Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
kebiasaannya diftong berada di belakang sesuatu perkataan.bolehkah diftong berada di tengah atau depan sesuatu perkataan.kenapa? | Diftong boleh berada di hadapan dan tengah terutamanya bagi kata pinjaman seperti oidium, audit dan tesaurus. | Tatabahasa | 02.03.2013 |
Berada di pihak yang salah atau Berada pada pihak yang salah? | Berada di pihak yang salah. | Tatabahasa | 21.09.2011 |
Bolehkah kita menggunakan kata ganti diri pertama "hamba" sewaktu bertutur dengan Sultan? Adakah betul semasa berada di dalam istana, kita menggunakan "patik" dan semasa berada di luar istana, kita menggunakan "hamba"? | Kata ganti nama 'patik' digunakan apabila rakyat berbicara dengan raja, manakala kata ganti nama 'hamba' untuk merendah diri yang bermaksud saya. Lazimnya, kata patik ini dipakai sewaktu bercakap kpd raja-raja. 'Hamba' digunakan apabila bercakap dengan 'tuan' atau orang yang lebih rendah tarafnya daripada sultan/raja.
| Istilah | 16.11.2012 |
Assalamualaikum Wbt. Salam Syawal. Saya Ridhwan, dari Mansoura Egypt. Maaf, saya hanya ingin bertanyakan tentang SALURAN KARYA puisi atau cerpen untuk dihantar/dimuatkan ke dalam majalah; bagi mereka yang berada di luar negara seperti saya. Kerana, jika berada di Malaysia para penulis perlu hantar karya tersebut melalui pos. Jika dari luar negara? Mohon penerangan/pencerahan. Ridhwan SM | Salam tuan. terima kasih atas sokongan tuan kepada majalah terbitan DBP dan kami amat mengalu-alukan sebarang bentuk karya daripada penulis yang berada di luar negara seperti tuan. Tuan boleh menghantar sebarang karya terus kepada editor majalah atau tuan bolehlah juga menghantar bahan tersebut kepada ketua editor majalah melalui alamat e-mel, zubaidi@dbp.gov.my dan ketua editor akan mengagihkan bahan tersebut kepada majalah yang terlibat. | Lain-lain | 29.08.2012 |
Sila semak ayat di bawah, yang mana satu betul: 1) Banyak murid berada di dalam perpustakaan. 2) Ramai murid berada di dalam perpustakaan. mengenai mencari maksud sesuatu perkataan. saya menaip "banyak" di ruangan carian, tetapi "banyak" tidak ditunjukkan di ruangan "kata" dan sebaliknya ia berada di dalam ruangan "takrif" maka, saya tidak dapat tahu apakah sebenarnya maksud "banyak". sila maklum. | Kedua-dua ayat tersebut betul. Ramai murid merujuk suasana murid yang ramai di sesuatu tempat manakala banyak murid merujuk bilangan murid yang terdapat di tempat berkenaan. Banyak boleh digunakan untuk manusia dan bukan manusia, namun ramai digunakan untuk manusia. | Tatabahasa | 03.02.2012 |
saya menghadapi sedikit pemasalahan dalam penggunaan ". sekiranya mengakhiri ayat dengan ", soalan saya : kita perlu tutup kata (") atau . (nokhtah) dahulu. contoh ayat: "Kejayaan berada di sebalik dua patah perkataan, 'try harder'". atau "Kejayaan berada di sebalik dua patah perkataan, 'try harder'." mohon kerjasama pihak tuan/puan untuk khidmat nasihat. terima kasih | Dalam keadaan yang sedemikian, ayat saudara diakhiri dengan tanda petik dan barulah noktah. | Tatabahasa | 12.10.2011 |
"Gas berada di/ dalam/ di dalam udara." Apakah kata sendi yang sesuai untuk ayat di atas? | Salam sejahtera, Menerusi konteks ayat yang diberikan kata sendi yang sesuai digunakan ialah 'di' Gas berada di udara. | Tatabahasa | 17.10.2012 |
saya menghadapi masalah dalam penggunaan kata pemeri. mengikut kamus tatabahasa dewan, kata pemeri ialah mesti berada di hadapan kata atau frasa nama. sementara kata pemeri adalah hanya boleh berada di hadapan kata adjektif dan kata sendi nama. masalah saya ialah berdasarkan beberapa buku rujukan terdapat penggunaan kata pemeri di hadapan kata kerja,kata bilangan dan seumpamanya. saya ingin mendapatkan kepastian pihak tuan memandangkan buku rujukan sering menjadi tumpuan para pelajar. saya sangat bimbang keranan terdapat percanggahan pendapat dalam penggunaan ini lebih-lebih lagi jika melibatkan peperiksaaan awam kepada para pelajar. saya sangat berharap penjelasan yang lebih terperinci berkaitan pemasalahan ini. terima kasih. | Merujuk buku Tatabahasa Dewan kata pemeri "ialah" menunjukkan persamaan dan hadir di hadapan frasa nama, manakala "adalah" menunjukkan huraian dan hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama. Umumnya kata pemeri tidak boleh di hadapan kata kerja, tetapi kata pemeri "ialah" boleh berada di hadapan kata bilangan kerana kata bilangan ialah kata nama. | Lain-lain | 03.08.2010 |
Selamat pagi ! Bolehkah tolong saya betulkan ayat di bawah ini ? Terima kasih 1 Encik Jali membeli keledek goreng dari warung itu. atau Encik Jali membeli keledek goreng daripada warung itu. 2 Anak yang setia itu berada di sisi ibunya hingga ke saat terakhir atau Anak yang setia itu berada di sisi ibunya hingga saat terakhir . 3 Pihak sekolah berusaha untuk meningkatkan lagi peratus kelulusan PMR pada tahun depan atau Pihak sekolah berusaha untuk meningkatkan peratusan kelulusan PMR pada tahun depan 4 Pokok dokong itu besar dengan subur sekali setelah dibubuh baja atau Pokok dokong itu membesar dengan subur sekali setelah dibubuh baja. 5 Majlis Pelancaran Minggu Bahasa itu akan beliau rasmikan atau Majlis Pelancaran Minggu Bahasa itu akan dirasmikan oleh beliau. | 1 Encik Jali membeli keledek goreng dari warung itu. 2 Anak yang setia itu berada di sisi ibunya hingga saat terakhir . 3 Pihak sekolah berusaha untuk meningkatkan lagi peratus kelulusan PMR pada tahun depan. 4 Pokok dokong itu membesar dengan subur sekali setelah dibubuh baja. 5 Majlis Pelancaran Minggu Bahasa itu akan dirasmikan oleh beliau. | Tatabahasa | 23.07.2011 |
Salam Satu Malaysia, Tuan / Puan, Minta tolong perlahankan suara anda ketika berada di wad pesakit. Adakah penggunaan 'minta' di atas perlu ? Saya memesan kopi manakala adik memesan teh. Adakah penggunaan 'manakala' di atas betul ? | Dalam situasi rasmi lazimnya ditulis atau disebut "sila perlahankan suara anda ketika berada di wad pesakit". Perkataan minta lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan. | Tatabahasa | 26.09.2012 |