Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Assalamualaikum tuan, Saya ada dua (2) soalan seperti berikut: - 1) Saya ingin tahu maksud perkataan rekata dengan lebih jelas dan contoh ayat menggunakan perkataan tersebut. 2) Di manakah saya boleh mendapatkan maklumat tentang perkataan arkaik dan senarai perkataan arkaik? Adakah sebarang buku diterbitkan? Sekian, terima kasih. | Perkataan rekata merupakan perkataan yang ditandai dengan arkaik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang merupakan sejenis rasi, kala. Perkataan ini tidak lagi digunakan dalam bahasa Melayu dan data berhubung dengan penggunaan perkataan tersebut tidak dijumpai. Walau bagaimanapun, perkataan rasi merupakan sekumpulan bintang dlm zodiak (mintakulburuj) terbahagi kpd dua belas kumpulan (Akrab, Asad, Delu, Hamal, Hut, Jadi, Jauza, Kaus, Mizan, Sartan, Sunbulat, Saur) | Lain-lain | 13.08.2018 |
Bolehkah perkataan arkaik seperti luasa, istima, anca dan lain-lain digunakan di televisyen, radio, papan iklan dan sebagainya? Terima kasih. | Perkataan arkaik seperti luasa, istima, anca dan sebagainya tidak sesuai digunakan dalam saluran televisyen, radio dan papan iklan kerana setiap saluran ini perlu menggunakan laras bahasa yang standard. Arkaik bermaksud bukan kata, ungkapan dan sebagainya yang tidak lazim digunakan. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 133. | Tatabahasa | 08.08.2024 |
Adakah frasa "sejak dua menjak" boleh digunakan dalam bahasa Melayu atau hanya bahasa pasar? | Menjak merupakan perkataan arkaik yang bermaksud "mulai, sejak; semenjak". Perkataan arkaik bermaksud 1. kuno, sudah ketinggalan zaman; 2. sudah tidak lazim dipakai lagi (berkenaan kata, ungkapan, dan sebagainya). Maknanya, istilah tersebut sudah tidak lazim digunakan dan bukan perkataan bahasa Melayu standard. | Lain-lain | 29.09.2016 |
Assalamualaikum, Tuan saya ingin bertanya tentang anggaran jumlah kosa kata berikut yang dimuatkan dalam Kamus Dewan Perdana. 1. Kata arkaik 2. Kata klasik Terima kasih. | Waalaikumussalam, Anggaran jumlah kosa kata yang dimuatkan dalam Kamus Dewan Perdana: 1. Kata arkaik - 1310 kata 2. Kata klasik - 1537 kata Terima kasih. | Lain-lain | 01.08.2024 |
apa kah singkatan untuk perkataan pengkalan, pgkl atau pkln? terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, Pengkal ialah kata arkaik (pingkal) yang tidak lagi digunakan dalam bahasa Melayu. Perkataan pingkal daripada dialek Jawa bermaksud tertawa tergelak-gelak. | Makna | 05.09.2008 |
Assalamualaikum. Boleh terangkan konseo dialek dengan lengkap serta menghuraikan tentang kepelbagaian bahasa yang terdiri daripada Bahasa pijin, kreol, slanga, jargon, koine dan bahasa arkaik. Terima kasih | Dialek ialah satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu daerah atau oleh sesuatu kelas sosial berbeza daripada bahasa standard, contohnya dialek Kelantan, dialek Kedah dan sebagainya. Bagi makna bahasa-bahasa tersebut, saudara boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, laman web DBP atau menghubungi Bahagian Penyelidikan Bahasa DBP. | Makna | 04.10.2009 |
Assalamualaikum dan apa khabar? Saya ingin meminta jasa baik Tuan/Puan untuk menyenaraikan kata - kata panggilan hormat bahasa halus seperti ayahanda, ibunda, bapanda (walaupun arkaik) yang berakhir dengan -anda, -nda, -da yang terakam dalam kamus dewan. Saya mencuba carian bestari di laman PRPM tetapi gagal. Saya ucapkan ribuan terima kasih jika pihak DBP sudi membantu saya. | Kata panggilan hormat yang lazim digunakan dan terakam dalam Kamus Dewan ialah seperti ayahanda, ibunda, bapanda, kakanda, dinda, anakanda, bonda, nenda dan baginda. | Tatabahasa | 21.10.2018 |
Apakah maksud Mirai dalam Dewan Bahasa & Pustaka? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020) mirai merupakan kata arkaik dan wujud dalam kata ganda tirai-mirai. Tirai-mirai pula bermaksud tirai yang pelbagai jenis. Contoh penggunaan: Pelbagai jenis pakaian siap, tirai-mirai dan alat perhiasan rumah ada dijual di sini. | Makna | 24.12.2024 |
apakah lagi perkataan yang jarang digunakan tetapi terdapat dalam kamus dewan? | Saudara boleh merujuk Kamus Dewan dan mengenal pasti perkataan-perkataan yang ditandakan sebagai arkaik atau sastera lama. | Lain-lain | 30.01.2009 |
Assalamualaikum. Saya hendak bertanya, bolehkah saya mendapatkan ayat contoh bagi perkataan ALPUKAH yang membawa maksud usaha atau inisiatif. Terima kasih. | Perkataan alpukah merupakan perkataan yang ditandai dengan arkaik dalam Kamus Dewan Edisi Keempat yang bermaksud daya usaha, inisiatif dan kehandalan. Perkataan tersebut tidak lazim digunakan oleh masyarakat dalam ungkapan harian. Contoh ayat: Alpukah yang ditunjukkan oleh laksamana dalam mempertahankan kedaulatan negara amatlah dihargai oleh Datuk Bendahara. | Tatabahasa | 18.12.2017 |