| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Apakah padanan bagi terjemahan bagi Street Parade? | Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah street parade ialah jalan pawai. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 20.12.2023 |
| Mohon pencerahan padanan yang tepat bagi istilah bagi divert call. Adakah Panggilan Beralih? Contoh Tajuk: TATACARA MENGAKTIFKAN DAN MENYAHAKTIFKAN FUNGSI PANGGILAN BERALIH/ DIVERT CALL TELEFON PEJABAT | Cadangan padanan bahasa Melayu bagi istilah call divert secara umumnya ialah pengalihan panggilan. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 25.06.2025 |
| Bolehkah menggunakan perkataan Imersif bagi menggantikan Immersion? Ianya bagi tujuan penjenamaan semula nama program ke Bahasa Melayu | Berdasarkan data daripada Dewan Bahasa dan Pustaka, padanan bagi istilah immersive dalam bahasa Melayu ialah imersif, manakala padanan bagi istilah immersion dalam bahasa Melayu ialah rendaman. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. Perkataan "imersif" tidak sesuai untuk dipadankan dengan istilah sumber "immersion" kerana kedua-dua perkataan ini membawa konsep dan konteks yang berbeza. | Istilah | 03.11.2025 |
| Apakah istilah/perkataan lain bagi panel bagi seorang sahaja jemputan? Contohnya, program tersebut ada moderator dan seorang sahaja panel. Adakah panel boleh digunakan atau sebaliknya? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 1603, perkataan panel merujuk kumpulan orang yang dilantik untuk berunding dan melaksanakan tugas atau urusan tertentu. Jika melibatkan moderator dan seorang pembicara, kami mencadangkan penggunaan pembicara atau tetamu undangan bergantung pada program atau majlis yang berlangsung. | Makna | 09.08.2024 |
| Istilah sesuai bagi "Hotspot"/"Tethering" bagi peranti pintar? Penerangan "Sharing a connection this way is called tethering or using a hotspot. Some phones can share Wi-Fi connection by tethering. Most Android phones can share mobile." | Padanan bahasa Melayu bagi istilah hotspot ialah titik penghala dan istilah tethering ialah tambatan. Padanan istilah ini bergantung pada kesesuaian konsep dan konteks penggunaan dalam sesuatu bidang tertentu. | Istilah | 12.09.2023 |
| Tuan, saya ingin bertanya tentang perkataan "ianya memerlukan", adakah ini kata kerja yang bersesuai bagi ayat 1. bagi permohonan pengecualian bayaran, ianya memerlukan kelulusan pihak Pengurusan Tertinggi. | Ayat yang betul ialah Bagi permohonan pengecualian bayaran, kelulusan pihak Pengurusan Tertinggi diperlukan. Kata "ianya" ialah bentuk kata ganti nama yang tidak mengikut rumus tatabahasa. | Tatabahasa | 21.03.2024 |
| Bagi individu yang mempunyai gelaran Pengiran pada permulaan nama nya, adakah panggilan hormat Encik bersesuaian? | Pengiran membawa maksud gelaran untuk keturunan tertentu dalam susur galur masyarakat Melayu Brunei-Darussalam. Panggilan tuan di hadapan gelaran Pengiran lebih sesuai digunakan dalam konteks rasmi, manakala dalam konteks tidak rasmi, panggilan Pengiran sahaja boleh digunakan. Oleh yang demikian, panggilan Encik tidak sesuai digunakan di hadapan perkataan Pengiran. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), halaman 1666. | Lain-lain | 13.10.2025 |
| Bagi surat rasmi kepada CEO yg bergelar Dr. Apakah gelaran sapaan serta isi surat? | Gelaran yang sesuai digunakan ialah “Yang Berusaha/YBrs.”. Tuan/puan juga boleh merujuk contoh penulisan surat rasmi dalam buku Modul Asas Tatabahasa dan Asas Penulisan Dokumen Rasmi (DBP, 2016) atau rujukan lain yang berkaitan. | Tatabahasa | 12.06.2025 |
| Bagi tujuan (skrip pengacara majlis) untuk menjemput seseorang dalam sesebuah majlis, mana yang betul dimohon atau dipohon? | Berdasarkan Kamus Dewan Perdana, kata mohon lebih bersifat halus dan sesuai dengan laras pengacaraan majlis, oleh itu tuan disarankan menggunakan dimohon. | Ejaan | 11.05.2025 |
| Bagi pengetua perempuan adakah panggilan Tuan Pengetua sesuai digunakan? | Kata sapaan "puan pengetua" lebih sesuai digunakan dalam konteks tersebut. | Lain-lain | 15.01.2025 |