Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
Salam sejahtera, menurut Tatabahasa Dewan edisi keempat, kata sendi nama antara digunakan untuk merujuk lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak. Adakah ini bermakna sekiranya saya ingin merujuk sesuatu yang mempunyai lingkungan ruang atau jarak, antara perlu dihadiri dengan di, yakni di antara? Bagaimanakah penggunaannya dalam konteks jarak yang terdiri daripada 2 objek dengan jarak yang terdiri daripada 3 objek? Contohnya, Jarak antara/di antara rumah Ali dan/dengan sekolahnya ialah 5km. [konteks ini melibatkan dua objek, yakni Ali (objek 1) dan sekolah Ali (objek 2)]. Bagaimanakah sekiranya lingkungan jarak tersebut melibatkan tiga objek? Mutu berdiri antara/di antara Shami dengan Ahmad. [Dalam konteks ini, terdapat tiga objek, yakni, Shami (objek 1), Mutu (objek 2) dan Ahmad (objek 3)] Adakah antara mesti berpasangan dengan kata hubung dan manakala di antara perlu berpasangan dengan kata sendi dengan? Apakah jawapan yang betul? Mohon beri tunjuk ajar. | Jika mempunyai ruang atau jarak, gunakan di antara, termasuk objek yang melebihi satu. Masukkan tanda koma bagi objek melebihi satu dan diakhiri dengan dan. Antara berpasangan dengan kata sendi dengan kerana menunjukkan perbandingan. | Tatabahasa | 04.06.2010 |
Adakah ayat ini betul? Masalah pencemaran semakin serius. Oleh itu, pelbagai anjakan paradigma haruslah dilakukan untuk membendung masalah ini. Terima kasih | Anjakan paradigma bermaksud peralihan atau perubahan daripada sesuatu keadaan atau lingkungan fikiran kepada keadaan atau lingkungan fikiran yang baru, biasanya yg lebih baik. Penggunaan ungkapan anjakan paradigma tidak sesuai dalam konteks ayat tersebut. Sila gantikan dengan perkataan lain yang lebih sesuai dari aspek maknanya. | Tatabahasa | 09.02.2012 |
kalang II; kalangan 1. lingkungan, golongan: sajak Sidang Roh oleh Kassim Ahmad mendapat reaksi yg keras drpd berbagai-bagai ~; di ~ orang Melayu; di ~ mahasiswa; di ~ negara Barat hanya Perancis berusaha mencapai matlamat dasar luar negeri;--contoh di atas adalah dari kamus dewan. 1) Menurut jawapan yang diberikan oleh pihak DBP dalam khidmat nasihat, tuan menyokong "dlm kalangan". "dlm kalangan" tidak pernah muncul dlm contoh ayat kamus dewan dan hanya muncul dlm majalah. Jadi, adakah ini bermakna contoh dari kamus dewan tidak gramatis? 2) "Puan Siti sayangkan anaknya." Penggunaan "sayangkan" gramatis atau tidak? "sayangkan" terdapat dlm kamus dewan dan adakah penggunaan ini hanya untuk pantun? | Kamus Dewan Edisi Keempat merupakan kamus umum yang pengumpulan datanya dibuat berdasarkan kajian korpus. dari segi penggunaan dalam korpus yang dikaji frasa 'di kalangan' dan 'sayangkan anak' digunakan dengan meluas. Walau bagaimanpun frasa yang lebih tepat adalah 'dalam kalangan'. Kata sendi 'di' digunakan untuk merujuk tempat. Ayat yang betul ialah Puan Siti menyayangi anaknya atau Puan Siti sayang akan anaknya. | Tatabahasa | 06.03.2008 |
Dalam bidang linguistik, apakah lingkungan umur PEMUDA (youth)? | Salah satu makna 'youth' ialah remaja, iaitu orang muda yang berusia antara umur 12 hingga 21 tahun. Bidang linguistik tidak menetapkan umur bagi pemuda. | Makna | 30.11.2006 |
maksud lain bagi stesyen,zon.bagi mengambarkan satu kawasan lingkungan.lebih kemelayuan.macam nama stesyen tv. | Maksud stesen ialah tempat, iaitu tempat yang mempunyai peralatan khas untuk memberikan sesuatu perkhidmatan atau menjalankan aktiviti tertentu. Manakala zon bermaksud kawasan yang mempunyai sifat tertentu untuk tujuan tertentu. Ungkapan yang lazim ialah stesen televisyen. | Makna | 02.11.2009 |
