faktor yang menyebabkan bahasa melayu gagal berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dewasa ini. | Bahasa Melayu atau bahasa apapun untuk berfungsi sepenuhnya sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi memerlukan azam politik, perancangan dan penguatkuasaan dalam menangani unsur-unsur yang merosakkan bahasa. Untuk maklumat yang lebih terperinci sila rujuk buku yang berkaitan. | Lain-lain | 15.08.2008 |
Apa perbezaan istilah pepasangan dan pemasangan. Betulkah ayat saya, " Sebanyak 2 pepasangan sistem pencegah kebakaran tidak berfungsi di bangunan itu. Oleh itu pemasangan baru sedang dijalankan. | Pepasangan tiada dalam rujukan kami. Ayat yang dicadangkan ialah sebanyak dua set atau dua pasang sistem pencegah kebakaran tidak berfungsi di bangunan itu. Oleh itu pemasangan baru sedang dijalankan. | Tatabahasa | 20.11.2008 |
Contoh ayat: Setiap bungkus nasi lemak sengaja dibungkus banyak-banyak. Dan hanya berharga dua puluh sen sebungkus. Dalam ayat ini, adakah 'dan' dalam ayat ini berfungsi sebagai penanda wacana atau kata hubung? Bolehkah 'dan' digunakan pada pangkal ayat? Sekian, terima kasih. | Dalam ayat ini, dan berfungsi sebagai kata hubung gabungan yang menyambungkan dua klausa atau lebih yang sama tara sifatnya. Oleh itu, dan perlu diletakkan di tengah, bukan permulaan ayat. (Setiap bungkus nasi lemak sengaja dibungkus banyak-banyak dan hanya berharga dua puluh sen sebungkus). Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 251. | Tatabahasa | 03.07.2010 |
jarak imbuhan `di` dan `ke` selalu menimbulkan masalah penggunaannya, mohon pihak tuan memberi tips mudah bagi penggunaan imbuhan tersebut ? terima kasih | "di" yang berfungsi sebagai imbuhan perlu dieja rapat. Contoh: dimakan, disepak,disediakan, dll, manakala "di" yang berfungsi sebagai kata sendi nama yang menunjukkan tempat perlu dijarakan. Contoh: di atas meja, di sekolah, di pejabat, dll. Begitu juga kata sendi nama "ke" yang menunjukkan tempat, atau arah, waktu atau masa perlu dieja sebagai satu kata yang terpisah daripada kata nama atau frasa yang mengikutinya. Contoh: ke arah selatan, ke kuantan, dari pagi ke petang, dll. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. | Tatabahasa | 12.07.2009 |
Beliau mengalungkan pingat kepada ATAU pada atlet itu. Soalan: pada ATAU kepada, dan alasannya? | Beliau mengalungkan pingat kepada atlet itu. Kata sendi nama kepada berfungsi di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, manakala kata sendi nama pada berfungsi di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan keterangan waktu atau tempat. | Tatabahasa | 16.05.2009 |
"Abang mahu kau dan keluarga membina hidup baru di sana," ujar Abang Rusli. Tuan, soalan saya ialah membina 'hidup baru' atau 'hidup baharu'? | Frasa yang lebih tepat ialah "hidup baharu" kerana baharu dalam ayat tersebut berfungsi sebagai kata adjektif. Baru lazimnya berfungsi sebagai kata bantu seperti dalam ayat dia baru sampai. | Tatabahasa | 30.06.2012 |