Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Selamat pagi; Ayat berikut mana satu yang betul'; 1. Para pelancong kagum akan keindahan alam semula jadi Malaysia. 2.Para pelancong kagum dengan keindahan alam semula jadi Malaysia. apakah perbezaannya?? Jasa baik tuan amat dihargai. Terima kasih. Daripada Cikgu Tan ( SJK(C ) Tai Thung ) | 1. Para pelancong kagum akan keindahan alam semula jadi Malaysia. 2.Para pelancong kagum dengan keindahan alam semula jadi Malaysia. Kedua-dua contoh ayat ini betul, ayat yang pertama ialah bentuk yang lazim digunakan, dan ayat yang kedua bersifat emotif. | Tatabahasa | 20.04.2009 |
1. Bagaimanakah kita tahu sama ada kata seperti semula jadi atau semulajadi, kraftangan atau kraf tangan, dan sebagainya itu dieja bersambung atau terpisah? Terima kasih. 2. Mengapa "memproleh" dan bukan "memperolehi"? 3. Bolekah perkataan "memperbaiki" digunakan? | 1. Ejaan yang betul ialah semula jadi dan kraf tangan. Terdapat sebilangan kecil bentuk kata majmuk yang penggunaannya dianggap mantap sebagai satu perkataan yang utuh. Perkataan yang tetap dieja bercantum ialah antarabangsa, beritahu, bumiputera, jawatankuasa, kakitangan, kerjasama, olahraga, matahari, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, warganegara dan pesuruhjaya. 2. Awalan memper-, apabila bergabung dengan kata dasar daripada kata tugas untuk membentuk kata kerja, membawa makna mendapat sesuatu. Oleh ialah kata tugas dan bentuk yang betul ialah memperoleh. 3. Awalan memper-, apabila bergabung dengan kata dasar daripada golongan kata adjektif membentuk kata kerja yang membawa makna menjadikan lebih atau bertambah bagi sifat yang terkandung dalam kata dasar. Oleh itu, kata adjektif baik apabila ditambah imbuhan memper- menjadi memperbaik (menjadikan lebih baik). | Ejaan | 31.10.2011 |
Apalak terjemahan yang baik untuk kata "human good" dan "human goodness". Terima kasih. | Padanan perkataan human good dan human goodness tidak ada dalam pangkalan data kami. Sila hubungi kami semula dan nyatakan konsep dan contoh penggunaan kedua-dua perkataan tersebut untuk kami mencadangkan terjemahan yang sesuai. | Istilah | 13.06.2012 |
Merujuk kepada pertanyaan tentang kata tanya "di mana" yang membawa maksud "which" dan "where", ayat seumpama adalah seperti berikut. Beliau membaut satu andaian di mana keadaan dua Korea adalah lebih baik berbanding dengan keadaan yang sedia ada sekiranya penyatuan semula berlaku pada masa ini. Adakah penggunaan "di mana" sesuai bagi atas di atas? Jika tidak sesuai, bolehkah cadangkan apakah frasa atau kata yang boleh digantikan? Sekian terima kasih. | Beliau membaut satu andaian, apabila keadaan dua Korea adalah lebih baik berbanding dengan keadaan yang sedia ada sekiranya penyatuan semula berlaku pada masa ini. - perkataan apabila menggantikan 'di mana' dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 06.04.2011 |
APAKAH MAKSUD BAHASA??? | Saudara Suraya, Perkataan bahasa bermaksud 1. sistem lambang bunyi suara yg dipakai sbg alat perhubungan dlm lingkungan satu kelompok manusia (antara seorang individu dgn individu yg lain dsb): ~ Melayu; ~ Tagalog; 2. percakapan yg baik, tingkah laku yg baik, sopan santun; kurang ~ kurang sopan; tidak tahu ~ tidak sopan santun; ~ alamiah = ~ tabii bahasa yg digunakan oleh manusia dlm keadaan semula jadi; ~ asing bahasa selain bahasa ibunda, yg biasanya dipelajari secara formal atau sebaliknya. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 106. | Makna | 12.02.2010 |
Kenapa Borang Permohonan Jawatan (Borang Personel 27/99),tidak dapat di muat turun. | Sila cuba semula untuk memuat turun borang permohonan jawatan. Saudara dicadangkan untuk menggunakan Internet Explorer bagi paparan yang lebih baik. Saudara boleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia DBP jika masih menghadapi maslah yang sama. | Lain-lain | 17.05.2013 |
