| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Pihak kami ingin mengadakan Selangor International Race 2023. Kami telah pun memohon pengesahan bahasa daripada DBP tetapi kami dimaklumkan bahawa logo tersebut perlu ditukar kepada Bahasa Melayu. Boleh saya tahu sama ada, ada cara lain untuk saya kekalkan logo tersebut dalam Bahasa Inggeris? | Pihak tuan masih boleh menggunakan nama International Race 2023 dalam program yang dianjurkan dengan syarat logo tersebut mestilah berdaftar terlebih dahulu. Sehubungan dengan itu, kami mencadangkan supaya tuan membuat pendaftaran tanda dagang (® atau TM ) dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia. Walau bagaimanapun, tuan tetap perlu memasukkan teks bahasa Melayu dalam visual iklan kerana kami tidak mengesahkan tanda dagang, jenama, nama syarikat, iklan bahasa Inggeris, tanda pagar dan yang seumpama dengannya. | Lain-lain | 07.04.2023 |
| Saya seorang guru BM Sekolah Menengah Persendirian Cina di Kulai Johor. Ingin saya dapat kepastian sama ada pihak DBP ada menganjurkan kursus deklamasi sajak untuk penyertaan awam? dan sama ada pihak DBP ada menyediakan tenaga pakar dalam dibang deklamasi sajak untuk memberi latihan dan tunjuk ajar kepada wakil Sekolah Menengah Persendirian Cina? Sekian, terima kasih. | Salam tuan yang budiman, Untuk pertanyaan berkaitan dengan kursus yang dianjurkan oleh Akademi DBP, tuan boleh e-melkan kepada akademi@dbp.gov.my atau hubungi pegawai melalui talian 03-21470201/0213/0232. Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 12.07.2025 |
| apakah maksud Jangankan...pun dan sedangkan...apatah lagi Ada mereka ada perbezaan | Jangankan bermaksud usahkan: jangankan hendak makan, minum pun dia tak mahu. Sedangkan bermaksud sekalipun, walaupun, meskipun: sedangkan binatang yg tidak berakal itu lagi dapat diajar oleh manusia. Apatah bermaksud apalagi: saya tidak mampu membeli kereta, apatah lagi Ali yg miskin itu. Lihat perbezaan makna dan penggunaan ketiga-tiga perkataan ini melalui contoh ayat yang diberikan. | Tatabahasa | 19.10.2021 |
| Ada dua soalan 1. Panggilan hormat untuk pegawai daerah sama ada YBrs atau YBhg. Adakah jika ada haji itu mempengaruhi penggunaan panggilan hormat ? dan adakah beza sekiranya kedudukannya berbeza? cth: pegawai daerah sebagai penganjur majlis, dan pegawai daerah yang menjadu tetamu kehormat dalam majlis 2. Diskusi Maqasid Syariah dan kaitannya dengan tadbir urus & kepimpinan. Mohon cadangan untuk tambah baik tajuk ini sama ada perkataan "kaitannya" boleh digunakan atau ada perkataan lain yang lebih sesuai. Perkaitan ke? | 1. "Yang Berusaha" lazimnya digunakan untuk individu yang memainkan peranan penting dalam menjayakan sesuatu majlis atau kegiatan yang dianjurkan. Terdapat juga pihak menggunakan sapaan kehormat "Yang Berusaha" untuk pegawai tinggi kerajaan yang kanan tetapi tiada gelaran warisan atau kehormat. Namun, sekiranya individu berkenaan ialah ketua organisasi, tidak menjadi kesalahan untuk menggunakan sapaan Yang Berbahagia (YBhg.) 2. Cadangan tajuk yang sesuai ialah: "Diskusi Maqasid al-Syariah dan Kaitannya dalam Tadbir Urus dan Kepimpinan" | Lain-lain | 28.09.2021 |
| Ada jual buku teks biologi tingkatan 4 Dan teks bahasa melayu tingkatan 1 | Salam puan yang budiman, Untuk makluman puan, buku/majalah terbitan DBP boleh dibeli di kedai buku, wakil penjual, ujana DBP dan melalui portal DBP. Maklumat lanjut, sila hubungi talian seperti yang berikut: •Anjung DBP - 03 2147 9597 / 03 2147 9598 •Kompleks DBP Hulu Kelang - 03 41010028 / 019 2141956 (WhatsApp) •DBP Cawangan Sarawak - 082 227000 / 019 8768358 •DBP Cawangan Sabah - 088 439317 / 010 9425569 •DBP Wilayah Timur - 09 7414918 / 014 9180092 atau klik pautan ini: https://dbpniaga.my// Sekian, terima kasih. | Lain-lain | 01.08.2025 |
| Ada perkataan" alunai" dalam bahasa Malaysia? Apa maksud perkataan ini? | Kata alunai masih belum terakam dalam mana-mana kamus terbitan DBP. Perakaman kata dan makna baharu dalam kamus akan diusahakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan kosa kata bahasa Melayu dan berdasarkan bukti penggunaan sesuatu kata itu oleh masyarakat. | Makna | 15.06.2025 |
| ada panduan untuk suku kata? | Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Pedoman Ejaan dan Sebutan Bahasa Melayu, yang disusun oleh Encik Ismail Dahaman. | Lain-lain | 02.11.2022 |
| Ada kesalahan amat serius dalam pentafsiran "Throttle" https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=throttle | Terdapat 19 padanan makna bagi perkataan "throttle", mohon tuan/puan untuk memberikan maklumat yang lebih lanjut untuk semakan kami. | Lain-lain | 09.09.2021 |
| Adakah ada lagi soalan? Adakah ada apa-apa lagi? Adakah soalan-soalan ini betul? | Kedua-dua soalan tersebut betul. | Tatabahasa | 17.06.2024 |
| Ayat penyata: Dia ada tiga buah kereta. Antara A dan B berikut, ayat tanya yang betul bagi ayat di atas ialah... A. Berapakah buah kereta yg dia ada? B. Berapa buah keretakah yang dia ada? | Ayat yang betul ialah ayat A, iaitu “Berapakah buah kereta yang dia ada?” Contoh ayat lain yang membawa makna yang sama adalah seperti yang berikut: i. Berapakah kereta yang dia ada? ii. Berapakah jumlah kereta yang dia ada? | Tatabahasa | 10.07.2023 |