Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Penggunaan perkataan 'di' dan 'pada'. Bolehkah menggunakan kedua-dua perkataan ini pada ayat seperti berikut: Aktiviti-aktiviti di bulan Ramadan atau Aktiviti-aktiviti pada bulan Ramadan. Terima kasih. | Frasa yang betul ialah aktiviti pada bulan Ramadan... | Tatabahasa | 29.07.2013 |
Benarkah penggunaan kata ganda untuk menunjukkan jumlah sesuatu benda/perbuatan yang melebihi satu tidak lagi digunakan? Contohnya - aktiviti pertanian dan bukannya aktiviti-aktiviti pertanian. | Bentuk 'aktiviti-aktiviti pertanian' masih digunakan dan tidak salah. Biasanya dalam sesuatu teks atau wacana maksud jamak atau ganda sudah tersirat dalam teks tersebut dan oleh sebab itu tidak perlu mengulang perkataan tersebut. | Tatabahasa | 04.04.2008 |
(A) aktiviti gotong-royong (B) aktiviti bergotong-royong Bolehkah kedua-dua diterima? Adakah kedua-duanya betul? | Ungkapan yang betul ialah 'Aktiviti gotong-royong', bentuk frasa nama, manakala bergotong-royong ialah kata kerja yang lazimnya digunakan dalam frasa kerja seperti penduduk kampung bergotong-royong membersihkan kampung. | Tatabahasa | 09.11.2011 |
Salam, saya ingin bertanyakan tentang penggunaan imbuhan. Antara berikut, yang manakah betul? Aktiviti bersenam atau aktiviti senaman? Sekian, terima kasih. | Aktiviti senaman. | Tatabahasa | 15.01.2013 |
Rasanya sudah lama saya tidak mengunjungi laman ini. Salam Ramadan tuan. Pertanyaan saya - jika pusat beli-belah (bukan pusat membeli-belah), bagaimana pula dengan 'aktiviti merentas desa', 'gas memasak', 'aktiviti berlari setempat', aktiviti 'menulis karangan', (sekadar beberapa contoh). Tidakkah apa yang saya catatkan itu membawa maksud sama dengan 'pusat membeli-belah'? Mohon penjelasan tuan. Sekian, terima kasih. | Lazimnya dalam penamaan kita menggunakan bentuk kata nama seperti Pusat Beli-belah. Berdasarkan contoh yang tuan berikan frasa yang betul ialah aktiviti rentas desa dan aktiviti lari setempat. Walau bagaimanapun terdapat beberapa frasa penamaan yang tidak mengikut rumus tersebut kerana telah mantap penggunaannya dalam masyarakat seperti termasuklah pertandingan melukis dan pertandingan mengarang esei. Hal ini dianggap sebagai kekecualian dalam bahasa Melayu. | Tatabahasa | 03.08.2012 |
Adakah perenggan di bawah betul? Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum ialah pelajar dapat menyihatkan badan mereka. Apabila pelajar melakukan aktiviti sukan, badan mereka akan mengeluarkan peluh dan toksik dalam badan mereka dapat disingkirkan. Contohnya, pelajar-pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum akan sentiasa aktif dan tidak mudah dijangkiti penyakit kerana toksik-toksik dalam badan mereka telah disingkirkan. | Ayat tersebut diperbetulkan menjadi - Antara kebaikan menyertai aktiviti kokurikulum termasuklah dapat menyihatkan badan mereka yang menyertainya. Apabila pelajar melakukan aktiviti sukan, badan mereka akan mengeluarkan peluh dan toksik dalam badan mereka dapat disingkirkan. Contohnya, pelajar-pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum akan sentiasa aktif dan tidak mudah dijangkiti penyakit kerana toksik-toksik dalam badan mereka telah disingkirkan. Saudara juga boleh menyemak perkataan/istilah/frasa yang digunakan melalui laman web www.prpm.dbp.gov.my. | Tatabahasa | 02.01.2011 |
Adakah penggunaan jenis aktiviti Kedai Serbaneka boleh di anggap sebagai aktiviti perniagaan? | Betul, Kedai Serbaneka ialah aktiviti perniagaan. | Tatabahasa | 16.05.2011 |
Aktiviiti bersukan /aktiviti sukan? Apakah perbeazannya dari segi semantik?? | Dari segi semantik sukan merujuk segala jenis latihan gerak badan dan permainan yang memerlukan tenaga dan ketangkasan, manakala bersukan bermaksud melakukan atau bergiat dalam sukan. Oleh itu frasa yang betul ialah aktiviti sukan, iaitu kegiatan yang berkaitan dengan sukan, manakala frasa "aktiviti bersukan" bermaksud aktiviti itu yang melakukan kegiatan sukan dan dari segi semantik adalah tidak tepat. | Tatabahasa | 29.05.2011 |
Ayat manakah yang betul? A) Aktiviti itu diadakan untuk menjalin dan meningkatkan persefahaman antara kaum. B) Aktiviti itu diadakan untuk menjalinkan dan meningkatkan persefahaman antara kaum. | Ayat yang gramatis ialah Aktiviti itu diadakan untuk menjalin dan meningkatkan persefahaman antara kaum. | Tatabahasa | 04.06.2012 |
Mohon pandangan tuan bagi kesesuaian untuk pusat yang menjalankan aktiviti persolekan. Manakah lebih sesuai.."pusat persolekan" atau "pusat kecantikan" atau "pusat rawatan kelangsingan dan kecantikan." TK | Frasa "Pusat Kecantikan" menerangkan aktiviti yang berkaitan dengan kecantikan (termasuklah muka dan tubuh badan), manakala "Pusat Persolekan" menerangkan aktiviti yang berkaitan persolekan (lazimnya muka). Kedua-duanya betul mengikut pengkhususan setiap aktiviti. Frasa yang betul ialah "Pusat Rawatan Kecantikan dan Pelangsingan" khusus untuk aktiviti yang berkaitan dengan rawatan kecantikan (muka dan badan) dan pelangsingan (tubuh badan). | Tatabahasa | 25.08.2011 |