Tuan/Puan, Apakah terjemahan Bahasa Malaysia yang sesuai bagi "Capitalisation of Weapons Systems"? Terma tersebut digunakan untuk ayat berikut: "Pengasasan semula KDNK telah mengambil kira saranan Sistem Akaun Negara 2008 (2008 SNA) iaitu menambah baik penyusunan Perkhidmatan Pengantaraan Kewangan Yang Diukur Secara Tidak Langsung (FISIM) serta Capitalisation of Weapons Systems dan Penyelidikan & Pembangunan (R&D)." Sekian, terima kasih. Rafliza Ramli Kementerian Kewangan Malaysia. | Capitalisation ialah permodalan. Kami cadangkan Capitalisation of Weapons Systems diterjemahkan kepada Permodalan Sistem Senjata, jika terjemahan tersebut sesuai dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 31.07.2012 |
Assalammua'laikum, Saya merupakan pelajar pengajian Ph.D di UTM, Johor. Saya ingin memohon jasa baik pihak tuan untuk membantu menyemak ketepatan terjemahan soal selidik kajian saya yang pada asalnya adalah dari Bahasa Inggeris. Saya berharap pihak tuan dapat menyemak ketepatan makna dari BI ke BM, dan BM ke BI semula. Tujuan ini merupakan salah satu syarat prosedur dalam metodologi kajian dalam pengajian Ph.D. Segala jasa baik pihak tuan saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. | Untuk makluman puan, khidmat yang diperlukan adalah di luar skop perkhidmatan kami. Kidmat Nasihat Bahasa menangani masalah bahasa, antaranya termasuklah semakan teks terjemahan yang tidak melebihi 100 patah perkataan. | Tatabahasa | 23.05.2011 |
Bagaimana hendak menjadi penulis yang baik? | Soalan saudara terlalu umum kerana saudara tidak menyatakan bidang apa yang saudara minati. Oleh itu, pertama sekali saudara perlu kenal pasti karya apa yang saudara hendak tulis misalnya karya kreatif seperti novel, cerpen, dan puisi; atau karya umum seperti buku motivasi dan lain-lain. Untuk belajar menjadi penulis kreatif misalnya, terlebih dahulu saudara perlu banyak membaca karya orang lain. Teliti cara penulis itu menulis dari segi pengadunan plot, watak perwatakan, latar, gaya, bahasa, teknik dan lain-lain. Untuk menulis karya umum pula, saudara perlu mempunyai ilmu yang cukup tentang bidang yang saudara hendak tulis. Kemudian bacalah buku panduan tentang teknik penulisan yang kini terdapat banyak di pasaran. Selain daripada pembacaan, saudara boleh mengikuti bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, persatuan penulis, penerbit swasta, syarikat akhbar, akademi penulis dan lain-lain. Cubalah menulis karya yang pendek dahulu seperti cerpen, puisi, atau esei dan hantar kepada surat khabar atau majalah kerana untuk menjadi penulis yang baik, ia perlu melalui proses pengalaman yang panjang. Dan, mahu tidak mahu, untuk menjadi penulis yang baik juga ia banyak bergantung kepada bakat seni yang semula jadi di dalam diri. | Lain-lain | 04.12.2010 |
Apakah penterjemahan yang baik untuk frasa-frasa berikut: (a) wind farm (b) signature event (istilah industri pengiklanan) A signature event is an event whose brand recognition in the market is equal to or greater than the brand recognition of its sponsoring organization. Also, an event whose "production values" carry the "genetics" of the sponsoring organization's mission. "Signature event" is a term encountered, most frequently, in the nonprofit sector to describe an organization's major fundraising event(s). | Puan Suhana, Saya harap Puan dapat berikan konteks penggunaan bagi perkataan wind farm kerana jika diterjemahkan secara terus ia menjadi pertanian bantuan angin atau kawasan yang terdapat banyak tiupan angin. Manakala bagi perkataan signature even boleh diterjemahkan sebagi acara penganugerahan/pengiktirafan. Saya harap Puan cuba dulu padankan dengan ayat yang menerangkan perkataan tersebut dan jika sekiranya masih ragu-ragu sila hubungi saya semula supaya kita dapat berbincang. | Makna | 14.06.2010 |
|
|