Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
agak kebiru-biruan.(BETULKAH AYAT INI?) | kebiru-biruan ... Perkataan agak tidak perlu dimasukkan kerana kebiru-biruan bermaksud agak biru; seakan-akan biru. | Tatabahasa | 24.09.2012 |
Badan budak yang berambut pendek itu ialah agak kurus. Ayat di atas tidak gramatis, oleh itu manakah jawapan yang betul bagi jawapan di atas: 1. Badan budak yang agak kurus itu berambut pendek. atau 2. Badan budak yang berambut pendek itu agak kurus | Ayat yang lebih gramatis ialah "Badan budak yang berambut pendek itu agak kurus". | Tatabahasa | 21.06.2011 |
Saya agak keliru dengan ejaan bagi perkataan 'sejauh manakah'. Adakah 'sejauhmanakah' atau 'sejauh manakah'? Yang mana satu adalah betul? | Perkataan "sejauh manakah" dieja terpisah. | Tatabahasa | 25.08.2013 |
Saya agak kurang arif penggunaan 'diperoleh' dengan 'diperolehi'. Adakah penggunaan ayat ini betul : Maklumat tersebut diperoleh daripada akhbar. | Perkataan/ejaan yang betul ialah diperoleh, ayat maklumat tersebut diperoleh daripada akhbar betul. | Tatabahasa | 28.11.2012 |
Saya agak keliru dengan istilah "nadir bumi" daripada perkataan Bahasa Inggeris "rare earth". Mengapa nadir bumi sedangkan kalau "rare gas" istilahnya dalam Bahasa Melayu adalah "gas nadir" dan bukannya "nadir gas"? ... | Istilah yang betul untuk 'rare earth' ialah nadir bumi. Untuk makluman, istilah bahasa Melayu dibentuk berdasarkan konsep dalam bidang tersebut. Oleh itu, penterjemahan istilah tersebut tidak semestinya patuh kepada persamaan bentuk. | Istilah | 06.09.2011 |
Saya agak keliru berkenaan penggunaan perkataan staf atau kakitangan. Adakah lebih elok menggunakan perkataan kakitangan berbanding staf? Contohnya staf sokongan vs kakitangan sokongan. Kerana dari laman web dbp sendiri masih menggunakan istilah staf atau staf sokongan berbanding istilah kakitangan dan kakitangan sokongan. Mohon diberi penjelasan. | Kamus Dewan menakrifkan staf ialah kumpulan orang yang bekerja di tempat yang sama (di bawah ketua yang sama) atau kakitangan; manakala kakitangan pula ialah pekerja atau pembantu di sesebuah pejabat dan sebagainya. Berdasarkan makna yang tersebut perkataan staf melibatkan pelbagai jawatan dalam kumpulan kerja yang sama. Kakitangan pula dikaitkan dengan jawatan yang lebih rendah atau pembantu di sesebuah pejabat. Walau bagaimanapun takrif ini tidak selamanya tepat kerana sering kita mendengar ungkapan kakitangan kerajaan (pelbagai jenis jawatan wujud di dalamnya). Oleh itu, penggunaan kata staf dan kakitangan ini boleh digunakan mengikut konteks ayat yang digunakan. | Tatabahasa | 28.03.2011 |
Sudah agak lama saya 'terputus hubungan' dgn DBP sebaik saja saya melangkah ke alam pekerjaan. Saya mempunyai beberapa naskhah cerpen yg pernah disiarkan oleh RTM Sabah hampir 20 thn lalu dan berminat utk dibukukan. Bagaimana prosedur menghantar contoh naskhah tersebut? | Prosedur menghantar manuskrip adalah seperti berikut: 1. Jumlah cerpen sebaik-baiknya 20 cerpen atau lebih. 2. Pastikan anda mendapatkan izin terbit daripada penerbit asal sekiranya anda ingin menerbitkan semula cerpen-cerpen yang telah tersiar di majalah, akhbar atau terbitan lain. 3. Taip manuskrip anda dalam jarak langkau dua baris (double spacing) pada sebelah halaman kertas sahaja pada kertas A4. Tuliskan muka surat manuskrip secara berurutan daripada cerpen pertama sehingga cerpen terakhir. 4. Sediakan halaman Kandungan serta muka suratnya. 5. Tulis judul manuskrip dan nama penulis pada kulit manuskrip. 6. Jilid manuskrip dengan kemas. 7. Kirimkan satu salinan manuskrip bercetak kepada Ketua Editor Buku Sastera (bagi pembaca dewasa), atau kepada Ketua Editor Buku Kanak-kanak dan Remaja (jika pembacanya kanak-kanak atau remaja). Sertakan satu salinan digital manuskrip tersebut (dalam CD atau disket). Sertakan juga sedikit biodata anda, alamat dan nombor telefon atau e-mel, serta nama waris anda (isteri, anak dsb.) serta alamat mereka. | Lain-lain | 09.03.2011 |
Saya agak keliru dengan penukaran ayat pasif kepada ayat aktif. Conthonya seperti ayat di bawah; Ayat aktif: Kamu mesti menyiram sayur-sayuran di belakang rumah. Ayat pasif 1: Sayur-sayuran di belakang rumah mesti kamu siram. Ayat pasif 2 : Sayur-sayuran mesti kamu siram di belakang rumah. Sekiranya soalan tersebut dikemukakan dalam peperiksaan SPM, adakah kedua-dua jawapan di atas boleh diterima? terima kasih | Merujuk Tatabahasa Dewan dan seperti yang dijelaskan dalam pertanyaan sebelum ini, kedua-dua ayat pasif tersebut adalah betul. Jika hal ini berkaitan dengan peperiksaan, saudara perlu merujuk Majlis Peperiksaan Malaysia. | Tatabahasa | 03.03.2011 |
Saya agak keliru dengan penukaran ayat pasif kepada ayat aktif. Conthonya seperti ayat di bawah; Ayat aktif: Kamu mesti menyiram sayur-sayuran di belakang rumah. Ayat pasif 1: Sayur-sayuran di belakang rumah mesti kamu siram. Ayat pasif 2 : Sayur-sayuran mesti kamu siram di belakang rumah. Bagaimanakah caranya untuk mengenal pasti sama ada ayat pasif 1 atau ayat pasif 2 betul? | Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat: Murid-murid sekolah itu sedang belajar. Ayat pasif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan. Contoh ayat: Kucing itu dikejar oleh anjing. (daripada: Anjing mengejar kucing) Sila rujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga untuk keterangan lanjut. | Tatabahasa | 14.02.2011 |
Saya agak keliru dengan penggunaan perkataan 'laju' bagi ayat sperti Budak itu hanyut dibawa oleh arus laju. Bolehkah perkataan laju digunakan untuk arus? | Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan arus dalam konteks ini yang melibatkan gerakan air atau udara, perkataan yang sesuai ialah deras. | Lain-lain | 06.10.2010 |