berbadan dua bh hamil: Aktor tersebut bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi apabila isterinya disahkan berbadan dua. (KDP 2020:169)
Frasa berbadan dua dalam Kamus Dewan Perdana bermaksud hamil. Frasa ini diletakkan label bh (bahasa halus), iaitu bahasa atau kata-kata yang lebih lembut dan sopan yang digunakan dalam pertuturan atau tulisan supaya lebih beradab dan tidak menyentuh perasaan sesiapa, contoh lain ialah perkataan meninggal dunia utk mati.
Frasa berbadan dua wujud daripada gambaran fizikal seorang wanita hamil. Semasa kehamilan perut wanita membesar, memberikan gambaran seolah-olah wanita tersebut memiliki "badan" tambahan. Ungkapan “berbadan dua” secara kiasan menggambarkan keadaan ini, iaitu memiliki "dua badan", badan sendiri dan badan bayi yang dikandung.
Frasa berbadan dua telah menjadi ungkapan yang umum digunakan dalam bahasa Melayu untuk merujuk kepada hamil dan dianggap sebagai ungkapan yang sopan dan diterima secara meluas.
Frasa berbadan tiga, berbadan empat dan seterusnya masih belum terakam dalam kamus DBP. Perakaman kata dan mana baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaannya oleh masyarakat.