Bagaimanakah penggunaan secara betul bagi perkataan 'dalam'/ 'di dalam' dan perkataan 'dari' /daripada. Terima kasih. | Dalam digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang, contohnya: dalam hal ini..., persoalan itu bermain-main dalam fikirannya. Di dalam digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang mempunyai ruang, contoh: Semua peserta berkumpul di dalam dewan. Penggunaan dari merujuk masa dan tarikh, contohnya; Kursus itu diadakan dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Daripada digunakan untuk merujuk perbandingan dan sumber, contohnya: Bakul ini diperbuat daripada rotan. | Tatabahasa | 21.05.2008 |
Golongan muda merupakan generasi yang amat berpengaruh dalam sesebuah novel. Apakah definisi 'golongan muda' dan tafsirannya berdasarkan pandangan sarjana tempatan dan luar negara? Berapakah lingkungan umur yang boleh dikategorikan sebagai golongan muda? Apakah kesan pemaparan golongan muda terhadap jalan cerita sesebuah novel? Apakah tafsiran sikap individuistik berdasarkan pandangan sarjana tempatan dan luar negara? | Secara umum golongan muda yang dimaksudkan ialah penulis muda dalam kesusasteraan kebangsaan yang lingkung umur mereka sekitar 18 tahun hingga 40 tahun. Berkaitan dengan soalan 'kesan pemaparan penulis muda dalam sesebuah novel' memerlukan satu kajian yang boleh dibuat berdasarkan satu atau beberapa buah karya yang dihasilkan oleh penulis muda dalam lingkungan umur di atas. Begitu juga dengan soalan berkaitan dengan 'tafsiran sikap individulistik' penulis muda juga memerlukan kajian. | Lain-lain | 20.06.2010 |
Tuan, Terima kasih atas jawapan yang diberikan. Satu lagi pertanyaan tuan. Iaitu, penggunaan sendi kata 'di' Mengikut Kamus Dewan Bahasa ,perkataan 'kalangan' ialah golongan atau lingkungan. Ini bererti golongan itu merupakan orang bukan tempat. Tetapi selalu saya baca ayat misalnya '" untuk menyemai bakat mewarna di kalangan kanak-kanak. Sedangkan sendi kata 'di' itu digunakan untuk tempat, bukan orang.Jestru itu, yang mana satukah yang betul, 1. Di kalangan kanak-kanak kah?, 2. Kalangan kanak-kanak kah ?( tiada sendikata di) atau 3. Dalam kalangan kanak-kanak ? Mohon khidmat nasihat tuan. Terima kasih. Musa Rashim | Frasa "di kalangan" dan "dalam kalangan" kedua-duanya banyak digunakan, namun frasa yang paling tepat ialah "dalam kalangan". Kata sendi nama "dalam" hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang membawa pengertian lingkungan yang tidak mempunyai ruang atau jarak, manakala kata sendi nama "di" digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang merujuk tempat. | Tatabahasa | 24.05.2012 |
apakah yang dimaksudkan anjakan paradigma | Anjakan paradigma bermaksud peralihan paradigma daripada satu lingkungan atau batasan pemikiran (seseorang atau sesuatu organisasi) kepada sesuatu yang baru (biasanya kepada yang lebih baik). | Makna | 21.12.2006 |
hubungan bahasa, budaya dan kebudayaan? | Bahasa ialah sistem lambang bunyi suara yg dipakai sbg alat perhubungan dlm lingkungan satu kelompok manusia. Oleh itu bahasa digunakan dalam aspek kehidupan termasuklah hal-hal budaya dan kebudayaan. untuk maklumat yang lebih terperinci sila rujuk buku yang berkaitan. terima kasih. | Lain-lain | 27.08.2008 |